Pelakon versatil lagi berkaliber, Datuk Adi Putra atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera bin Halim yang popularitinya semakin meningkat naik selepas muncul dalam filem terbitan anak tempatan yang paling laris, Mat Kilau kini diangkat menjadi Ikon Pemuda BN Selangor.
Ini disahkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantarannya di Facebook yang berkata “Menerima kunjungan hero Mat Kilau pelakon tersohor yang juga merupakan sahabat saya Datuk Adi Putra. Banyak perkara dibincangkan termasuk cabaran mempelbagaikan pendekatan mencanai nilai patriotisme dikalangan anak-anak muda masa kini”.
Ujar beliau lagi, selain menjadi ikon, itu juga akan membantu jentera Pemuda BN negeri-negeri menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Hikmah meletopnya filem Mat Kilau banyak membuka mata anak-anak muda untuk menelaah sejarah tanah air dengan penuh penghayatan. Adi Putra juga telah diangkat menjadi ikon Pemuda BN Selangor. Insya-Allah beliau bersedia lapangkan masa untuk bantu jentera Pemuda BN di negeri-negeri menjelang PRU-15 nanti,” kata Asyraf di Facebooknya hari ini.
Selain itu, Asyraf juga memberitahu, Adi Putra tidak hadir ke pelancaran Jentera Pemuda BN baru-baru ini kerana berada di Tanah Suci. Adi Putra, 41, adalah bintang teraju utama filem yang diinspirasi daripada kisah pahlawan Melayu berjuang menentang penjajahan British seterusnya menjadiakan dirinya ikon paling sesuai bagi menebalkan semangat cintakan negara di kalangan belia.
Kredit Foto: Instagram @adiputra
“Dia Sangat Pemalu, Tak Suka Kami Pakai Sedondon” Tun Dr Siti Hasmah Dedah Sifat Loving Tun Dr Mahathir!
Pagi bersejarah itu jantung penulis seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami.
Salam yang dihulur bonda Tun Dr Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan, Jun 2016… kira-kira enam tahun yang lalu.
Kesempatan mendekati Tun Dr Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis.
Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu kedua di Malaysia itu.
65 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda.
“Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 95 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara.
Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan.
“Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.” Tun Dr Siti Hasmah
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri.
“Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki.
Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural.”
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali.
“Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
MENULIS
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan.
Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya – buku istimewa My Name is Hasmah.
Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit.
Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita terawal di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya.
“Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh.
Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him.
“Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia.
Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu.
Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak.
“Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya.
Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa.” Tun Dr Siti Hasmah
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola.
Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.
Hilang Bapa Umur 13 Tahun, MAS ALIZA Rindu Layanan Arwah Datuk Ali Bapoo
Tanggal 19 Mei saban tahun pastinya menjadi detik paling bermakna dalam hidup Mas Aliza. Mana tidaknya, pada tarikh keramat itulah dia ‘hilang’ sosok bapa tersayang buat selama-lamanya. Seperti kebiasaan setiap tahun, gadis cantik ini tidak terlepas mengungkapkan ucapan sayang dan mengenang memori indah di samping arwah bapa, Datuk Ali Bapoo.
Tahun ini, masuk tahun ke-12 Mas Aliza kehilangan bapa namun perasaan rindu terhadap insan hebat berkenaan tidak pernah padam meskipun terpaksa berdepan detik sukar itu ketika dia baru meniti zaman remaja. Mengakui keperibadian arwah bapa sangat memberi kesan terhadap dirinya sehingga ke hari ini… Mas Aliza yang juga anak sulung kepada pelakon era 90an, Mas Anizan terbuka berkongsi rahsia yang selama ini tersimpan kemas di lubuk hati.
Selesa membahasakan dirinya sebagai baby dan arwah bapa dengan gelaran papa, dia yang menginjak usia 25 tahun tenang menyusun bicara saat menceritakan sisi peribadi lelaki kesayangannya itu. “Papa dengan baby tak pernah sekali pun marah. Dia memang jenis yang sangat sayang anak-anak dia.
Sampai sekarang apa yang paling baby rindukan ialah cara layanan dia. Susah nak dapat orang yang layan baby macam mana papa layan sebab dia sangat penyayang dan berlembut dengan anak-anak.
Tapi dengan Daniel cara didikan tu lain sedikit. Papa lebih tegas mungkin sebab adik ni lelaki. Sepanjang papa ada, memang baby tak pernah kena marah dan tak pernah kena pukul.”
Reda menerima pemergian arwah bapa sewaktu dirinya baru mencecah umur 13 tahun, kongsi Mas Aliza lagi bapanya meninggal dunia disebabkan komplikasi penyakit seperti
serangan jantung dan kencing manis. “Papa ni dia sangat tegas dan seorang ayah yang pentingkan didikan agama kepada anak-anak. Dekat rumah, nak pakai yang seksi memang tak bolehlah. Kena betul-betul tutup dan papa ni jenis family man.”
Saat ditanya adakah dia pernah ‘google’ tentang bapanya, tanpa berselindung dia mengangguk kepala tanda pernah berbuat demikian. “Iya, pernah. Jujurnya, baby dan mama memang try to avoid untuk cakap pasal ni sebab secara automatik kami berdua akan menangis. Sebab tak nak mama menangis, baby ambil pendekatan untuk tidak banyak bertanya tentang papa.
Sebenarnya baby ada buat satu album yang di dalamnya ada semua gambar papa bersama baby. Album tu ibarat macam diari untuk baby. Setiap gambar papa, baby akan tulis
kenangan kami berdua. Mama pun tak tahu pasal ni. Kalau rindu ke apa, baby memang akan tengok dan tulis dalam album tu. Dah lama pun baby buat album ni dan sorok
dari pengetahuan mama.”
Walaupun kini Mas Aliza sudah semakin matang dan berkerjaya namun nasihat ibu tetap terpahat kemas di sanubari. “Mama selalu pesan buat baik dan hati kena ikhlas dengan orang. Sampai sekarang mama selalu ingatkan, tiap kali keluar rumah baby bawa maruah mama dan arwah papa. Kena sentiasa pandai bawa diri dan ikhlas dengan semua orang,” ungkapnya sambil mengukir senyuman.
Baru-baru ini sempena tahun ke-12 pemergian Datuk Ali Bapoo, Mas Aliza berkongsi detik bapanya dijemput menghadap ilahi. “6.58pm I received a phone call from my helper saying, “Papa dah tak ada”. I was so shocked. Heartbroken. Confused. Speechless. I felt like my whole world was shattered. I couldn’t think straight. I couldn’t even make a sound. Never have it ever crossed my mind that i would lose a father at a very young age.
In the days leading up until now, there was not a day goes by that I don’t think about you. I miss you everyday. You still live on my heart and the memories in which I can still find you. Although we may not be able to talk to each other anymore, but it puts me at ease knowing that you are at a better place now and that we will
reunite again one day, inshaAllah.”
Duduk Terlalu Lama Di Depan Komputer AWAS! ANCAMAN DARAH BEKU EMBOLISME PULMONARI
Istilah darah beku mungkin terdengar biasa tapi awas, kesannya mampu mengancam nyawa! Masih di ingatan, penyakit berkaitan darah beku yang dikenali sebagai embolisme pulmonari dan Trombosis Vena Dalam (DVT) ini pernah memalit jaguh tenis dunia, Serena Williams seketika lalu. Alangkah hairannya apabila mengenangkan bagaimana seorang bintang sukan yang aktif seperti beliau juga boleh terlantar di hospital akibat penyakit ini.
Embolisme pulmonari merujuk kepada gejala penyumbatan saluran darah atau tromboembolisme vena (VTE) yang menjadi punca kematian utama di seluruh dunia dan dianggarkan sebagai penyakit vaskular (berkaitan sistem pembuluh darah) ketiga paling umum selepas sakit jantung iskemia serta strok. Ia mampu mengancam nyawa apabila darah beku di dalam vena kaki atau pelvis terpisah, lantas bergerak ke paru-paru dan menyekat satu atau lebih saluran darah di dalam paru-paru. Tanpa rawatan segera, kehilangan fungsi paru-paru boleh menyebabkan kematian dengan pantas.
Di Malaysia, kira-kira satu pertiga atau 34 peratus daripada kematian VTE berpunca daripada embolisme pulmonari iaitu maut secara tiba-tiba. Antara gejala embolisme pulmonari termasuk sesak nafas, sakit dada dan kadar denyutan jantung pantas serta sesetengah orang juga mungkin mengalami batuk berdarah.
Darah beku ini biasanya datangnya dari kaki, tetapi juga boleh berpunca daripada pembuluh darah di lengan, bahagian kanan jantung malah hujung keteter yang ditempatkan dalam pembuluh darah. Dalam kes yang sangat jarang berlaku, lemak atau tisu daripada tumor atau kelompok bakteria mungkin boleh berkumpul di arteri paru-paru. Bergantung pada tahap penyakit, embolisme pulmonari yang kronik boleh menyebabkan pesakitnya meninggal dunia dalam tempoh 30 minit selepas simptom muncul.
INDIVIDU BERISIKO
Selain mereka yang pernah melakukan surgeri, kajian Institut Penyelidikan Perubatan New Zealand (NZ) dan disiarkan dalam Jurnal Perubatan NZ juga menyebut bahawa masalah ini turut dihadapi oleh golongan:
- Staf pejabat yang duduk terlalu lama.
- Staf industri maklumat.
- Staf pusat panggilan.
- Penumpang kapal terbang dengan perjalanan jauh.
- Pengguna komputer yang menghabiskan masa berjam-jam di depan komputer.
SIMPTOM
- Cepat penat
- Mengah
- Sakit dada
- Denyutan nadi laju
- Lemah di bahagian kaki
- Kurang selera makan
- Batuk
- Nafas pendek sama ada dalam keadaan rehat atau aktif
PENCEGAHAN
- Pakai stoking untuk mengelakkan berlakunya darah beku dalam saluran darah (DVT). Ia berfungsi untuk mencengkam kulit dan mengempiskan vena supaya darah tidak bertakung.
- Banyakkan gerakan terutama di bahagian kaki.
- Elakkan meminum air batu (ais).
- Elakkan membuka hawa dingin terlalu sejuk.
- Sentiasa meminum air panas.
- Amalkan bersenam.
RAWATAN
VTE lazimnya tidak ketara dari segi klinikal dan dalam kebanyakan kes, tanda pertama penyakit ialah embolisme pulmonari yang membawa maut. Darah beku adalah berbahaya dan kesannya boleh membawa mudarat, apatah lagi ramalan terperinci mengenai kejadian VTE adalah sukar diperoleh kerana penyakit ini sukar disahkan menerusi diagnosis. Malah bagi pesakit yang disahkan menghidap penyakit tersebut, kadar kematian melebihi 15 peratus pada tiga bulan pertama selepas diagnosis.
Sumber: Bayer HealthCare di Kuala Lumpur.