DATUK AZIZULHASNI & DATUK PANDELELA Dinobat Olahragawan, Olahragawati 2021

Bukan gelaran yang pertama, malah gelaran kelima diraih oleh jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang apabila dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2021 pada majlis yang berlangsung hari ini.

Sejarah peribadi untuk dirinya tercipta apabila beliau menjadi atlet lelaki pertama memenangi anugerah berkenaan buat kali kelima selepas turut terpilih pada 2009, 2010, 2017 dan 2019/20.

Pelumba terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman diangkat sebagai Olahragawan Kebangsaan dua kali berturut-turut selepas mengenepikan cabaran empat calon lain termasuk juara badminton dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Buda Anchah (bina badan), Ng Eain Yow (skuasy) dan Syarifuddin Azman (permotoran).

Kejayaan pakar acara pecut berusia 35 tahun itu bersandarkan pada pencapaian meraih pingat perak dalam acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Anugerah yang diperkenalkan sejak 1966 itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil kepada pelumba kelahiran Dungun itu terbang jauh dari Melbourne, lokasi tempatnya berlatih sejak 2007.

Kejayaan tersebut menjadi pembakar semangat buat atlet kelahiran Terengganu ini untuk  melakukan persiapan menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Tahun lalu, beliau bergelut dengan masalah kesihatan dan pembedahan selepas disahkan mengalami masalah jantung yang jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA) dan perlu menjalani pembedahan sekiranya mahu terus berbakti dalam sukan kegemarannya itu.

Tahun ini, Azizulhasni turut meraih gelaran Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro kategori pempengaruh dijangka berdepan jadual padat musim ini untuk mengumpul mata melayakkan diri ke Olimpik Paris 2024.

Sementara itu, anugerah Olahragawati Kebangsaan pula menjadi milik ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong, sekali gus menjadi gelaran keempatnya selepas memenanginya pada ASN 2011, 2012 dan 2015.

Pemilihan atlet berusia 30 tahun itu dibuat berdasarkan beberapa pencapaian pada 2021 termasuk menjadi penerjun Malaysia pertama yang merangkul pingat emas pada Kejohanan Terjun Piala Dunia di Tokyo, Jepun.

Pandelela melakar catatan bersejarah itu ketika dia memenangi acara 10 meter (m) platform individu wanita dengan mengutip 355.70 mata keseluruhan menewaskan atlet Jepun, Matsuri Arai yang memenangi perak serta Caeli McKay dari Kanada di tempat ketiga.

Bagi kategori Olahragawan Paralimpik Kebangsaan pula menjadi milik Bonnie Bunyau Gustin yang meraih emas di Sukan Paralimpik Tokyo dalam acara powerlifting, manakala Brenda Anellia Larry dipilih sebagai Olahragawati Paralimpik Kebangsaan selepas mencipta impak di Pusat Akuatik Tokyo apabila mencatatkan rekod baru Asia bagi acara 50 meter (m) kuak kupu-kupu di temasya empat tahun sekali itu.

Azizulhasni, Pandelela, Bonnie dan Brenda masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 berserta trofi. Anugerah disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil. Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Sumber: BERNAMA.

Share
Published by
Rosmah Idayu