Sejak melangkah ke dunia politik, Datuk Dira Abu Zahar perlahan-lahan meninggalkan industri seni. Niatnya untuk membantu anak seni tanah air merupakan titik-tolak mengapa bekas pelakon dan pengacara popular itu berjuang mahu mengukuhkan tapak dalam gelanggang politik.
“Kalau imbas kembali ketika saya dalam industri seni, memang hidup glamor dan dilambung pujian. Tapi saya sedar yang anak seni menghadapi masalah terutama keselamatan dan kebajikan tenaga kerja. Mungkin hidup serba glamor tetapi ia belum menjamin masa depan atau duit simpanan yang mencukupi.
Kadar pembayaran anak seni juga tiada sistem khusus. Jadi saya mula mengambil inisiatif untuk menjadi sebahagian daripada pengurusan industri seni dengan menyertai NGO dan sebagainya. Tapi saya dapati tidak banyak yang boleh dilakukan.
Dengan menyertai dunia politik, saya mempunyai peluang walaupun peluangnya sangat tipis untuk masuk ke dalam sistem pembuat dasar atau polisi,” terdengar ketegasan di hujung suara wanita lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini.
Pemilik nama sebenar Khaidirah Dato’ Seri Abu Zahar ini mula aktif dalam politik sehingga dilantik Exco Puteri Umno pada 2015 dan menjadi Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO sejak 2018.
Datuk Dira Abu Zahar juga turut melakar sejarah tersendiri apabila menjadi selebriti pertama bergelar Wakil Rakyat selepas menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N25- Rim.
Mewarisi ketokohan bapa, karakter Datuk Dira cukup disenangi sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat. Apa yang mahu diperjuangkan wanita cekal ini adalah usaha membantu rakyat sedaya mampu, biar dalam apa keadaan sekalipun.
“Sudah tentu saya bangga menurut jejak langkah arwah bapa. Tapi pada masa yang sama, saya harap boleh memberi inspirasi yang baik kepada orang lain.
Sebab bagi saya penglibatan artis dalam dunia politik adalah sesuatu yang baru tapi sekarang dah semakin meluas. Ramai yang berani tampil ke depan mewakili kepercayaan masing-masing dalam politik.
Bagi saya menjadi YB lebih merujuk kepada Yang Berkhidmat bukan Yang Berhormat. Ia bukan untuk glamor tapi tanggungjawab itu besar sebenarnya. Apa yang mampu saya kongsikan adalah dugaan dan cabaran yang menanti, sangat banyak.
Sebagai contoh, kita berpolitik sudah tentu perlukan parti, dalam parti yang kita pilih sendiri ada banyak dugaannya. Apalagi berhadapan dengan masyarakat dan parti lawan.
Sebagai ahli politik kita perlu bijak menguruskan cabaran tersebut. Dalam dunia politik kita tak boleh jangka semua orang akan faham dengan apa yang diperjuangkan.
Berkecimpung dalam dunia politik ini buat saya sedar bukan semua perkara kita boleh betulkan. Ada benda-benda yang hanya masa dapat menentukan atau membetulkan keadaan itu,” ucap Datuk Dira yang dikurniakan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-71 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rostam pada tahun 2020.
SUPERPOWER
Mendengar sahaja jadual harian wanita berusia 38 tahun ini, sukar dibayangkan seperti tidak cukup 24 jam sehari. Datuk Dira menjadi ahli politik, isteri, ibu kepada lima orang anak dan dalam masa yang sama menyambung pengajian ijazah sarjana dalam bidang dasar awam (Master of Public Policy
“Kalau ikut penat, memang penat. Saya pun tak tahu, bila orang tanya macam mana saya boleh lakukan semua perkara, saya pun tak tahu macam mana saya uruskannya.
Kalau nak kata saya pandai uruskan masa, saya pun macam orang lain juga yang kadang-kadang terlajak. Seperti apabila dah sampai waktu tidur tapi kadang-kadang teralit tengok telefon bimbit dan sebagainya.
Cuma yang saya tahu, saya hanya ada satu semangat yang hebat. Bersungguh-sungguh melakukan sesuatu sampai terlaksana. Dengan semangat ini sahaja yang buat saya kuat untuk terus mencapai apa yang diinginkan,” ujar anak kepada Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Ithnin yang dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka kelapan dan pernah berkhidmat kepada rakyat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Sungai Rambai ini.
KELUARGA
Tergambar bahagia pada raut wajah isteri kepada ahli perniagaan, Syfik Idzywan Sidek, 48, ini saat berbicara tentang kehidupan keluarga. Datuk Dira bersyukur kerana dikurniakan suami yang sangat menyokong aktiviti politiknya.
“Kalau nak tahu, suami saya tak kenal saya sebagai seorang artis pun sebenarnya. Kami telah diperkenalkan oleh seorang kawan dan akhirnya sah menjadi pasangan suami isteri. Suami sangat menyokong saya bergerak aktif dalam dunia politik kerana faham bahwa platform saya sekarang adalah untuk membantu orang Melayu. Sebenarnya masih ramai lagi orang Melayu yang perlukan bantuan, sokongan dan dorongan.
Sokongan suami membuatkan saya lebih kuat untuk mengharungi dunia politik. Ramai juga wanita yang terbantut niat menceburi politik sebab tidak mendapat sokongan suami.
Saya berharap agar suami-suami lain boleh terima hakikat bahawa isterinya tiada niat lain semata-mata mahu membantu mereka yang memerlukan sokongan dan dorongan,” tutur Datuk Dira yang telah melangsungkan perkahwinan pada 21 Jun 2020 lalu.
Bahagia hidup bersama lima cahaya mata iaitu Tengku Anggun Deandra, 15 tahun dan Waris Iskandar, 4 tahun serta tiga orang anak suaminya hasil perkahwinan terdahulu, beliau terkadang berasa sedikit ‘cemburu’ dengan wanita lain yang bergelar ibu.
“Saya tak ada peluang tiap-tiap minggu duduk bersama anak-anak atau keluar jalan-jalan bersama. Tapi itu tidaklah bermakna saya lepas semua. Saya sentiasa akan cari masa untuk luangkan masa bersama keluarga,” ungkap Datuk Dira Abu Zahar yang menjadikan Jacinda Ardern dan Tan Sri Rafidah Aziz sebagai sumber inspirasi pemimpin wanita berwibawa.
Penulis: Hamizatul Maizan
Arahan Seni: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Sharinizam Othman
Solekan & Hijab Stylist: Bee Ramza
Busana: Ezuwan Ismail
Baca juga; Datuk Dira Abu Zahar Pegang Amanah Sebagai Wakil Rakyat
This website uses cookies.