
Baru sebentar tadi penyanyi kesayangan ramai Datuk Seri Siti Nurhaliza memuat naik hantaran di Instagramnya detik sebelum pemergian suaminya, Datuk K ke tanah suci Mekah untuk menunaikan ibadah haji.
Video berdurasi lebih seminit itu memaparkan DS Siti Nurhaliza dan anak-anak memeluk Datuk K dengan penuh erat sambil disaksikan oleh beberapa ahli keluarga.
Kelihatan Aafiyah dan Afwaa sangat manja seolah-olah tidak mahu melepaskan pelukan terhadap bapa mereka itu. Lebih-lebih lagi Afwaa yang kelihatan terlalu sedih.
Sementara DS Siti Nurhaliza yang tampil polos tanpa secalit solekan serta menyarungkan jubah hitam turut memeluk dan bersalaman dengan suami tercintanya itu dengan penuh kasih sayang.
Tulis DS Siti Nurhaliza di ruangan kapsyen: –
“Ya Allah kurniakan lah Haji yang Mabrur buat suamiku, Makbulkan segala doanya serta beri perlindungan & kelancaran sepanjang perjalanannya menunaikan ibadah Haji .. Aamin ya rabb.”
Momen syahdu itu telah meraih tumpuan para peminat dan pengikutnya termasuklah rakan-rakan selebriti.
Ruangan komen turut dihujani dengan doa serta ucapan buat Datuk K atau nama penuhnya Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa.
“Semoga dipermudahkan segala urusan haji yg mabrur buat Dato K… amin ya Allah amin…”
“Aminn aminn..semoga mendapat haji yg mabrur”
“Alhamdulillah syukur dpt tunaikan haji..Semoga dipermudahkan urusan Dato K”
Semoga dimudahkan segala urusan Datuk K serta selamat pergi dan pulang. Didoakan juga agar Datuk K memperoleh haji yang mabrur.
Untuk info, DS Siti Nurhaliza dan Datuk K berkahwin pada 2006. Mereka dikurniakan sepasang cahaya mata yang sangat comel iaitu Siti Aafiyah dan Muhammad Afwaa.
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
Foto Hari Jadi Adele Ke-32 Menjadi Viral, Ramai Cemburu Melihat Transformasi Dirinya

Adele telah menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-32 pada 5 Mei yang lalu. Sambutan hari jadi Adele bukan suatu yang luar biasa namun, foto ‘hari jadi’ yang telah dikongsi oleh penyanyi yang bersuara lantang mengalunkan lagu Hello ini menjadi viral seluruh dunia.


Ini kerana Adele adalah di antara selebriti Barat yang tidak hirau tentang komen peminat terhadap penampilan dirinya. Menurut Adele perjuangan seni dirinya adalah untuk didengarkan kepada peminatnya, bukan untuk dipertontonkan. Namun kini, penampilan Adele sudah jauh berubah daripada dirinya yang dulu. Penyanyi yang pernah menggondol anugerah Grammy ini benar-benar kelihatan langsing daripada penampilannya sebelum ini.
Berlandaskan misi mahu mengubah diri untuk kehidupan yang lebih sihat membuat Adele telah mengikuti sebuah program diet yang dikenali sebagai Sirtfood. Ada juga yang melaporkan bahawa Adele mula mengikuti program diet ini selepas bercerai dengan suaminya, Simon Konecki.
Walau apapun alasan yang dipegang Adele tetapi penyanyi ini telah berjaya menurunkan berat badan sehingga 22 kilogram. Bukan suatu jumlah yang sedikit dan begitu ramai wanita mencemburui kejayaan Adele yang satu ini. Tidak mustahil Diet Sirtfood ini mendapat carian ketujuh tertinggi google pada tahun 2019.
Apakah Diet Sirtfood – Diet Sirtfood ini telah diperkenalkan oleh dua orang Pakar Nutrisi, Aidan Goggins dan Glen Matten. Diet ini mengamalkan pemakanan berasaskan protein sayur-sayuran dan buah-buahan atau lebih dikenali dengan makanan yang kaya dengan ‘aktivator sirtuin’ seperti epal, blueberries dan minyak zaitun (extra virgin).
Jika mereka yang mengamalkan diet ini dengan disiplin dan konsisten dikatakan mampu menurunkan berat badan 3 kilogram dalam masa seminggu. Rejim pemakanan diet jenis ini memerlukan pengamalnya makan hanya 1,000 kalori dalam sehari dan 2 jenis jus hijau. Diet Sirtfood ini dikatakan bukan sahaja boleh membantu sistem metabolisme tubuh tetapi berupaya menahan nafsu makan.
Memang teruja nak cuba pelan diet bila melihat orang lain berjaya langsing kan. Tetapi sebaik-baiknya dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu jika ingin mencuba. Setiap orang memiliki sistem tubuh yang berbeza. Mungkin pelan diet ini berjaya buat Adele tetapi kita pula sebaliknya. Namun, jangan cepat mengalah kerana kesihatan lebih utama kini berbanding yang lainnya.
Sumber: goodhousekeeping.com; Foto: Instagram @adele
Bina Keluarga Bahagia ‘Tiru’ Acuan Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Dan Ustaz Wan Akashah

Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, ikon pendakwah wanita yang amat dikagumi. Agak lama Ustazah Nor Bahyah menyepikan diri daripada dunia media sosial. Walaupun begitu Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah masih terus ‘menyengat’ dalam dunia dakwah sama ada melalui dunia maya dan juga pentas ceramah. Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah aktif di Facebook beliau yang mempunyai pengikut lebih daripada 2 juta.
Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah yang sering membahasakan dirinya dengan panggilan Ustazah mengakui bahawa beliau memang kurang melibatkan diri dalam program-program di layar kaca dan juga radio. Beliau kini lebih selesa bersama cucu-cucu berumur antara 1 hingga 9 tahun.
“Masa saya banyak dengan cucu-cucu lebih-lebih lagi cucu saya yang kembar. Jadi biarlah saya beri peluang kepada generasi muda pula untuk berdakwah melalui medium media sosial agar mereka dapat bersama-sama menyumbangkan ilmu anugerah Allah dan mendidik ummah.
“Seperti biasa saya menerima undangan ceramah di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak serta Singapura. Selain itu saya juga akan mengadakan seminar atau kem motivasi pada musim cuti sekolah November dan Disember ini. Jika tiada jemputan atau undangan untuk menyampaikan ceramah, saya akan meluangkan masa bersama keluarga memandangkan sekarang ini saya mempunyai lima orang cucu yang tinggal bersama,”ujar Datuk Ustazah Nor Bahyah membuka bicara kata.
Tidak dapat dinafikan kelibat Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah dan imamnya, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid dalam rancangan Semanis Kurma amat dirindui. Rancangan yang berlangsung selama lapan tahun berturut-turut sejak 2008 itu benar-benar meninggalkan impak yang berkesan dan berpanjangan kepada penonton.
“Terima kasih kepada pihak TV9 kerana memberi kepercayaan kepada saya dan Ustaz untuk mengacarakan rancangan Semanis Kurma. Rancangan semanis kurma di TV9 habis kontraknya pada 2016. Memang menjadi cita-cita saya dan Ustaz untuk menghidupkan kembali rancangan Semanis Kurma kerana rancangan ini menjadi sumber inspirasi dan juga menjadi pedoman dalam membina keluarga bahagia. Alhamdulillah ke mana-mana saya pergi, orang akan memanggil saya dan Ustaz dengan panggilan Semanis Kurma. Semoga ada penaja untuk rancangan ini diteruskan,”jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Jadual beliau agak padat dengan undangan ceramah-ceramah agama. Kebiasaannya dalam seminggu tiga hingga empat kali. Ada ceramah pada waktu siang hari dan ada juga pada malam hari.
“Kebanyakan ceramah di luar kawasan terutamanya di Terengganu. Setiap bulan saya akan ke sana bagi menyampaikan ceramah atas undangan dari Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu sejak tahun 2000. Saya juga kerap pergi ke Singapura, Sabah dan Sarawak serta Brunei. Ada juga undangan daripada pelajar dari luar negara seperti Jepun, Korea, Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom. Saya juga banyak turun padang ke kawasan pendalaman seperti kampung-kampung dan Felda-Felda,”tutur Datuk Ustazah Nor Bahyah.
CABARAN BERDAKWAH
Dicungkil tentang cabaran sepanjang berkecimpung dalam dunia kerjaya sebagai seorang penceramah, jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, cabaran datang dalam dua bentuk iaitu luaran dan dalaman.
“Antara cabaran biasa ialah tempat ceramah yang agak jauh sehingga terpaksa memandu antara dua hingga empat jam. Begitu juga cabaran yang agak berat bagi saya iaitu apabila terpaksa meninggalkan anak-anak serta cucu-cucu tiga hingga empat hari dalam sebulan.
“Namun begitu cabaran paling utama ialah Iblis dan syaitan serta manusia yang bersifat mazmumah. Ia merupakan penghalang utama seorang pendakwah selain cabaran daripada fahaman sekularisme yang telah tersebar. Fahaman ini yang dibawa oleh barat sedang melanda umat Islam dan menjadi wabak yang menghakis komitmen kepada nilai-nilai agama,”tutur Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Fitrah seorang wanita bergelar isteri dan ibu, amat penting mengagihkan masa antara kerjaya dan juga keluarga. Bagi diri Ustazah Nor Bahyah jika sekiranya tiada aktiviti di luar, waktu pagi sehingga tengahari beliau akan memperuntukkan masa menguruskan rumah seperti menyediakan sarapan untuk keluarga, mengemas rumah dan memasak.
“Di sebelah petang saya akan memberi tumpuan dalam kerjaya seperti menjawab persoalan daripada facebook dan e-mel, persediaan untuk ceramah dan juga menulis untuk majalah dan buku. Pada sebelah malam akan bersama keluarga tercinta.
“Hobi saya sejak dari kecil sampai sekarang ialah membaca. Masa kecil-kecil dahulu saya sanggup berada berjam-jam di perpustakaan awam semata-mata untuk membaca. Alhamdulillah setakat ini tidak ada hari yang berlalu tanpa saya membaca. Saya tidak dapat tidur tanpa membaca terlebih dahulu. Pada masa lapang saya akan menggubah bunga, bercuti, memasak dan membawa keluarga membeli belah,”jelas Ustazah Nor Bahyah yang gemar memasak tomyam, nasi daging, daging masak kicap, kari ikan merah dan sambal belacan kegemaran keluarganya.
RAHSIA KELUARGA BAHAGIA
Keakraban dan kemesraan beliau bersama keluarga agak dicemburui. Sebenarnya banyak aktiviti yang dilakukan oleh Datuk Ustazah Nor Bahyah bersama keluarga bagi merapatkan hubungan kekeluargaan.
“Sekiranya saya tidak berceramah di luar kawasan, kami akan solat berjemaah setiap hari terutama sekali waktu maghrib. Selain itu aktiviti membaca Al-Quran terutama membaca surah Yaasin pada hari Khamis malam Jumaat turut diamalkan. Ia dilanjutkan dengan mengadakan usrah keluarga yang mana saya dan Ustaz akan memberikan nasihat dan panduan kepada anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu.
“Kami juga akan luangkan masa untuk bercuti bersama. Dalam setahun antara dua hingga empat kali. Di samping itu juga sentiasa makan bersama lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Resipi keluarga bahagia bagi saya ialah suami isteri dan anak anak mestilah menjadi seorang yang beriman dan bertakwa dan mempunyai sifat kasih sayang sesama ahli keluarga.
“Sifat kasih sayang itu terbentuk melalui lima perkara iaitu sentiasa mengeluarkan perkataan yang baik-baik dan positif, sentiasa memberi hadiah terutama pada tarikh hari kelahiran, melalui sentuhan seperti bersalam salaman, ciuman dan pelukan, sentiasa mengadakan aktiviti bersama seperti solat berjemaah, makan berjemaah dan bercuti berjemaah dan sedia berkhidmat seperti tolong-menolong antara suami isteri, ibu bapa dan anak anak,”kongsi Datuk Ustazah Nor Bahyah yang amat menekankan solat lima waktu dalam mendidik anak-anak dan cucu-cucunya.
Melihatkan kesibukan jadual harian beliau nescaya pasti terdetik dibenak fikiran, bagaimana pendakwah wanita yang wajahnya sentiasa dibungai dengan senyuman ini mengekalkan stamina. Tidak lokek berkongsi rahsia, antara elemen penting ialah mendapatkan tidur yang mencukupi enam hingga lapan jam sehari.
“Saya juga menjaga makan dan minum supaya berat badan tidak bertambah. Di samping itu juga saya sentiasa melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh seperti menyapu sampah, berjalan-jalan dan bersenam,”jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Sebelum menutup kalam, sempat ditanya pendapat beliau tentang peranan wanita sebagai nadi pembangunan dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, wanita perlu sentiasa menjadikan dirinya teladan yang boleh dicontohi anak-anak dalam segala hal yang dilakukan di dalam urusan rumah tangga.
“Wanita juga berperanan sebagai penolong dan teman hidup pasangannya di kala suka dan duka. Melayani suami merupakan kewajipan sebagai seorang isteri. Isteri juga adalah teman untuk berbincang sebelum sesuatu keputusan diambil oleh suami sebagai ketua rumahtangga. Sebagai isteri mungkin pendapat kadang-kala berbeza tetapi apabila keputusan sudah dibuat oleh suami, isteri harus menyokong keputusan tersebut. Ini kerana di dalam sebuah kapal hanya ada seorang nakhoda dan begitu juga di dalam sebuah rumahtangga hanya ada satu ketua keluarga.
“Pujangga Arab ada mengatakan wanita itu adalah tiang negara. Seandainya wanita itu baik, majulah negara, seandainya wanita itu rosak akhlak maka mundurlah negara. Demikian juga kata penyair Arab, Ahmad Syauqi, ibu itu adalah umpama sebuah sekolah. Jika anda memberikan peluang kepadanya nescaya ia akan memberikan kepada anda satu bangsa yang berakar umbi baik. Jadilah wanita yang hebat dan bijaksana. Cantikkan diri dengan akhlak, bijak menambat hati suami serta mendidik anak-anak dengan iman dan takwa kepada Allah,”ujar Datuk Ustazah Nor Bahyah mengakhiri bicara.
TIP KEKALKAN KEMESRAAN DENGAN SUAMI AGAR RUMAH TANGGA BAHAGIA
1. Curahkan kasih sayang dengan sepenuh hati.
2. Patuhlah kepada suami dengan apa adanya
3. Mendengar kata-kata suami dengan baik disertai ketaatan.
4. Sentiasalah isteri mempertahankan pandangan mata suami dengan memakai pakaian yang baik-baik
5. Sentiasa menjaga ‘hidung’ suami dengan memakai bau-bauan yang wangi.
6. Sentiasa memperhatikan waktu tidur suami
7. Sentiasa menjaga makan minum suami.
8. Jagalah harta benda suami dengan sebaik-baiknya
9. Isteri perlulah menjaga keluarga dan anak anak dengan baik.
10. Jangan sesekali menyebarkan rahsia suami.
Raih Jualan 5 Juta Setahun, NUBHAN Syukur Bisnes Omak Jenny Makin Maju & Dapat Sambutan!

Diam-diam ubi berisi! Alhamdulillah rezeki Ahmad Nubhan Ahamad. Nampaknya makin ligat Nubhan mendaki kejayaan sebagai usahawan. Selepas berjaya mengeluarkan produk kosmetik dan penjagaan wajah, dia melangkah berani menceburi cabang bisnes makanan. Seterusnya membuka sebuah klinik pergigian khas buat isteri tercinta yang juga doktor gigi bertauliah. Tahniah!
Terbaharu, Nubhan memuat naik gambar bersama ibu tersayang yang tertera ‘Alhamdulillah 5 juta!’. Nubhan dalam perkongsian itu mengulas, “Syukur!! Semakin hari semakin indah pencapaian Omak Jenny. Dari buat suka-suka tak sangka sekarang jadi usahawan sambal. Rezeki tak salah alamat. Semua dengan izinNya.”
Siapa sangka dari pentas nyanyian sejak menyertai Akademi Fantasia Musim Ke-6, Nubhan makin sukses mengemudi empayar niaga sendiri. Ketika dihubungi Nona, anak kelahiran Negeri Sembilan ini tak lokek berkongsi pengalaman.
“Perjalanan bisnes, alhamdulillah bisnes makanan Mak Jenny dan skincare Lantara Beauty serta keluarga pun dah berkembang. Dah tambah seorang lagi ahli baharu dalam keluarga iaitu anak ketiga saya, Afzan Nayille. Klinik isteri sudah pun lengkap sepenuhnya dan ready.”
Tak menang tangan terima tempahan produk Mak Jenny, perniagaan yang menggunakan resipi tradisi ibu tersayang Nubhan sendiri ini memang laris. Dedah Nubhan, setakat ini sudah ada 6 produk Mak Jenny di pasaran. Antaranya Sambal Pedas, Masak Lomak Daging Salai dan Sambal Tempoyak.
Mengulas bagaimana tercetusnya bisnes Mak Jenny, ujar suami kepada Dr Afifah Tawfek ini semuanya berlaku tanpa sengaja selepas dia merakam aktiviti dan aksi ibunya Badariah Omar atau mesra disapa Mak Jenny bersama peminat di platform media sosial.
“Idea sebenarnya apabila saya secara tak sengaja mem’video’kan Mak Jenny di dalam content yang biasa saya keluarkan di YouTube dan Facebook. Tanpa di sangka respon terhadap karakter mak saya sangat disukai oleh penonton. Mereka sentiasa request nak lagi Mak Jenny.
Saya juga melihat dari segi reach, respon dan viewers video tu. Dekat Facebook boleh mencecah sehingga 7 juta tontonan dengan komen-komen yang sangat positif. Secara tak langsung video itu mengingatkan mereka kepada mak ayah, mak ayah yang dah tak ada dan banyak yang merindukan ibu bapa mereka.
Ramai juga yang terasa ingin berjasa dan berbakti balik kepada mak ayah dan ada yang menginsafkan. Itu berita yang sangat gembira dan saya rasa bermakna apabila ada di antara mereka DM saya sendiri mengatakan ingin membalas jasa ibu bapa balik. Yang ada perselisihan faham, mereka mula menyesal dan mula merapatkan hubungan dengan ibu bapa mereka.
Setiap apa yang keluar dari video itu adalah jujur daripada Mak Jenny dan bukan dibuat-buat. Mungkin energy atau aura Mak Jenny yang jujur itu mudah diterima oleh penonton. Alhamdulillah.”
Terang bapa kepada tiga cahaya mata ini lagi, perniagaan makanan tersebut bermula secara serius dan dibuka kepada pengedar pada Julai 2021. Di sebalik kejayaan produk Mak Jenny sampai jadi bualan ramai, ada kisah sukar yang terpaksa ditempuh Nubhan ketika awal-awal mengusahakan produk berkenaan.
“Masalahnya adalah dari segi penyediaan makanan. Ia berlarutan daripada November sampai Disember tahun lepas di mana tempahan masuk terlalu banyak dan berlaku kecuaian apabila makanan seperti acar dan sambal semua kembung. Jadi pengedar return dan kami terpaksa ganti yang baru.
Masa tu dalam 15,000 pertama pada November dan 10,000 hingga 15,000 tempahan unit juga untuk bulan Disember. Ada dalam 30,000 ribu unit yang saya anggarkan lebih 10,000 kembung atau rosak. Terpaksa masak semula dan menelan kos yang besar.
Masa tu ramai pengedar yang mula tak puas hati dan ada juga berhenti serta lari sebab keyakinan dan kepercayaan dah hilang. Walau kami dah return bagi produk baru tapi masih kembung lagi.
Bulan Disember tu memang nak cover semua kos tadi sampai makan ratusan ribu ringgit. Disebabkan order terlalu banyak masa tu dan saya pula kurang pengetahuan dalam penyediaan makanan.
Sebenarnya cara packaging yang kurang tepat buatkan bakteria cepat membiak. Bukanlah makanan tu kotor cuma salah cara penyediaan. Bila jadi macam tu saya cuba cari pakar makanan. Bila dapat tahu solution, saya terus meeting dengan team production keesokkan hari dan ubah cara penyediaan ke cara yang betul.
Alhamdulillah semenjak dari itu sampai hari ni tiada lagi makanan yang rosak atau kembung. Itulah cabaran terbesar saya lalui. Bayangkan dari bulan Disember sampai pertengahan Januari memang saya tidur pun sekejap je dan berulang alik ke kampung untuk check production, stock, tengok penyediaan yang betul,” tegas Nubhan sambil memberitahu sudah mempunyai 5,200 pengedar Mak Jenny yang berdaftar.