Siapa yang tak kenal dan mengagumi legenda badminton tanah air, Datuk Wira Dr. Lee Chong Wei yang banyak kali membanggakan industri sukan tanahair menerusi sukan badminton. Pada 13 Jun 2019, Lee mengumumkan persaraannya daripada badminton profesional selepas 19 tahun berkhidmat pada negara.
Pencapaian demi pencapaian yang diperolehi Datuk Lee Chong Wei walaupun dirinya tidak lagi beraksi di gelanggang. Baru baru ini, beliau menjadi atlet badminton pertama negara yang mempunyai figura lilin yang ditempatkan di muzium lilin yang cukup terkenal, Madame Tussauds di Singapura.
Figura bekas pemain perseorangan lelaki No.1 dunia selama 348 minggu itu juga merupakan penambahan terbaru di muzim berkenaan di mana figuranya itu dipamerkan bersama-sama dengan atlet legenda dunia seperti Muhammad Ali, Cristiano Ronaldo, David Beckham, Serena Williams dan lain-lain lagi.
Majlis pelancaran dan memperkenalkan figura lilin dilihat berlangsung semalam menyaksikan Datuk Lee Chong Wei bergambar dengan figuranya yang cukup sempurna mengenakan jersi pada tahun 2016 yang disarungkan ketika beraksi di Sukan Olimpik Rio sambil memegang raket di tangan kanannya.
Nak melihat figura lilin Datuk Lee Chong Wei dengan lebih dekat? Anda boleh berbuat demikian dalam masa yang terdekat ini kerana patung lilin tersebut tidak akan berada lama di Madame Tussauds Singapura. Pada suku pertama 2023, ianya akan diterbangkan dan ditempatkan di Madame Tussauds Hong Kong secara kekal.
Untuk rekod, Madame Tussauds Hong Kong telah mengumumkan berkenaan pembuatan figura lilin Chong Wei sejak tahun 2020. Untuk pengetahuan, Madame Tussauds merupakan muzium lilin di London dengan cawangan di beberapa bandar-bandar utama. Ia diasaskan oleh pemahat lilin Marie Tussaud. Madame Tussauds merupakan salah satu tarikan pelancongan utama di London, memaparkan hasil kerja lilin orang terkenal.
Sumber: Sukanz.com
This website uses cookies.