Pengumuman Ratu Squasy dunia selama 9 tahun ini untuk bersara dalam sukan squasy sedikit masa dahulu telah menggemparkan seluruh peminatnya. Berita itu ternyata menjadi suatu kehilangan besar buat negara memandangkan Datuk Nicol Ann David telah diangkat menjadi ikon sukan kebangsaan sejak lebih sedekad lalu.
Sejak itu Datuk Nicol telah mula merancang untuk menyumbang bakti kepada masyarakat khasnya atlet tempatan dengan menyuntik inspirasi kepada mereka. Beliau juga mahu lebih giat menjalankan program motivasi bersama atlet tempatan bagi memajukan bidang sukan masing-masing.
Sumbangan Datul Nicol terhadap negara telah mendapat pengiktirafan apabila dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan di Upacara Konvokesyen Komemoratif sempena ulang tahun ke-50 Universiti Sains Malaysia (USM) semalam.
Datuk Nicol begitu terharu menerima anugerah tersebut seperti yang dikongsinya di laman media sosialnya, “I’m so honoured! Never thought I would get this. Thanks to Universiti Sains Malaysia for this Honorary Degree of Doctor of Sports Science,” kata Datuk Nicol.
Upacara itu telah diperkenankan oleh Canselor USM, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail. Turut hadir di majlis tersebut, Menteri Pelajaran, Dr Maszlee Malik serta Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Asma Ismail.
Datuk Nicol yang mula menceburi sukan squasy ketika remaja kini mampu tersenyum bangga apabila tersenarai dalam 10 nama pemain squasy wanita dunia selama 177 bulan atau lebih daripada 14 tahun. Kejayaannya itu sekaligus memecahkan rekod pemain squasy dalam kategori wanita dan lelaki. Lebih bangga apabila ranking kategori lelaki yang disandang Gregory Gaultier dari Perancis pun hanya 154 bulan!
Title The Top All Time Unbroken Streak Rank In The World Top Ten itu juga menyaksikan Datuk Nicol berjaya menjadi yang terbaik dalam kalangan 10 pemain teratas sejak Januari 2004 hingga September tahun lalu. Menewaskan pencabar terdekatnya dari Australia, Liv Irving yang tersenarai selama 142 bulan.
Paling membanggakan, Datuk Nicol berjaya mempertahankan gelaran Ratu Squasy dunia selama 9 tahun, memegang rekod World Championship sebanyak 8 kali, memenangi pingat emas kelimanya dalam Asian Games dan merangkul kejayaan dalam 51 kejohanan yang disertai selama 13 bulan!
Sumber: Harian metro, Foto: Instagram @nicoldsquash