Majlis Konvokesyen menjadi antara momen yang dinantikan oleh para graduan usai menamatkan pengajian masing-masing. Ia adalah detik yang menjadi kebanggaan ibu bapa apabila melihat anak mereka memakai jubah dan melangkah ke pentas utama sambil menerima skrol.
Namun bagi selebriti yang juga merupakan seorang ibu yang mewakili anak tersayang menerima skrol, ia merupakan detik yang sukar digambarkan melalui kata-kata. Datuk Nora Ariffin mewakili Allahyarham anaknya, Muhammad Syakir Alif Johan menerima skrol diploma miliknya di Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke 95 yang berlangsung hari ini.
Allahyarham Muhammad Syakir Alif Johan berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan Diploma Perfileman di Fakulti Filem, Teater & Animasi di UiTM cawangan Puncak Perdana, Selangor.
Meskipun sedih memandangkan arwah tiada di sisi untuk meraikan kejayaan ini, naluri seorang ibu jelas terbayang di wajahnya apabila menjadikan momen indah ini sebagai pemangkin semangat untuk dua orang lagi anaknya untuk berjaya di dalam pelajaran mereka.
Nora berkongsi perasaan bangga dan penuh inspirasi menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook Universiti Teknologi MARA-Media Rasmi.
Nora turut berkongsi keperibadian yang dimiliki oleh Alif yang banyak membantu mengambil alih dalam bahagian kreatif termasuklah membantu menghasilkan video untuknya.
Tambah Nora lagi, Alif merupakan anak yang sentiasa mengambil berat akan dirinya terutamanya selepas suami tersayang, Johan Nawawi meninggal dunia pada 24 Mac 2017.
“Alif merupakan anak yang begitu mengambil berat mengenai diri saya. Setiap hari, Alif akan menghantar WhatasApp bertanya sama ada saya okay atau tidak. Tidak dinafikan pemergiannya merupakan satu kehilangan buat kami sekeluarga tetapi sebagai ibu saya reda dengan pemergiannya,” jelasnya.
Nora juga berkata Alif sangat rapat dengan adik-beradiknya dan Nora menzahirkan harapan semoga anak-anaknya yang lain menjadikan Alif sebagai isnpirasi untuk meneruskan lagi legasi Allahyarham Johan Nawawi dan Datuk Nora Ariffin.
Untuk rekod, Alif menghembuskan nafas terakhir pada 14 Disember 2019 selepas tiba-tiba rebah ketika berada di rumah.
This website uses cookies.