Kagum dengan usaha yang dilakukan ayah dan anak kenamaan ini dalam membantu golongan yang terjejas akibat Covid-19. Tanpa melibatkan ramai pihak dan hanya berbekalkan kudrat serta kewangan mereka berdua sahaja, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid dan ayahnya yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah berjaya merealisasikan niat murni berkenaan. Sekaligus meringankan beban golongan tidak berkemampuan untuk menjalani hari-hari mendatang.
Tambahan pula, dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilanjutkan sehingga 14 April depan… bantuan Datuk Nurul dan Datuk Seri Zahid hingga ke pintu
rumah ini setidak-tidaknya memberi kelegaan kepada mereka.
Ketika menghubungi Datuk Nurul untuk bertanyakan inisiatif tersebut, dia yang lebih selesa disapa Kak Long membuka bicara. Meskipun pada awalnya Datuk Nurul agak keberatan untuk berkongsi usaha yang dibuat bersama ayah tersayang kerana bimbang dikatakan menunjuk-nunjuk namun demi mengajak lebih ramai masyarakat berbuat kebaikan, dia akhirnya akur.
Kongsinya, “Idea untuk mengadakan kempen #abahkaklongperihatin ini tercetus selepas saya mengikuti abah menyerahkan sumbangan makanan kepada warga polis pada hari Sabtu lepas iaitu 21 Mac bersama-sama Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa. Jadi keesokan harinya iaitu pada hari Ahad, 22 Mac saya mula mencari mereka yang tidak berkemampuan dengan membuat hebahan di Instagram.
Kempen ini hanya di IG saya, di mana saya buat satu simple poster meminta followers saya DM (direct message) seandainya ada di antara mereka yang benar-benar terdesak. Saya buka hanya di sekitar Lembah Kelang kerana saya menyasarkan golongan miskin bandar.
Untuk penerima yang layak, saya sendiri akan menghantar sumbangan tersebut. Bentuk sumbangan utama adalah seperti susu formula untuk bayi dan kanak-kanak berserta lampin pakai buang. Juga ada sedikit duit poket untuk mereka membeli beras, minyak dan barang-barang keperluan lain.”
Menyedari usaha untuk membantu mereka yang terjejas akibat wabak Covid-19 akan mengundang pelbagai tanggapan negatif kerana tindakan berani mengambil risiko keluar rumah dan bertemu penerima pada ketika virus Covid-19 menular, Datuk Nurul bagaimana pun sudah menyediakan persiapan awal terlebih dahulu. Sebagai langkah pencegahan, wanita berusia 42 tahun ini tetap akan membawa dan memakai mask dan sanitizer ke mana sahaja.
Menerusi perkongsian Datuk Nurul lagi, “Dalam situasi sekarang, takda apa yang kita boleh buat selain duduk rumah, solat, mengaji dan terus berdoa agar virus jahat yang sedang menyerang dunia lenyap dan hilang selama-lamanya. Tambahan 14 hari menjadikan kita punya 20 hari lagi berdiam di rumah. Ramai yang hilang punca pendapatan. Allahuakbar.
Tak tahu saya nak cakap apa sebab semua termasuk saya pun terjejas. Saya hanya mampu menyalurkan bantuan mengikut semampunya saya. Bersabar dan reda. Itu yang kita ada sekarang. Allah menyatakan janjiNya setiap musibah akan diganti dengan kebaikan. Saya mungkin tak faham situasi yang kalian hadapi. Situasi kita, masalah kita berbeza.
Yang pasti semua sedang alami ujian yang sama. Kita positif sedikit je lagi. Jangan lupa zikir Astaghfirullahalazim, Alhamdulillah, Allahuakbar. Tu semua makanan untuk roh kita. Kita lapar kita makan, tapi roh kita hanyalah zikir sebagai makanan agar kita kekal tenang dan bersyukur selalu.”
Tidak lupa untuk saling mengingati sesama insan, Datuk Nurul turut mendoakan kesejahteraan seluruh masyarakat dan berharap agar usaha yang dilakukannya ini tidak akan terhenti begitu saja. “Saya akan cuba buat walau tak ada Covid-19. Covid-19 ni hanya asbab untuk buat kita menjadi lebih baik, lebih bertanggungjawab bukan sahaja kepada keluarga, diri sendiri tapi orang lain juga. Ingat, bukan semua bernasib baik dan kalau kita ada lebih sedikit, tolong orang-orang memerlukan.”
This website uses cookies.