Datuk Prof Muhaya memiliki personaliti yang lembut dan apabila berbicara sentiasa tenang umpama sedang meluahkan perasaan dan mendengar nasihat daripada ibu sendiri.
Itulah aura yang dimiliki oleh Datuk Prof Dr Che Muhaya Haji Mohamad ini. Kata nasihat wanita yang berusia 65 tahun ini bersahaja tapi terus menusuk ke tangkai hati. Bagi lah apa sahaja soalan pasti akan dijawabnya dengan penuh hemah.
Lembut komen Datuk Prof Muhaya tentang ramai wanita yang menjaja kisah rumahtangga di media sosial. “Saya nak beritahu ada 3 racun wanita,” kata pakar mata yang mendapat Ijazah Doktor Perubatan (M.D) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini.
Yang pertama; pujian.
Yang kedua; wanita nak orang validate (mengesahkan) dia.
Yang ketiga; penghargaan.
“Jadi kalau wanita hidup macam ini mereka akan penat. Sebab kebahagiaan itu bergantung kepada apa orang kata. Bila orang puji dia akan gembira namun dia jadi mangsa kehidupan.
Kalau orang yang meluahkan perasaan dan emosi serta rumahtangga di media sosial bererti dia sedang mencari perhatian. Ini kerana dia tidak rasa cukup bagus.
Semua ini adalah tanda-tanda orang yang luka batinnya. Mungkin dia tidak mendapat perhatian masa kecil,” ulas Datuk Prof Muhaya yang memperoleh sarjana Perubatan dari Universiti Nasional Singapura pada tahun 1992 dan memperoleh FRSC (Edinburgh) juga pada tahun 1992.
Tambah wanita yang bergelar Pakar Mata pertama di Asia Tenggara ini lagi, “Jalan terbaik adalah isteri itu kena sedar diri. Caranya pagi-pagi kita kena ‘check in‘.
Tanya pada diri sendiri apakah saya sayang diri saya, apakah saya syukur kepada Allah, apakah saya sedar diri saya dengan cari ilmu, apakah saya sabar dengan segala yang berlaku kepada saya, apakah saya sucikan hati saya, adakah saya sedekah selalu dan adakah saya jaga silaturrahim.
Kualiti hidup kita bergantung kepada kualiti emosi. Kalau kita tak jaga emosi dan emosi tak seronok bila salah fokus. Salah fokus ini bila kita lari daripada fokus sebenar iaitu cari reda Allah. Orang yang mencari penghargaan manusia akan sentiasa negatif dan orang yang cari reda Allah dia kan sentiasa positif,” ucap wanita yang mempunyai darah kacukan Cina ini.
Menurut wanita yang berjaya memperoleh Ph.D dalam bidang Ocular Immunology daripada University of London ini sebagai kawan kita jangan tegur secara terang-terangan di media sosial. Sebaik-baiknya kita ‘PM Tepi’. Sebab ulama mengatakan kalau kamu tegur orang di khalayak ramai kamu menghina dan memalukan dia. Kalau kamu menasihatinya bermakna kamu menghormatinya. Kita doakan yang terbaik untuk kawan kita tu.
Isteri kepada Dr Azmi Jamion ini menambah, “Jika ada isteri yang menjaja kisah rumahtangga mereka di media sosial. Saya nak bagitahu jika berita negatif itu dibaca oleh 5 ribu orang maka negatif itu bertambah 5 ribu.
Kita berdosa dan bayangkan kalau kita berdosa jiwa kita kotor agak-agak doa kita makbul tak? Wahai wanita sekalian, kita kalau nak suruh suami kita sayang bukan suruh suami sayang tapi suruh Allah sayang.
Siapa yang Allah sayang maka Allah akan berfirman kepada semua malaikat campakkan kasih sayang orang semua pada dia. So kalau nak suruh suami sayang biar Allah sayanglah. Senang sahaja, cari reda Allah,” ucap wanita yang lahir pada 1 Disember 1958 ini.
Baca juga; Datuk Prof Muhaya Bergelar Ibu Usia 26 tahun
This website uses cookies.