DATUK SERI NANCY Saran Pendekatan ‘Hallyu’ Untuk Tarik Pelancong Ke Malaysia

Memetik kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri ketika sesi townhall Youth in Tourism 2022 yang berlangsung pada 17 Oktober 2022, Malaysia boleh belajar daripada fenomena Hallyu atau ‘Gelombang Korea’ yang dibawa Korea Selatan bagi mempromosikan industri pelancongan negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Katanya, sejak 20 tahun lalu Korea Selatan sudah mula mempromosikan Hallyu menerusi drama, filem dan muzik pop popular mereka.

Pendekatan itu terbukti berjaya apabila kini Korea Selatan sangat dikenali di seluruh dunia sekali gus menimbulkan minat pelancong untuk ke negara itu.

“Malah lokasi penggambaran drama atau filem Korea Selatan turut dipromosikan oleh mereka. Kita di Malaysia juga ada beberapa lokasi penggambaran terkenal tetapi kurang dipromosikan.

“Kita di pihak kementerian sedia membantu untuk tujuan promosi tetapi mereka yang berada di kawasan itu juga harus merebut peluang itu,” katanya.

Datuk Seri Nancy beramah mesra dengan para peserta.

Seramai 300 peserta terdiri daripada pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta, pengusaha produk pelancongan dan penggiat pertubuhan bukan kerajaan, hadir pada acara itu membincangkan cabaran serta solusi bagi mengukuhkan industri pelancongan.

Datuk Seri Nancy turut menggesa penggiat industri pelancongan mempelajari teknologi terkini bagi mempromosikan produk mereka.

“Sebagai contoh, kita boleh belajar menggunakan algoritma di media sosial untuk mendapat capaian yang lebih terbaik.

“Kita semua juga mesti berinovatif dalam mengetengahkan idea baharu lebih dinamik, bersesuaian dengan kehendak dan keperluan semasa untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke Malaysia.”

Sumber & Kredit Foto: Bernama

Majalah Nona juga ada di Telegram. Jom follow sekarang untuk akses artikel dan video-video terkini. Klik link DI SINI https://t.me/majalahnona

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad