Kempen Amal Kerjasama YAYASAN NURJIWA & Alpha IVF Bantu Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik

Pusat IVF terbesar di rantau ini, Alpha IVF & Pakar Wanita (Alpha IVF) baru-baru ini telah melancarkan kempen amal menerusi Yayasan Nurjiwa.

Kempen yang dinamakan sebagai Perfect 10, Perfect Love ini dilancarkan bersempena ulang tahun Alpha IVF yang ke-10 dan perjalanan kejayaan mereka dalam menyediakan rawatan kesuburan buat pasangan yang menghadapi kesukaran dalam memiliki zuriat.

Turut serta adalah pengasas Yayasan Nurjiwa iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Kempen ini juga merupakan satu inisiatif untuk menggerakkan komuniti bagi membantu kanak-kanak yang kurang berkemampuan menerusi derma kewangan. Maka, orang ramai diseru untuk menyertai kempen ini dalam usaha mencapai sasaran bagi mengumpul wang berjumlah RM500 ribu.

Teknik seperti Intra-Uterine Insemination (IUI) atau In-Vitro Fertilisation (IVF) sememangnya tidak asing lagi bagi kita khususnya bagi pasangan yang berusaha untuk mendapatkan zuriat. Pasukan pakar Alpha IVF berjaya mengaplikasi teknik-teknik ini dalam merealisasikan impian pasangan yang menanti kehadiran zuriat dalam hidup mereka.

Walau bagaimanapun, tidak semua kanak-kanak bernasib baik dan dilahirkan dalam keluarga yang penyayang dan supportive. Ramai sebenarnya yang mengimpikan untuk memiliki kehidupan keluarga bahagia.

Terdapat banyak kes yang mana kanak-kanak dilahirkan tidak sebagai anak yatim sebaliknya dalam keadaan serba kekurangan dan tiada pilihan. Lebih malang lagi ada yang dihantar ke institusi kebajikan seperti rumah anak-anak yatim. Berdasarkan statistik, kira-kira 64 ribu kanak-kanak di Malaysia yang tinggal di institusi tersebut disebabkan faktor kemiskinan, kurang upaya, cacat mental, masalah sosial, perubatan, kesihatan dan sebagainya.

Namun, tinggal di tempat sedemikian bukanlah penyelesaian terbaik kerana mereka mungkin tiadak berpeluang menikmati usia muda seperti kanak-kanak lain. Kesannya mereka mungkin menghadapi masalah sosial, emosi dan psikologi ketika membesar. Maka pentingnya sumbangan ini bagi menyediakan bantuan pendidikan, penyelidikan serta kewangan.

Kredit: Instagram @ctdk
Kredit: Instagram @ctdk

“Sewajarnya, kanak-kanak yang kurang bernasib baik ini berhak mendapat perhatian dan bantuan apatah lagi dalam keadaan sukar menghadapi pandemik COVID-19,” ungkap Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Menurut Pengarah Urusan  Alpha IVF, Dato’ Dr Colin Lee, bersempena ulang tahun Alpha IVF ke-10 mereka amat komited untuk membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik dengan memberikan sokongan emosi dan kasih sayang. Bagi beliau setiap kanak-kanak berhak untuk merasainya.

Sumbangan akan disalurkan ke Yayasan Nurjiwa sekaligus penderma mendapat pengecualian cukai. Sumbangan akan diserahkan kepada OrphanCare sebagai wakil yang menguruskan dan mengagihkanya kepada kanak-kanak serta keluarga yang terlibat.

OrphanCare merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Antara misinya ialah melaksanakan proses deinstitutionalisation seterusnya membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik menerima akses pendidikan, penjagaan kesihatan yang berkualiti, sokongan serta perlindungan daripada komuniti.

Sumbangan boleh disalurkan dalam bentuk tunai atau cek selewat-lewatnya pada 30 Jun 2021 ke akaun YAYASAN NURJIWA (Maybank 5144 8610 6455). Kemudian emailkan slip bayaran ke yayasannurjiwa2021@gmail.com

Kempen Perfect 10, Perfect Love ini turut menerima sokongan padu daripada syarikat perubatan terkemuka seperti Cryocord, Merck Sdn Bhd dan EP Plus Group Sdn Bhd.

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad