Datuk Sudirman Genap 30 Tahun Pergi Selamanya, Penghibur No 1 Asia Ini Tiada Pengganti

Tanpa disedari rupanya hari ini genap 30 tahun Penghibur No 1 Asia, Datuk Sudirman Haji Arshad meninggalkan kita buat selamanya. Memori indah yang ditinggalkan penyanyi kesayangan ramai ini masih diingati sehingga ke hari ini.

Masih ingat lagi saat berbicara dengan salah seorang peminat Datuk Sudirman suatu ketika dahulu. Menurut peminatnya itu, Penghibur No 1 Asia ini pasti membalas kad ucapan bersempena Hari Raya Aidilfitri kepada setiap peminat yang menghantar kepadanya.

Foto: Facebook Sudirman Official Fan Page

Ketika itu tiada ucapan secara elektronik hanya kad sebagai pengganti diri. Begitulah bagaimana penghibur yang meninggalkan kita pada jam 4 pagi 22 Februari 1992 di usia 37 tahun ini menghargai peminatnya. Sukar berjumpa dengan insan seni sebegini lagi.

Fakta Tentang Datuk Sudirman Haji Arshad

Keluarga
Penghibur No 1 Asia ini  dilahirkan pada 25 Mei 1954 di Temerloh, Pahang. Beliau merupakan anak ke tujuh daripada sembilan orang adik beradik.

Foto: Facebook Sudirman Official Fan Page

Kedua ibu bapa beliau adalah tokoh politik yang tidak asing lagi di bandar tersebut. Bapanya Allahyarham Haji Arshad bin Haji Hassan, seorang ahli perniagaan dan juga merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Temerloh.

Sementara ibunya adalah wanita pertama yang menjadi wakil rakyat Pahang iaitu Allahyarhamah Puan Ramlah binti Dahlan. (Sumber: umlibguides.um.edu.my)

Foto: Facebook Sudirman Official Fan Page

Pendidikan
Datuk Sudirman mendapat pendidikan awal di SK Temerloh pada tahun 1961 dan pelajaran menengah di SMK Sultan Abu Bakar, Kuantan sehingga tamat tingkatan enam.

Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya pada tahun 1976 dan meraih ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Kepujian (L.L.B. (Hons)) pada tahun 1980 dan diiktiraf sebagai peguam (called to the Bar) pada tahun 1984. (Sumber: umlibguides.um.edu.my).

Anak saudara beliau, Razman Azrai Zainudin atau Atai mengikut jejak langkahnya sebagai penyanyi.

Foto: Facebook Sudirman Official Fan Page

Kerjaya
Datuk Sudirman menjadi peguam untuk beberapa tahun, namun meninggalkan profesion itu untuk fokus kepada kerja seninya.

Karier seninya bermula apabila menjuarai Bintang RTM 1976. Album pertamanya, “Aku Penghiburmu” terbit pada 1978 dan Datuk Sudirman tamat pengajian 2 tahun kemudian.

Namanya popular sebagai bintang utama era 80-an dengan deretan lagu hits bersama gaya persembahannya yang kreatif.

Foto: Facebook Sudirman Official Fan Page

Bintang ini melakar sejarah pada malam 15 April 1986 apabila mengadakan konsert terbuka dan percuma di Jalan Chow Kit yang disaksikan oleh lebih 100,000 penonton dari segenap lapisan masyarakat Malaysia khususnya di sekitar KL.

Datuk Sudirman dinobatkan sebagai ‘Penghibur Nombor 1 Asia’ pada Salem Asian Music Awards di Royal Albert Hall, London pada 19 Mac 1989, mengatasi peserta lain antaranya legenda pop Hong Kong, Leslie Cheung dan Anita Sarawak dari Singapura.

Datuk Sudirman pernah bergelar pelakon apabila membintangi filem ‘Kami’ (1982) sebagai teraju utama. Beliau juga pernah menerbitkan buku kanak-kanak dan autobiografinya sendiri, menjadi kolumnis serta wartawan sambilan.

Foto: Facebook Sudirman Official Fan Page

Datuk Sudirman juga pernah menghasilkan komik lukisannya sendiri yang diterbitkan di majalah dan akhbar tempatan.

Selain itu, Datuk Sudirman merupakan seorang usahawan yang menghasilkan minuman ringan ‘SUDI’ serta membuka kedai menjual rangkaian cenderamata jenamanya sendiri.

Sumber: Arkib Negara Malaysia, NST, Utusan Malaysia

Baca juga; Seniwati Datuk Hajah Sarimah Kekal Cantik Di Usia 78 

Share
Published by
Hamizatul Maizan