Kehadiran pensyarah vokal, Datuk Syafinaz Selamat sebagai juri tetap program realiti Gegar Vaganza bagi musim yang kelapan benar-benar mencuri tumpuan. Penampilannya yang anggun dan elegan menarik perhatian orang ramai ditambah pula dengan komennya yang membina itu.
Melihat kejelitaannya bagai tidak percaya wanita ini bakal menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-49 pada 11 Januari akan datang. Wanita ini juga sering berkongsi pengalamannya di pentas hiburan tanah air.
Penyanyi kelahiran Johor ini telah dianugerahkan pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk. Pingat berkenaan dikurniakan oleh Yang Dipertuan Agong Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara sempena Hari Wilayah Persekutuan pada tahun 2018.
Datuk Syafinaz juga telah kembali aktif di persada seni apabila telah melancarkan single terbaharu, yang berjudul Persis Salju pada April lalu. Kerinduan peminat kepada penyanyi bersuara emas ini terubat menerusi lagu ini lantaran sudah hampir 20 tahun menunggu lagu baharu beliau.
Kalau diputar kembali masa dari awal pembabitan wanita kelahiran Pontian, Johor ini dalam industri seni sejak berumur seawal 7 tahun, telah banyak kejayaan dan pengiktirafan yang berjaya dirangkulnya.
Bahkan, pengetahuan serta pengalaman Syafinaz dalam dunia hiburan, seni suara dan persembahan juga telah menjadikan beliau antara juri popular yang sering diundang dalam pertandingan nyanyian dan program realiti.
Wanita tinggi lampai yang terkenal dengan suara soprano ini juga merupakan konduktor dan vocal master untuk Koir Permata Seni. Selain itu, Datuk Syafinaz juga pernah bertindak sebagai juri program nyanyian popular seperti Malaysian Idol, AF Megastar dan terbaharu Gegar Vaganza 8.
Bukan itu sahaja, Datuk Syafinaz yang popular menerusi lagu Ingin Bersamamu ini juga adalah pensyarah vokal di Jabatan Muzik Fakulti Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, pensyarah Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA) serta vokal master untuk Koir Kebangsaan Malaysia.
Nona tumpang berbangga dengan pencapaian yang berjaya dikecapinya. Kejayaan beliau ini juga wajar dijadikan inspirasi kepada semua wanita untuk terus berusaha mencapai cita-cita.