Azharina, penyanyi yang dikenali dengan lagu Alegi Sepi dianugerahkan Tourism Icon of The Year (Celebrity) di Malaysia Tourism Council (MTC) Gold Awards yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching, Sarawak (BCCK), semalam. Azharina berkata, anugerah yang diterima menerusi acara yang disokong Kementerian Pelancongan dan Kerajaan Negeri Sarawak itu dianggap rezeki hasil kerja keras selama 22 tahun berada dalam bidang seni.
“Alhamdulillah, kerja keras selama 22 tahun dalam bidang seni terbayar. Bagi saya, ini juga rezeki anak-anak, Rahmat dan Redha. Saya hanya menumpang. Sebenarnya saya tidak menjangka mendapat panggilan daripada pihak Malaysia Tourism Council untuk penerimaan anugerah ini. Sebelumnya, kategori ini pernah diberikan kepada Datuk Sheila Majid dan Datuk Seri Siti Nurhaliza,” katanya kepada Harian Metro.
View this post on Instagram
Menurut Azharina, pemilihan itu dibuat berdasarkan sumbangan diberikan sebagai anak seni pada industri dan sektor pelancongan dalam negara.
“Mereka melihat pada sumbangan saya dalam bidang pelancongan dalam Malaysia. Apatah lagi sebelum ini saya ada mengadakan konsert di Australia dan menjadi orang Malaysia pertama yang membuka syarikat hiburan di Melbourne. Kemudian saya juga ada membuat persembahan amal di sana tahun lalu.
“Pastinya ‘track record’ yang ada ini diambil kira. Dalam masa sama, saya juga ada menerbikan program berbentuk dokumentari bagi mempromosikan pelancongan dalam negara,” katanya.
Sumber: Sudirman Mohd Tahir (Harian Metro)