Sudah beberapa kali menulis menemuramah cef popular yang sinonim dengan perwatakan yang mudah untuk didekati ini. Setiap kali menemuramahnya, beberapa kali dia membisikkan hasrat untuk membuka sebuah restoran yang menyajikan pelbagai hidangan Melayu dan gabungan Baba dan Nyonya untuk dinikmati oleh penggemar hidangan istimewa masyarakat Malaysia ini. Tahun ini, Chef Wan atau nama sebenarnya Datuk Redzuawan bin Ismail mengotakan janjinya dengan membuka restoran dikenali sebagai De.Wan 1958 by Chef Wan ketika umat Islam sibuk dalam mempersiapkan diri menghadapi bulan Ramadan Al Mubarak.
De. Wan 1958 by Chef Wan yang dibuka di The Linc, sebuah bangunan yang berlokasi strategik di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur kini menjadi salah satu lokasi ikonik untuk menikmati hidangan yang bukan sahaja disediakan oleh sepasukan cef yang berpengalaman serta mendapat tunjuk ajar sendiri oleh Chef Wan terutamanya dalam menyediakan pelbagai menu keluarganya untuk sama-sama dinikmati oleh para pelanggan yang datang menjamu selera di De. Wan 1958 by Chef Wan ini.
Memahami personaliti Chef Wan yang sentiasa inginkan mutu hidangan terbaik untuk disajikan kepada para pelanggan, Chef Wan tidak lokek berkongsi ilmu dan memberi tunjuk ajar kepada barisan cef yang mengemudi bahagian penyediaan hidangan di De. Wan 1958 by Chef Wan agar hidangan yang disajikan tidak banyak bezanya dengan air tangan hasil masakan Chef Wan sendiri. Tidak hairanlah, cef selebriti ini sentiasa meluangkan masa berada di restoran kesayangannya bagi memastikan segala operasi berjalan dengan lancar.
Ads
Ketika pertama kali penulis melangkah masuk ke De.Wan 1958 by Chef Wan, penulis teruja melihat konsep dekorasi yang diterapkan di sini. Mana tidaknya, walaupun ia menyajikan hidangan masakan Melayu, gaya dekorasi yang elegan dengan gabungan elemen moden yang mewah menjadikan ia sebuah restoran mewah yang membawa hidangan Malaysia ke satu peringkat yang lebih tinggi! Ya, tidak dapat dinafikan Chef Wan banyak menggunakan unsur dekorasi bagaikan berada di kediamannya sendiri dengan penggunaan rona mewah seperti merah, gabungan panel kayu yang diberi sentuhan mewah, susun atur beberapa porselin kesayangannya serta beberapa hasil seni lukisan yang digantungkan di dinding restoran. Ternyata, Chef Wan mempunyai taste yang tinggi dalam seni dekorasi yang diterapkan di restorannya.
Selain ruang makan yang terbuka, De. Wan 1958 by Chef Wan turut menyediakan beberapa bilik persendirian untuk membolehkan tetamu yang datang secara berkumpulan menikmati hidangan yang disediakan dalam suasana yang lebih eksklusif dan tanpa gangguan. Malah, sebuah meja makan Panjang yang boleh menempatkan sehingga 20 orang tetamu juga menjadi pilihan pelanggan yang datang secara berkeluarga menikmati hidangan dalam suasana yang lebih mesra.
Ads
Ads
Usai menyebut tentang dekorasi yang diterapkan, pastinya para pelanggan yang datang ke De.Wan 1958 by Chef Wan tidak sabar untuk menikmati pelbagai hidangan yang disediakan di sini. Untuk hidangan tengah hari atau malam, De. Wan 1958 by Chef Wan menyediakan tidak jenis nasi yang terdiri dari nasi putih,nasi kuning dan nasi ulam untuk dinikmati oleh para tetamu.
Antara hidangan masakan Melayu yang boleh dinikmati di sini termasuklah kerabu pucuk paku bersama kerang, ikan jenahak goreng bersama sos soya, pulut hitam bersama durian, ikan bakar, kambing kuzi, cucur udang, popiah istimewa air tangan Chef Wan, ayam kapitan, gulai lemak udang bersama nenas gaya Nyonya dan sebagainya. Malah, sepanjang Ramadan lalu, restoran milik Chef Wan ini menerima sambutan yang hangat di kalangan penggemar hidangan masakan Melayu untuk dinikmati ketika sajian berbuka puasa.
Ditambah pula dengan edisi Hari Raya dan rumah terbuka pula, Chef Wan mengambil inisiatif dengan memperkenalkan beberapa menu baharu yang bersesuaian untuk jamuan hari raya bagi membolehkan makanan tradisi Melayu diberi sentuhan lebih eksklusif khususnya agar ia dapat menarik kunjungan pelancong asing untuk mencuba hidangan Melayu dan Malaysia yang kaya dengan hidangan yang menyelerakan.
Jadi, untuk menghargai menu warisan, kunjungan ke De.Wan 1958 by Chef Wan boleh dijadikan pilihan kerana ia bukan sahaja menyajikan hidangan yang enak dan menyelerakan, tetapi tidak mengambil ringan soal kualiti bahan mentah yang digunakan. Menyentuh soal harga pula, ia masih berada pada tahap mampu milik apatah lagi sesuai dengan kualiti hidangan serta dekorasi yang disediakan sambil menjamu selera. Berbaloi bukan!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Nona salute bakat kulinari dan cara Anis Nabilah yang tidak putus-putus mempromosikan sajian Malaysia kepada dunia. Pelantikannya sebagai Pakar Perisa KitKat sejak tahun lalu dimanfaatkan sebaik-baiknya cef selebriti ini yang ternyata bijak mengetengahkan juadah tradisi dan makanan kegemaran rakyat Malaysia sebagai elemen utama dalam penghasilan coklat premium jenama tempatan ini.
Berbekalkan pengalaman luas yang ditimba selama ini, Anis menzahirkan kreativiti pembuatan coklat KitKat berteraskan cita rasa rakyat Malaysia sehingga terhasilnya wafer coklat berperisa Nasi Lemak, Deconstructed Ice Kacang, Ice Cream Potong, Traditional Onde Onde, Teh Tarik, Durian Delight dan Milo. Sempena ulang tahun pertama pembukaan kedai konsep KitKat Chocolatory di Mid Valley Megamall semalam, Anis turut berbesar hati membuat demonstrasi penyediaan coklat tersebut sebelum diberikan kepada orang ramai.
“Dengan bantuan KitKat, saya dapat menghasilkan pelbagai perisa yang menyeronokkan dan benar-benar menjiwai selera Malaysia. Dari Deconstructed Ice Kacang, Ice Cream Potong hingga ke Traditional Onde Onde, saya tidak akan melupakan asal-usul saya sebagai rakyat Malaysia dan sentiasa berusaha mencari keseimbangan antara ramuan tempatan dari Malaysia dan antarabangsa untuk mengeluarkan ciptaan KitKat saya sendiri.
KitKat Chocolatory memberi peluang kepada setiap pelanggan dan juga penggemar coklat untuk mencipta perisa coklat yang diinginkan dengan hasil yang sungguh luar biasa,” tuturnya.
Selain mengandungi ramuan berkualiti seperti kacang badam panggang, karamel kenyal dan kepingan cili pedas, KitKat Chocolatory turut menawarkan sebanyak 10,000 kombinasi perisa berbeza kepada pelanggan. Malah, ia juga sesuai dijadikan sebagai hadiah atau cenderahati kerana mempunyai pilihan kotak hadiah pelbagai warna dan corak berserta mesej tersendiri.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kalau anda pernah singgah ke restoran Fizo Mawar Kitchen di Seksyen 8, Bangi pasti terpikat selera dengan menu yang ada di sana. Mula beroperasi pada awal Januari tahun lepas, restoran ini mengetengahkan sajian dari Thailand dan Kelantan dengan harga yang cukup berpatutan.
Selain menggemari kuih tradisi Akok, Nona juga tertarik dengan penyediaan hidangan Miang Kam. Ringkas dan sedap. Sementara menu Tom Yam pula penuh dengan hidangan seafood segar. Jika tak berpeluang untuk ke sana lagi, apa kata cuba resipi yang dikongsikan Fizo ini.
Selamat mencuba!
MIANG KAM
Bahan-bahan sos miang kam:
8 gram bawang merah
5 gram bawang putih
60 gram halia
2.5 gram cili padi
1 batang serai
250 gram gula padi
4 keping gula kabung
17 gram garam
2.5 gram ajinamoto
Air asam jawa
Bahan-bahan miang kam:
20 helai daun kaduk
Halia
Cili padi
Lengkuas
Limau nipis
Bawang merah
Kelapa parut (digoreng)
Kacang tanah (dipanggang)
Udang kering (dipotong halus)
Cara membuat:
Kisarkan semua bahan membuat sos kecuali gula dan air asam jawa. Masukkan semuanya ke dalam periuk sehingga mendidih. Seterusnya, masukkan gula bersama air asam jawa. Bubuh garam dan ajinamoto secukup rasa. Kacau hingga pekat dan sejukkan seketika. Hiris nipis cili padi, lengkuas, halia, limau nipis dan bawang merah. Panggang kacang tanah dan goreng kelapa parut hingga keperangan tanpa menggunakan minyak. Untuk menikmati miang kam, ambil daun kaduk dan letakkan bahan-bahan yang diperlukan ke atasnya. Kemudian, tuangkan sos yang telah siap dan digulung. Sedia untuk dinikmati.
TOM YAM
Bahan-bahan:
(untuk 4 orang makan)
Pes tom yam
4 batang serai (ditumbuk)
4 biji tomato
2 inci lengkuas
3 helai daun limau
12 tangkai cili padi
4 ekor sotong
8 ekor udang
280 gram isi ayam
24 ekor lala
80 gram cendawan
3 biji bawang Holland
Air limau
Cara membuat:
Masukkan air rebusan ayam dan udang yang telah direbus di dalam kuali. Seterusnya, masukkan pula serai, lengkuas, daun limau, cili padi, bawang dan cendawan. Kemudian, masukkan 6 senduk pes tom yam yang telah siap. Kacau hingga sebati dan mendidih. Selepas itu, masukkan sotong, udang, lala dan isi ayam. Akhir sekali, masukkan empat sudu air limau. Siap untuk dihidang.
Resipi: TERIMA KASIH FIZO OMAR, RESTORAN FIZO MAWAR KITCHEN, 7 & 9 JALAN 8/1 SEKSYEN 8, BANGI, SELANGOR
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bagi penggemar sajian makanan laut, anda akan rugi kalau tidak mencuba menu istimewa ini. Udang Sos ‘Aku Suka’ misalnya mempunyai rasa unik dan pasti menambat selera, tidak ketinggalan aroma udang masak lemak cili padi yang membuatkan anda ingin menikmatinya sehingga ke hidangan yang terakhir.
Manfaatkan hari cuti minggu dengan menjamu seisi keluarga dua resipi udang istimewa. Selamat mencuba!
UDANG SOS ‘AKU SUKA’
Bahan-bahan:
500 gram udang harimau (saiz sederhana)
2 cawan air rebusan udang
10 tangkai cili merah
½ cawan cili boh
3 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2 sudu besar serbuk kari ikan
4 sudu besar mentega
6 ulas bawang putih
200 ml krim masakan
299 ml susu segar
1 sudu teh perencah stok ayam
Garam secukup rasa
Daun kari (jika mahu)
Cara membuat:
Bersihkan udang dan rebus selama lima hingga tujuh minit dalam air menggelegak (ketepikan air rebusan). Kisar cili boh dan cili merah kemudian ketepikan. Seterusnya kisar bawang putih bersama sedikit minyak dan mentega. Angkat dan ketepikan. Tuang minyak dan cairkan mentega. Tumis bawang merah dan bawang putih seketika diikuti serbuk kiri yang telah dibancuh bersama air. Sesudah itu, masukkan bahan kisar cili tadi seterusnya bahan kisar bawang putih dan mentega. Kacau sekata sebelum dituangkan air rebusan udang, krim masakan dan susu segar. Bubuh perencah ayam dan garam secukup rasa. Kemudian, masukkan pula udang yang telah direbus. Kacau sebati. Tabur daun kari jika mahu dan hidangkan.
UDANG GALAH MASAK LEMAK
Bahan-bahan:
4 – 5 ekor udang galah
5 – 10 tangkai cili padi (dilumatkan)
1 sudu teh serbuk kunyit (dimasukkan bersama cili padi)
1 helai daun kunyit (dihiris)
1 batang serai (dititik)
1 sudu besar air limau
200 ml santan
400 ml air rebusan udang galah
1 sudu besar perencah stok ayam
Garam secukup rasa
Cara membuat:
Rebus udang galah selama lima hingga tujuh minit. Toskan dan angkat. Ambil air rebusan tadi dan asingkan. Panaskan air rebusan udang tadi dan masukkan serbuk kunyit. Masukkan cili padi dan serai ke dalam masakan. Seterusnya, tuang santai dan masak dengan api kecil hingga santan menggelegak. Masukkan pula udang yang direbus dan ulang kacau kuah. Pastikan tidak pecah minyak. Sesudah itu, tuang air limau bersama perencah stok ayam. Akhir sekali perasakan dengan garam dan tabur hirisan daun kunyit.
Resipi: TERIMA KASIH ENCIK ASRUL HUSNI DAN PUAN RAHIMAH, MY STORY CAFE, KOTA KEMUNING, SHAH ALAM
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!