Dekorasi MEWAH, Hidangan AUTENTIK Melayu Pilihan Chef Wan!

Sudah beberapa kali menulis menemuramah cef popular yang sinonim dengan perwatakan yang mudah untuk didekati ini. Setiap kali menemuramahnya, beberapa kali dia membisikkan hasrat untuk membuka sebuah restoran yang menyajikan pelbagai hidangan Melayu dan gabungan Baba dan Nyonya untuk dinikmati oleh penggemar hidangan istimewa masyarakat Malaysia ini. Tahun ini, Chef Wan atau nama sebenarnya Datuk Redzuawan bin Ismail mengotakan janjinya dengan membuka restoran dikenali sebagai De.Wan 1958 by Chef Wan ketika umat Islam sibuk dalam mempersiapkan diri menghadapi bulan Ramadan Al Mubarak.


De. Wan 1958 by Chef Wan yang dibuka di The Linc, sebuah bangunan yang berlokasi strategik di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur kini menjadi salah satu lokasi ikonik untuk menikmati hidangan yang bukan sahaja disediakan oleh sepasukan cef yang berpengalaman serta mendapat tunjuk ajar sendiri oleh Chef Wan terutamanya dalam menyediakan pelbagai menu keluarganya untuk sama-sama dinikmati oleh para pelanggan yang datang menjamu selera di De. Wan 1958 by Chef Wan ini.


Memahami personaliti Chef Wan yang sentiasa inginkan mutu hidangan terbaik untuk disajikan kepada para pelanggan, Chef Wan tidak lokek berkongsi ilmu dan memberi tunjuk ajar kepada barisan cef yang mengemudi bahagian penyediaan hidangan di De. Wan 1958 by Chef Wan agar hidangan yang disajikan tidak banyak bezanya dengan air tangan hasil masakan Chef Wan sendiri. Tidak hairanlah, cef selebriti ini sentiasa meluangkan masa berada di restoran kesayangannya bagi memastikan segala operasi berjalan dengan lancar.

Ketika pertama kali penulis melangkah masuk ke De.Wan 1958 by Chef Wan, penulis teruja melihat konsep dekorasi yang diterapkan di sini. Mana tidaknya, walaupun ia menyajikan hidangan masakan Melayu, gaya dekorasi yang elegan dengan gabungan elemen moden yang mewah menjadikan ia sebuah restoran mewah yang membawa hidangan Malaysia ke satu peringkat yang lebih tinggi! Ya, tidak dapat dinafikan Chef Wan banyak menggunakan unsur dekorasi bagaikan berada di kediamannya sendiri dengan penggunaan rona mewah seperti merah, gabungan panel kayu yang diberi sentuhan mewah, susun atur beberapa porselin kesayangannya serta beberapa hasil seni lukisan yang digantungkan di dinding restoran. Ternyata, Chef Wan mempunyai taste yang tinggi dalam seni dekorasi yang diterapkan di restorannya.


Selain ruang makan yang terbuka, De. Wan 1958 by Chef Wan turut menyediakan beberapa bilik persendirian untuk membolehkan tetamu yang datang secara berkumpulan menikmati hidangan yang disediakan dalam suasana yang lebih eksklusif dan tanpa gangguan. Malah, sebuah meja makan Panjang yang boleh menempatkan sehingga 20 orang tetamu juga menjadi pilihan pelanggan yang datang secara berkeluarga menikmati hidangan dalam suasana yang lebih mesra.

Usai menyebut tentang dekorasi yang diterapkan, pastinya para pelanggan yang datang ke De.Wan 1958 by Chef Wan tidak sabar untuk menikmati pelbagai hidangan yang disediakan di sini. Untuk hidangan tengah hari atau malam, De. Wan 1958 by Chef Wan menyediakan tidak jenis nasi yang terdiri dari nasi putih,nasi kuning dan nasi ulam untuk dinikmati oleh para tetamu.
Antara hidangan masakan Melayu yang boleh dinikmati di sini termasuklah kerabu pucuk paku bersama kerang, ikan jenahak goreng bersama sos soya, pulut hitam bersama durian, ikan bakar, kambing kuzi, cucur udang, popiah istimewa air tangan Chef Wan, ayam kapitan, gulai lemak udang bersama nenas gaya Nyonya dan sebagainya. Malah, sepanjang Ramadan lalu, restoran milik Chef Wan ini menerima sambutan yang hangat di kalangan penggemar hidangan masakan Melayu untuk dinikmati ketika sajian berbuka puasa.


Ditambah pula dengan edisi Hari Raya dan rumah terbuka pula, Chef Wan mengambil inisiatif dengan memperkenalkan beberapa menu baharu yang bersesuaian untuk jamuan hari raya bagi membolehkan makanan tradisi Melayu diberi sentuhan lebih eksklusif khususnya agar ia dapat menarik kunjungan pelancong asing untuk mencuba hidangan Melayu dan Malaysia yang kaya dengan hidangan yang menyelerakan.


Jadi, untuk menghargai menu warisan, kunjungan ke De.Wan 1958 by Chef Wan boleh dijadikan pilihan kerana ia bukan sahaja menyajikan hidangan yang enak dan menyelerakan, tetapi tidak mengambil ringan soal kualiti bahan mentah yang digunakan. Menyentuh soal harga pula, ia masih berada pada tahap mampu milik apatah lagi sesuai dengan kualiti hidangan serta dekorasi yang disediakan sambil menjamu selera. Berbaloi bukan!

IKLAN
Share