Naluri seorang ibu, walau sibuk dan letih macam mana pun tetap mahukan yang terbaik untuk anak. Dek kerana tidak sanggup berjauhan dan melihat si kecil merengek sedih, ada di kalangan para ibu nekad membawa anak ke pejabat. Lebih-lebih lagi jika mereka masih menyusu badan. Memang satu cabaran besar buat ibu berkerjaya.
KEHADIRAN MATEEN
Seperti kebanyakan ibu lain, Ameera Zaini turut tidak terkecuali berdepan situasi sama. Terang ibu cantik berusia 28 tahun ini, dia dan suami ambil keputusan untuk menjaga Mateen bersama-sama tanpa pertolongan pengasuh.
“Memandangkan Mateen menyusu badan dan tak mahu botol susu, Meera membawa dia ke mana saja. Baik ke pejabat atau pun set penggambaran. Memang letih sebab Meera kena atur betul-betul masa menyusukan Mateen supaya tak ganggu proses penggambaran, mesyuarat dan sebagainya.
Pernah juga Meera bawa Mateen masuk dalam bilik mesyuarat kerana dia tak mahu berenggang dengan Meera. Baru-baru ini pun Meera ke kilang kain sambil dukung Mateen. Ini pengalaman yang sangat berharga dan setiap detik itu Meera hargai sangat-sangat.”
Masih terbayang kesakitan melahirkan Mateen pada 17 Januari yang lalu, Meera dan suami tidak menyangka rezeki untuk menimang cahaya mata hadir dengan cepat disebabkan masalah kesihatan yang dialami Meera waktu itu. “Masa lahirkan Mateen, Meera mengalami contraction selama 20 jam. Tanpa epidural, sepanjang 20 jam itu Meera menahan kesakitan tapi bukaan masih lagi tak cukup. Sakitnya, ya Allah memang menginsafkan!
Baru tahu sakit susahnya nak lahirkan anak. Separuh nyawa dah rasanya sehinggalah Meera dan bayi dalam perut semakin lemah serta perlu dibedah segera. Akhirnya, pada 17/1/17 lahirlah Mateen dengan berat 3.7kg, ” terang Pengasas Fesyen Muslimah Ameera Zaini (AZ) ini.
EMPAYAR AMEERA ZAINI
Mula membina empayar AZ pada tahun 2013 bersama Hasnor yang ketika itu tunangnya, graduan Ijazah Sarjana Muda Farmasi ini kian serius melibatkan diri dalam bidang perniagaan ketika mengacarakan program Hijab Stailista.
“Alhamdulillah, sudah lebih dari 30 design telah dipasarkan tapi buat masa ini AZ dikenali dengan tudung printed dan kami sudah ada lebih kurang 12 rekaan bercorak. AZ juga telah keluarkan clothing line sendiri yang dipasarkan mengikut musim perayaan. Koleksi AZ Basics juga ada dijual di butik AZ di Seksyen 7, Shah Alam.
Tugas suami lebih kepada urusan marketing dan Meera pula bahagian rekaan serta production. Walaupun bekerja bawah satu bumbung tapi tugas kami berbeza-beza. Tipulah kalau tak ada pencanggahan pendapat. Tapi sejujurnya, saya bersyukur rezeki bekerjasama dengan suami sendiri.
Ramai ingat apabila bekerja sendiri bersama mesti ada banyak masa terluang tapi sebenarnya kami makin sibuk. Tambahan pula Meera masih lagi terlibat dalam pengacaraan jadi Meera mengharapkan suami untuk mengetuai syarikat kami.”
Bukan mudah hendak hidup senang dan berjaya. Yang pasti, ia melibatkan banyak pengorbanan dalam segenap hal. Segala-galanya terletak dalam tangan kita sendiri sama ada ingin terus di takuk lama atau melangkah lebih jauh. Moga perniagaan yang diusahakan Meera dan Hasnor terus sukses dan menjadi inspirasi kepada wanita juga pasangan suami isteri di luar sana.