Demi Hargai Petugas Barisan Hadapan, TOH PUAN RAGHAD Hulur Sumbangan Sebanyak RM60 Ribu

Penularan pandemik COVID-19 yang sedang merebak ke seluruh dunia ini sangat membimbangkan. Sehingga ke hari, seperti yang telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia telah meningkat menjadi 15 kes.

Foto: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

Berhadapan dengan saat getir ini, sudah pasti para petugas hadapan adalah orang yang paling sibuk. Mereka telah mengorbankan masa dan tenaga serta bertungkus-lumus melaksanakan tanggungjawab membendung penularan pandemik COVID-19 ini.

Demi menghargai jasa dan pengorbanan para petugas hadapan yang berkorban nyawa serta bersekang mata untuk memutuskan rantaian pandemik COVID-19 ini, isteri TYT yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Raghad Kurdi Taib telah memberi sumbangan sebanyak RM60,000.00 kepada Hospital Umum Sarawak (HUS) dalam usaha menangani wabak Covid-19.

Sumbangan yang disalurkan itu adalah bertujuan untuk membeli ubat-ubatan dan kelengkapan hospital untuk Wad COVID-19 di Sarawak.

Toh Puan Raghad juga turut menzahirkan rasa terharu dan berterima kasih atas segala usaha murni pihak petugas-petugas di barisan hadapan terutamanya pihak hospital dan klinik kesihatan.

Saat ‘Wira COVID-19’ ini menjalankan tanggungjawab dan berusaha melakukan langkah pencegahan, pengesanan serta rawatan, selain berkorban masa dan tenaga serta bersikap profesional dalam menangani situasi pandemik COVID-19, turut mendapat perhatian Toh Puan Raghad.

Toh Puan Raghad juga mendoakan semoga wabak ini dapat dikawal dan dihapuskan sepenuhnya dalam masa terdekat.

Toh Puan Raghad bersama para Pegawai Perubatan Hospital Umum Sarawak

Sehubungan dengan itu, Toh Puan Raghad juga berharap agar rakyat Sarawak akan terus bertenang dan berganding bahu mengawal penularan penyakit itu dengan mematuhi arahan dan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang tempoh Arahan Kawalan Pergerakan yang bermula 18 hingga 31 Mac ini.

Sumber: Astana Negeri Sarawak

Share
Published by
Hamizatul Maizan