Bagi Serina, keputusannya untuk berpisah dengan suami bukanlah satu pengakhiran hidup. Tapi ia mungkin menjadi titik permulaan untuk sesuatu yang lebih baik.

Ads

Berbeza dengan bapa, Serina dilihat lebih tenang perwatakannya. Biarpun semua tahu Serina gemar berceloteh sama seperti Datuk Chef Wan, namun dalam hal-hal berkaitan dengan peribadi, dia lebih selesa untuk mengunci mulut.

“Selepas episod perpisahan itu, saya tekad untuk menjadi kuat dan tak mahu tunjuk kesedihan di depan anak-anak. Papa selalu menjadi tempat saya mendapatkan nasihat kerana apa yang diungkapkan memberi kebaikan buat saya.

Papa bukanlah seorang yang suka campur tangan hal orang lain termasuklah anaknya sendiri. Walaupun orang tengok Papa seorang yang lantang dan suka berceloteh namun Papa tidak pernah ambil tahu tentang rumah tangga saya sebelum ini.

Dan saya pun tak pernah berkongsi hal-hal rumah tangga kepadanya lebih-lebih lagi sewaktu dilanda krisis hebat.

Papa kata, dia tak mahu masuk campur dan tak mahu hukum siapa salah, siapa betul. Ini masa depan saya dan paling penting kebahagiaan saya. Papa hendak lihat saya bahagia. Paling penting tanggungjawab terhadap anak-anak jangan diabaikan. Alhamdulillah saya kuat dan perlu segera move on.

Sebagai anak, saya sangat terharu, kagum dan bangga dengan Papa kerana dia berani tampil mempertahankan maruah anaknya. Saya tak kesal dengan apa yang berlaku kerana yakin Allah SWT akan memberikan yang lebih baik buat saya,” ungkap Serina yang bergilir-gilir menjaga anaknya bersama bekas suami.

Demi Kasih, Datuk Chef Wan Berani Pertahankan Serina. Apa Yang Dilakukan Sangat Mengagumkan!
Majalah Nona Ogos 2017

Ligat Berniaga
Anak-anak dan bapa menjadi kekuatan Serina untuk meneruskan kehidupan yang mendatang. Dia giat mengusahakan perniagaan berasaskan makanan yang dimasak di rumah dan dihantarnya sendiri kepada pelanggan.

Ads

Antara menu popular pilihan pelanggannya ialah Asam Pedas Ikan Pari, Lemak Cili Padi Ketam, Sup Tulang dan Dendeng Berlado. Serina juga mengusahakan Char Kuew Teow Basah di kios USJ Subang Jaya.

“Saya memang suka berniaga. Ketika usia 17 tahun saya pernah bekerja di pasar borong di Selayang. Saya suka tengok orang berniaga dan mahu mencubanya. Bayangkan pukul 3 pagi saya sudah ke pasar borong untuk menyiapkan barang jualan seperti kelapa dan keledek.

Saya pernah menghantar keledek sebanyak 30kg sampai sakit-sakit badan. Pernah juga masuk hospital kerana kerja terlalu kuat. Waktu tu saya cuma dapat bertahan selama 4 bulan saja dan dibayar gaji harian. Selain itu, saya juga pernah bekerja di hotel sebagai operator.

Ads

Kini saya sangat bersyukur kerana Papa antara pelanggan setia produk saya. Papalah orang pertama yang akan beli. Nasihat Papa, kalau nak buat biar sampai berjaya. Jangan mudah putus asa, usah berhenti dalam mencari rezeki. Keluar dari zon selesa dan belajar untuk bangkit daripada kesilapan,” kongsi Serina yang tidak akan pernah lelah untuk mengejar sinar kebahagiaan yang dicarinya selama ini.

Selain ligat mengusahakan perniagaan di bawah jenamanya sendiri iaitu Serina Simply Delicious, ibu kepada dua anak ini juga aktif dalam politik sebagai AJK Bahagian Bukit Bintang dan Ketua Puteri cawangan Jalan P.Ramlee. Amy Mohd

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI