Sebut sahaja Aidijuma, pasti ramai yang membayangkan tudung bawal eksklusif milik Datin Norjuma Habib Mohamed. Cukup sinonim sebagai pengeluar utama tudung bawal di Malaysia dengan kepelbagaian corak rekaan serta harga mampu milik menjadikan jenama ini terus unggul dalam arena fesyen muslimah tanah air. Tidak sekadar mencipta fenomena luar biasa di dalam negara, Aidijuma kembali menjadi bualan ramai apabila muncul di pentas peragaan terkemuka Kota London, semalam.
Berlangsung pada 17 Februari lalu, London Modest Fashion Week 2018 menyaksikan barisan pereka fesyen muslimah terkenal terlibat menjayakan acara gilang-gemilang di bumi United Kingdom ini. Paling mencuri tumpuan, Aidijuma Colors Group of Companies bersama laman web e-dagang HIJUP mengambil alih kepentingan majoriti fesyen muslimah syarikat e-dagang Haute Elan yang berpangkalan di UK sebagai inisiatif terbarunya meluaskan potensi HIJUP dalam pasaran di sana.
Sepanjang hampir enam tahun bertapak kukuh dalam industri fesyen muslimah negara, Aidijuma telah melebarkan sayap niaganya ke seluruh pelosok dunia termasuk menyertai beberapa acara bertaraf antarabangsa seperti Plitz Fashion Show New York 2013, FESPA Award 2014, Brunei Islamic Fashion Festival 2014, Kuala Lumpur International Hijab Festival 2013, 2014, 2015 and 2016, Islamic Lifestyle Expo 2016 di London dan Istanbul Modest Fashion Week 2016.
Aktif memasarkan tudung bawal keluarannya secara online dan offline, Aidijuma mempunyai 12 rangkaian butik di seluruh negara dan 12 buah scarf machine ‘send.sell.story’
yang memberikan pengalaman membeli-belah menyenangkan buat para pelanggan setianya.Mengimbas kejayaan London Modest Fashion Week, Haute Elan selaku penganjur acara fesyen berprestij ini pernah menarik lebih 40 pereka dari serata dunia termasuk Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Mesir, Turki dan Malaysia tahun lalu. Melihat kepada pencapaian tersebut, pelaburan terbaru Aidijuma Colors Group bersama Haute Elan ini nyata usaha yang baik untuk melonjakkan industri fesyen muslimah ke persada dunia.
“Fesyen muslimah adalah trend yang makin berkembang yang menawarkan pilihan dan kebebasan buat para wanita untuk menzahirkan cita rasa fesyen mereka. Memandangkan fesyen ini yang berpotensi berkembang maju, kami sedia membuat pelaburan bersama demi kepentingan masa depan. Kami juga merancang untuk merangka kerjasama perniagaan strategik di seluruh dunia untuk meluaskan fesyen muslimah secara global,” ujar Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Aidijuma Colors Group, Datin Norjuma.
Dengan pelaburan terkini dalam Haute Elan, Aidijuma Colors Group memiliki nilai pelaburan bersama berjumlah US$20 milion termasuk jalinan kerjasama dengan syarikat dari Brunei dan peruncitan BIFASH, syarikat e-dagang Singapura MODESTyle, jenama kosmetik dan penjagaan kulit Simplysiti dan Zawara serta laman e-dagang Indonesia, HIJUP.com.
This website uses cookies.