Berkat dedikasi dan semangat juang tinggi, pencapaian demi pencapaian berjaya digenggaminya. Beliau antara atlet terbaik dengan prestasi mengagumkan di Malaysia. Selepas berbakti hampir 27 tahun pada negara, sudah tiba masanya Datuk Leong Mun Yee memberikan fokus pada diri dan misi peribadinya.
Mesra disapa Angela, meski namanya mungkin tidak sepopular atlet legenda yang lain, namun rentetan pembabitan aktif dan dedikasi serta minat mendalam dalam sukan akuatik dan terjun, namanya diiktiraf dalam Malaysia Book of Records apabila menjadi atlet wanita pertama melayakkan diri ke Sukan Olimpik sebanyak lima kali. Pecapaian yang bukan calang-calang.
Apatah lagi Datuk Mun Yee jarang sekali mengecewakan setiap kali beliau beraksi, dan namanya kekal sebagai salah seorang atlet yang sentiasa menyumbangkan pingat setiap kali penyertaannya.
DEDIKASI
Seawal 10 tahun dirinya dah diperkenalkan dengan sukan terjun. “Asalnya saya seorang perenang, kemudian beralih ke sukan terjun selepas terpilih menjadi sebahagian daripada pasukan terjun perintis negara untuk menyertai Sukan Komanwel 1998,” ujar Datuk Mun Yee membuka bicara.
Akui Datuk Mun Yee, ibu bapanya yang mengalakkan beliau mengambil bahagian dalam sukan ini. “Pada tahun 1995 Majlis Sukan Negara ada membuat pemilihan penerjun bagi skuad Komanwel. Saya dibawa ke sesi tryout
dan saya merupakan salah seorang daripada enam yang dipilih untuk mewakili pasukan kebangsaan dan bertanding di acara penuh berprestij itu.”Bayangkan di usia kanak-kanak lain yang gembira membesar dan bergembira di samping keluarga tersayang, beliau pula perlu berjauhan dari keluarga dan berpindah ke Kuala Lumpur untuk menjalani latihan dalam mempersiapkan dirinya demi bergelar atlet yang sewajarnya dibanggakan.
“Waktu itu, saya sering kali menangis kerana rindukan keluarga, apatah lagi dengan latihan yang intensif dan penuh disiplin, sudah pasti ada masanya saya gagal mengawal perasaan, namun saya tahu pasti akan berbaloi suatu hari nant,” ujar bekas atlet berusia 38 tahun yang berasal dari Ipoh ini.
Orang ramai ingat sukan terjun ini mudah, hanya perlu tahu lompat dan terjun. Salah tanggapan itu. Sukan terjun memerlukan penguasaan dari segi aspek emosi, fizikal dan teknikal. Terjunan memerklukan fokus, silap sikit akan mengakibatkan kesilapan entry. Malah, untuk terjunan sempurna seseorang perlu menjalani latihan yang bertahun-tahun lamanya, dan percayalah ia tidak mudah.”
Pada 2009, Datuk Mun Yee mencipta sejarah dalam arena sukan akuatik dan terjun apabila memenangi pingat terjun pertama 10m platform seirama bersama pasangannya Datuk Pandelela Rinong di Kejohanan Akuatik Dunia pada 2009. Sepanjang 27 tahun terbabit dalam sukan terjun, Datuk Mun Yee yang juga berpengalaman sebagai model sambilan itu dah menyumbangkan 17 pingat emas, lima perak dan lima gangsa di temasya dwi tahunan Sukan Sea.
Datuk Mun Yee sentiasa dilihat sentiasa tampil menawan dan kekal fit. Dah namapun atlet kan? Apa rahsia Datuk? “Sewaktu PKP, memandangkan kita semua kena duduk di rumah saya dah mula menjinakkan diri dalam aktiviti tarian. Untuk mengekalkan kecergasan, saya ada juga belajar shuffle dance tapi sekadar di peringkat asas sajalah. Tapi bila sudah tidak lagi bergelar atlet sepenuh masa, rutin harian berbeza sedikit tetapi saya tetap kekal aktif dengan latihan ringan seperti bermain bola tampar dengan atlet-atlet lain.”
Sepanjang dirinya bergelar atlet, membuktikan Datuk Mun Yee sememangnya wanita yang layak dijadikan inspirasi untuk wanita lain. Atas itu juga, beliau turut dikurniakan Pingat Mahkota Wilayah (PMW) sekaligus membawa gelaran Datuk dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan.
PERSARAAN
Walaupun hampir 3 dekad menabur bakti mengharumkan nama Malaysia dan menyambar pelbagai kejohanan baik dalam mahupun luar negara, sekitar awal tahun lalu Datuk Mun Yee secara rasminya mengumumkan persaraannya dalam sukan berprestij itu dan temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi pentas terakhirnya. Mengakui sukar membuat keputusan tersebut, namun dirinya akur dengan takdir dan percaya pada perancangan Tuhan untuknya.
Menepis dakwaan dirinya bersara atas faktor kesihatan, Datuk Mun Yee sememangnya sudah lama merancang pelan persaraannya, untuk memberikan fokus kepada kehidupan peribadinya yang selama ini tertangguh kerana tanggungjawab terhadap negara.
“Saya rasa sudah sampai masanya untuk saya mengundurkan diri dalam sukan ini, dan mulai fokus pada perancangan masa hadapan,” ujar Datuk Mun Yee yang kini menggalas tanggungjawab sebagai seorang pengurus dan jurulatih untuk pasukan kebangsaan terjun negara dengan harapan walaupun dirinya sudah bersara namun kekal menyumbang bakti dalam sukan tersebut.
Baca artikel penuh penerima NONA Active Award – Datuk Leong Mun Yee di majalah NONA edisi Januari 2023 yang sudah pun berada di pasaran.
Saksikan video temubual eksklusif NONA bersama Datuk Leong Mun Yee menerusi pautan di bawah:
Konsep: AZNIZA AZIZ | Arahan Seni: KIFFY RAZAK | Teks & Penyelaras: WAN MOHD FIRDAUS | Foto: AZFARINA SULAIMAN | Solekan: ANN KARIM | Tajaan Lokasi: RITZ CARLTON KL
This website uses cookies.