Bekas Kapten England dan pemilik bersama Inter Miami, David Beckham menyertai ribuan orang yang menunggu dalam barisan untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth II, pada Jumaat. Kesanggupan Beckham yang beratur selama lebih 13 jam untuk memberikan penghormatan kepada raja yang telah lama berkhidmat itu turut mendapat pujian orang ramai.
Meskipun David Beckham seorang personaliti terkemuka dan dikenali satu dunia, dan menerima kelebihan antaranya tawaran laluan istimewa dari anggota Dewan Rakyat untuk masuk ke Dewan Westminster, beliau menolaknya dan sanggup menunggu giliran seperti orang lain.
Beckham yang hadir lengkap dengan suit rasmi berona gelap dengan memakai topi newsboy sambil memegang payung memaklumkan bahawa dia mula beratur pada pukul 2 pagi (waktu tempatan) semalam. Walau bagaimanapun, tidak kelihatan isteri, Victoria dan keluarga Beckham di sisi sewaktu dia beratur bersama-sama dengan rakyat lain.
Menurut Beckham, beliau menolak tawaran laluan ekspres atas kapasiti datuknya, yang merupakan penyokong tegar monarki Britain akan kecewa jika beliau mengambil kesempatan atas populariti kerjayanya.
Didik Anak Berpuasa? Umur Berapa Tahun Perlu Dimulakan? Persoalan Yang Sering Berlegar Di Fikiran Ibubapa
“Tahun ni adik dah kena mula puasa tau. Tak dapat puasa penuh satu hari, setengah hari pun boleh. Nanti bila adik dah besar sikit kena puasa penuh ya.”
Bila tiba bulan Ramadan, bagi ibubapa yang mempunyai anak kecil dalam lingkungan 5 hingga 8 tahun pasti akan mengungkapkan dialog di atas untuk menggalakkan anak-anak untuk belajar mengerjakan rukun Islam ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadan.
Sebenarnya pada umur berapakah kanak-kanak perlu diberi pendedahan tentang ibadat puasa? Laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui artikel Irsyad Fatwa Ramadan merungkai perkara tersebut.
Para ulama bersepakat bahawa kanak-kanak yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa, berdasarkan hadith yang menyebut bahawa tidak terdapatnya taklif dan tanggungjawab ke atas seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh. Saidina Ali bin Abi Tolib meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثَةٍ عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ وَعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنِ الْمَعْتُوهِ حَتَّى يَبْرَأَ
Maksudnya: Terdapat tiga golongan yang amalan mereka tidak dicatat: seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh, orang yang tidur sehinggalah dia terjaga dan seorang yang hilang akalnya sehinggalah dia kembali waras.
Sunan Abi Dawud (4402)
Namun, jika seorang kanak-kanak yang telah mumayyiz itu berpuasa, maka hukumnya adalah sah. Kata Imam al-Qalyubi:
(وَالْعَقْلُ) أَيْ التَّمْيِيزُ فَيَصِحُّ صَوْمُ الْمُمَيِّزِ
Maksudnya: (Dan salah satu syarat sah puasa itu) ialah beraqal, dalam erti kata tamyiz, iaitu mampu membezakan antara baik dan buruk; maka sah puasa seorang kanak-kanak yang sudah mumayyiz. (Rujuk Hasyiyata al-Qalyubi wa ‘Umairah 2/76)
Timbul pula persoalan, pada umur berapakah seorang kanak-kanak itu perlu diajar dan dididik untuk berpuasa? Menurut Imam Zainuddin Ahmad al-Malibari dan Syeikh Dr. Muhammad Hassan Hito, ibu bapa atau wali perlu menyuruh kanak-kanak untuk berpuasa seawall umur tujuh tahun, dan mendidiknya dengan ‘pukulan kecil’ yang tidak menyakitkan ketika dia berumur sepuluh tahun jika dia engggan. Hal ini diqiyaskan dengan hadith suruhan mendidik anak-anak untuk solat:
مُرُوا الصَّبِيَّ بِالصَّلاَةِ إِذَا بَلَغَ سَبْعَ سِنِينَ وَإِذَا بَلَغَ عَشْرَ سِنِينَ فَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا
Maksudnya: Ajarilah kanak-kanak untuk solat setelah dia berusia tujuh tahun, dan apabila dia berumur sepuluh tahun, pukullah dia (dengan pukulan yang tidak menyakitkan dan melukakan dengan tujuan untuk mendidik).
Sunan Abi Dawud (494) (Rujuk Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrah al-‘Ain bi Muhimmat al-Din, hlm. 38 dan Fiqh al-Siyam hlm. 23)
Namun, ibu bapa atau wali hendaklah memastikan puasa itu tidak menyebabkan kemudaratan kepada kanak-kanak tersebut, dan menilai sejauh mana kemampuan mereka untuk meneruskan puasa.
Tuntasnya bahawa ibu bapa atau wali perlu mengajar dan menyuruh anak-anak supaya berpuasa seawal umur tujuh tahun, dan mendidik dengan pukulan yang ringan ketika dia berumur sepuluh tahun jika dia enggan. Hukum ini diqiyaskan dengan hadith mendidik anak-anak untuk solat yang dinyatakan di atas.
Wallahu a’lam.
Artikel disediakan oleh Unit Buhuth,Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan https://www.muftiwp.gov.my/ Foto: Pixabay.com
Jari Telunjuk Lebih Panjang, PETANDA SINDROM MARFAN
Jari-jemari kita mempunyai pelbagai saiz dan bentuk. Ada yang runcing, ada yang montok. Mungkin ramai di kalangan kita yang tidak menyedari memiliki jari tangan tidak sekata, misalnya jari telunjuk lebih panjang berbanding jari-jari tangan lain. Masalah ini mungkin menunjukkan anda mempunyai Sindrom Marfan.
Apakah Sindrom Marfan? Menurut Pakar Perunding Perubatan, Pusat Perubatan NSCMH, Dr Lim Teng Wei, sindrom ini adalah sejenis gangguan genetik yang terbina dan diwarisi (keturunan) sebagai sifat dominan. Ia berpunca daripada mutasi atau pun perubahan di dalam gen yang mengawal badan dan menyebabkan fibrilin, protein yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan tisu.
Gejala
Ramai yang tidak menyedari mempunyai sindrom ini kerana tanda-tanda dan gejalanya sangat bervariasi. Ada di antaranya mengalami kesan yang ringan, tetapi terdapat juga yang mengalami komplikasi yang boleh mengancam jiwa.
Antara gejala Sindrom Marfan termasuk:
Tinggi dan langsing
Lengan dan kaki agak panjang
Jari tangan dan kaki tidak sekata (saiz)
Tulang dada seperti menjojol keluar atau cekung ke dalam
Susunan gigi tidak teratur
Rabun jauh melampau
Degup jantung tidak teratur
Tulang belakang melengkung
Bentuk kaki yang datar
Risiko & komplikasi
Ia bukan sejenis penyakit berjangkit, sebaliknya mereka yang berisiko menghidap sindrom ini adalah diwarisi daripada keluarga.
Risiko penghidap sindrom ini adalah seperti:
Komplikasi jantung dan salur darah
Komplikasi mata
Komplikasi paru-paru
Komplikasi sistem saraf
Ini bermakna bahawa setiap anak daripada ibu bapa yang mempunyai masalah Sindrom Marfan, berisiko memiliki 50-50 untuk mewarisi gen yang rosak itu. Ia juga mempengaruhi golongan lelaki dan perempuan secara setara pada semua peringkat bangsa dan etnik. Sindrom ini juga boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kerana ia mempengaruhi hampir setiap bahagian tubuh.
Komplikasi kardiovaskular
Ia adalah komplikasi paling berbahaya kerana melibatkan jantung dan pembuluh darah. Gen yang rosak dalam sindrom ini boleh melemahkan aorta, yakni arteri terbesar berasal dari jantung dan memasuki darah ke seluruh tubuh seterusnya menyebarkannya secara terpisah untuk memasuki darah ke kaki. Antara kesannya, penghidap akan mengalami:
Aneurisme aorta – tekanan darah yang ‘keluar’ dari jantung akan menyebabkan dinding arteri menonjol keluar. Tonjolan ini akan menyebar di sepanjang aorta dan ke seterusnya ke dalam perut. Jika pecah atau bocor, ia berisiko tinggi dan boleh menyebabkan kematian.
Diseksi aorta berlaku apabila adanya gangguan pada jaringan penunjang pada pembuluh aorta (jaringan kolagen dan elastin). Sobekan kecil antara lapisan dinding aorta ini memungkinkan darah menekan dinding aorta sehingga menyebabkan rasa sakit di dada atau punggung. Jika ini berlaku, ia boleh melemahkan struktur keseluruhan dan berisiko mengundang maut.
Cacat katup. Mereka yang menghidapi masalah sindrom ini juga lebih cenderung mengalami masalah dengan katup jantung yang mungkin cacat atau terlalu elastik. Semasa katup jantung tidak bekerja dengan baik, otot jantung akan bekerja lebih kuat untuk mengimbanginya. Keadaan ini boleh menyebabkan kegagalan jantung.
Komplikasi mata
Sindrom Marfan juga boleh menjadi serius dengan mempengaruhi mata dan visi. Antaranya boleh menyebabkan:
Dislokasi lensa pada salah satu atau kedua-dua mata kerana kelemahan dalam ligamen lensa yang merekat.
Glaukoma, keadaan di mana tekanan abnormal tinggi di dalam mata merosak saraf optik. Gejala ini menyebabkan silau, pedih/perit mata, penglihatan kabur dan rabun/kebutaan.
Katarak
Detasemen
Komplikasi paru-paru
Sindrom ini akan menyebabkan seseorang itu sukar bernafas dan ada ketikanya akan timbul rasa nyeri dan berisiko empisema, obstruktif kronik, sleep apnea. Malah, jika tidak dirawat, ia boleh mengundang maut.
Komplikasi sistem saraf
Meskipun ia tidak mengancam jiwa, namun ia sedikit sebanyak mengurangi kualiti hidup individu. Antara gejala yang biasa terjadi adalah rasa nyeri pada pinggang ke bawah, sakit kaki, sakit perut, sakit kepala atau gejala saraf lain.
Komplikasi pada kehamilan
Tidak ramai menyedari atau mengalaminya, namun Sindrom Marfan juga berkemungkinan dialami wanita yang sedang hamil. Meskipun risikonya tidak dapat dijangka dan agak jarang (sangat rendah), akan tetapi, jika aorta sedikit membesar, risikonya mungkin meningkat. Sekiranya aorta membesar, kehamilan tidak digalakkan.
Rawatan
Sebagaimana gejala-gejala lain yang mengganggu kesihatan seseorang itu, anda dinasihatkan segera berjumpa pakar untuk lebih jelas mengenainya. Biasanya, diagnosis yang dilakukan adalah berdasarkan latar belakang perubatan keluarga selain pemeriksaan fizikal seperti pemeriksaan diagnostik – Echocardiogram, MRI atau CT Scan serta pemeriksaan genetik.
Dah Sedia Timang Cucu, ZAMARUL HISHAM & DIANA RAFAR Teruja Terima Menantu Sulung
Pelakon Zamarul Hisham, 52, dan isterinya, Diana Rafar teruja terima menantu sulung selepas anak terunanya, Izzat Haiqal, 24, selamat bernikah dengan Dina Zakirsa, baru-baru ini. Zamarul atau nama sebenarnya Zamarul Hisham Mohamed berdoa ikatan pasangan itu disulam kebahagiaan dan turut menitipkan nasihat buat mereka. “Tahniah Izzat dan Dina. Maka bermula satu perjalanan sebagai pasangan suami isteri. Macam mana pun jalan yang bakal ditempuh, tempuhilah dengan sifat bertolak ansur.
“Saling faham memahami untuk sama-sama pastikan jalan yang dipilih menuju kebahagiaan, keharmonian, dan kekal hingga Jannah,” katanya.
Zamarul juga jelas teruja dan bersedia bergelar datuk pula. Dia sempat berseloroh dengan seorang pengikut di Instagram yang komen tak lama lagi pasti dia jadi datuk.
“Walaupun akan jadi atok (datuk), TikTok tetap ‘on’. Umur itu sekadar angka,” katanya membalas komen terbabit.
Ramai rakan artis turut mengucapkan tahniah buatnya. Mereka termasuk Aleza Shadan dan Esma Daniel.
Terdahulu, Zamarul berkongsi foto bersama pasangan pengantin serta isterinya juga pelakon Diana Rafar di Instagram.
Sumber: Harian Metro | Foto: Instagram @zamarulhisham93 & @dinazkrsaa