Pengiat dan pemerhati pertandingan ratu cantik seluruh dunia kini menantikan detik siapakah yang akan mengondol gelaran Miss Universe Thailand yang akan dinobatkan tidak lama lagi. Baru semalam berlangsungnya pusingan awal atau preliminary competition di True Icon Hall di mana 30 wanita bertanding dalam mengenakan pakaian renang dan gaun malam mereka sebelum melangkah ke peringkat akhir.
Selain persoalan siapakah yang akan mengungguli, nama salah seorang peserta, Perpetua Smith menjadi bualan ramai malam itu. Ini kerana dirinya disebut-sebut antara peserta kegemaran namun dia terpaksa menarik diri di saat-saat akhir. Bukan atas masalah kesihatan, disiplin mahupun peribadi, tetapi atas tiket impian yang lebih besar.
Dikhabarkan Perpetua terpaksa melupakan persaingannya bagi merebut gelaran Miss Universe Thailand demi impiannya mengenggam segulung PhD. Perpetua yang berumur 23 tahun bakal melanjutkan pengajiannya dalam bidang Pemasaran (Tingkah Laku Pengguna) di Universiti Harvard.
Berikutan isu melibatkan kontrak Miss Universe Thailand yang mengikat peserta dengan kontrak dua tahun ternyata menjadi penghalang buat Perpetua untuk menamatkan pengajiannya.
Kelmarin, Perpetua atau nama penuhnya Perpetua Sermsup Smith dalam hantaran Instagram menulis, “Saya akan menghantar permohonan saya ke Universiti Harvard selewat-lewatnya 1 Disember 2022. Saya akan melanjutkan PhD dalam bidang Pemasaran memfokuskan lebih kepada tingkah laku pengguna. Saya ingin membawa anda semua menyusuri perjalanan baru saya dan akan terus mengejar impian saya. Saya berharap untuk terus memberi inspirasi kepada orang ramai serta mendengar kata hati dan fikiran mereka.
Ini merupakan pengalaman dan peluang yang hebat dan saya benar-benar mahu meneruskan pengajian dan mendapatkan PhD saya. Saya sentiasa mahu belajar dan MUT menyemarakkan semangat saya untuk pendidikan.
Malangnya, dengan menerima tawaran tersebut menghalang saya daripada mengejar impian saya. Saya faham anda mungkin kecewa dan saya benar-benar minta maaf. Saya berjanji saya memberikan 100% tenaga saya setiap hari. Saya berjanji akan sentiasa melakukan yang terbaik,” akhiri beliau.
Menerusi tinjauan NONA di hantarannya itu, ternyata ramai yang terkejut namun menghormati keputusan Parpetua walaupun namanya disebut antara yang bakal dinobatkan Miss Universe Thailand 2023.
Walau bagaimanapun, Perpetua masih muncul pada pusingan kelayakan semalam namun markahnya tidak akan dikira dan dirinya tidak berpeluang untuk mendapatkan sebarang kedudukan.
Apa-apapun NONA menghormati keputusan Perpetua yang menumpukan perhatiannya demi impian, bukan semata populariti dan kilau mahkota yang diidamkan. Selamat maju jaya Perpetua.
This website uses cookies.