Sejak mula berkahwin dengan Rene Angelil, Celine Dion sudah merancang untuk memiliki anak yang ramai. Mana tidaknya, dia dilahirkan dalam keluarga yang besar dan sebagai anak bongsu daripada 14 orang beradik Celine sentiasa mendapat tumpuan dan perhatian keluarga.
Meskipun secara luaran, Celine disifatkan sebagai seorang wanita yang sukses, kaya, ternama dan mampu memiliki apa saja yang dihajati namun jauh di sudut penyanyi berkelas dunia ini, perjalanan hidupnya tidak berjalan begitu lancar.
Lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal anak. Menghadapi kesulitan untuk hamil, Celine dan suami tercinta akhirnya dikurniakan anak lelaki sulung ketika berusia 33 tahun selepas menjalani rawatan kesuburan IVF.
Baik Celine mahupun Rene, kedua-dua tidak menyangka akan menghadapi masalah untuk mempunyai anak. Selepas bertahun-tahun ikhtiar dan cuba pelbagai kaedah untuk hamil, mereka masih menemui jalan buntu dan usaha pasangan ini untuk timang cahaya mata tetap gagal.
Pada tahun 1999, Rene disahkan menghidap kanser tekak dan sebagai langkah pencegahan, lelaki kesayangan Celine ini nekad membekukan sperma miliknya kerana khuatir kualiti terjejas akibat kesan kemoterapi.
Sementara itu, Celine pula melakukan pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik kesuburan di New York pada Mei 2000 dan menjalani dua pembedahan kecil sebagai usaha meningkatkan peluangnya untuk hamil. Pada 25 Januari 2001, anak sulung mereka bernama Rene-Charles selamat dilahirkan secara pembedahan.
Selepas kelahiran Rene-Charles, suami isteri ternama ini menyimpan hasrat untuk menambah anak dan mereka sekali lagi menjalani rawatan kesuburan IVF. Pun begitu, Celine gugur pada tahun 2009 dan setelah enam kali berusaha akhirnya pada percubaan ketujuh, Celine disahkan hamil anak kembar ketika usianya mencecah 42 tahun pada 2010.
Dia terpaksa melahirkan bayi kembar Nelson dan Eddy secara pembedahan ketika usia kandungan baru mencecah 33 minggu. Bagaimana pun kedua-duanya dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
Hasrat Celine untuk menimang cahaya mata perempuan tidak kesampaian apabila Rene akhirnya meninggal dunia akibat kanser yang dihidapi pada tahun 2016.
Sumber: Infertility Aide
“Ingat anak-anak kita bersama ada lagi enam orang kakak, jangan putuskan silaturrahim itu. Kalau boleh didik salah seorang jadi seorang doktor,” pesan arwah suami.
Majlis berlangsung dengan begitu meriahnya di dewan utama ShangriLa Hotel, paluan kompang beralun dengan pujian serta selawat ke atas Nabi. Melangkah masuk sepasang mempelai cantik bergaya, si puteri anggun jelita dengan persalinan pereka terkenal dan si putera tampan ber sut hitam. Terpegun seketika tetamu yang hadir dengan pasangan bukan muda remaja tetapi cukup dewasa dalam menuju usia kematangan hidup. Menyapa seorang sahabat lalu berbisik… “Ini perkahwinan kali kedua puan atau Datin Amira.” Pasti ada kisah disebalik wajah lembut insan istimewa ini…
Meskipun tidak seindah ceritanya yang mampu disampaikan, tetapi jadikanlah kisah ini sebagai pengajaran serta tauladan dalam buat kita sesama manusia menempuhi kehidupan…
Mengimbas kembali saat mula kisah perkahwinan yang dibinanya selama tujuh tahun dahulu, Amira merupakan seorang gadis sunti berasal dari Perak dan berhijrah mencari rezeki di kota Kuala Lumpur sebagai seorang wartawan politik. Tawaran di terima dan mula berkhidmat di sebuah syarikat penerbitan yang merupakan milik arwah suaminya dahulu. Pada hari pertama bekerja, Amira sudah di bawa ke parlimen untuk mendapatkan bahan cerita. Menggigil juga lutut dibuatnya! Bermula dari situlah Amira mengenali dengan ramai pemimpin politik. Setiap hari bersilih ganti bunga berkembangan menjadi hantaran di meja Amira, mana tidaknya… wartawan muda cantik jelita, putih gebu kulitnya menjadi pujaan setiap mata memandang. Namun cintanya bertaut pada majikan sendiri, selepas enam bulan bekerja hantaran pinangan telah di hantar dan Amira menjadi milik arwah sebagai isteri yang sah.
Biarpun Amira bakal meniti hari bahagia… namun rasa kesedihan dan kecewa tidak dapat dibuang dalam hatinya. Keluarganya tidak merestui hubungan perkahwinan ini dan Amira di buang keluarga hampir selama lima tahun. Alasannya kerana Amira mengahwini suami orang dan sanggup bermadu. Namun Amira pasrah dengan ketentuan kehidupan dan jodoh yang telah ditentukan ke atasnya.
Tuhan Itu Maha Kaya dan sentiasa membantu umat yang tidak berputus meminta pertolongannya, doa Amira di makburkan Tuhan apabila tahun keenam bapanya yang ingin menunaikan umrah ingin berjumpa suaminya. Saat itu merupakan saat paling bahagia buat suami apabila diterima sebagai seorang menantu dan kegembiraan terpancar jua di wajah anak-anaknya yang telah lama dahagakan kasih sayang datuk dan nenek. Hubungan yang kembali terjalin itu menjadi cukup erat dan kukuh kemesraannya.
Namun sayang sekali, kebahagiaan yang baru dirasai itu cuma singkat buat suami telah kembali bertemu Pencipta. Setelah hampir setiap malam mendengar rintihan “Ya Allah, janganlah kau siksakan diri ku begini. Ambillah nyawaku…” lauangan itulah yang sering disebut oleh bekas arwah suami Amira. Doktor telah mengesahkan bekas arwah suami mengidap penyakit kanser tulang dan jangka hayatnya mampu bertahan dua tahun. Pelbagai rawatan telah diusahakan, biarpun kosnya semakin tinggi Amira berkorban segalanya. Habis sudah segala wang simpanan dan tanah di jual demi merawat arwah suami tercinta.
Waktu itu, bergilir-gilir Amira bersama isteri pertama menjaga arwah suami. Dalam hati Amira, dia ingin berbaik dengan madunya dan anak-anak tiri seperti keluarga sendiri supaya arwah suami pergi dengan aman dan sejahtera. Malah pesan terakhir arwah suami yang terus beku dalam mindanya ialah “Ingat anak-anak kita bersama ada lagi enam orang kakak, jangan putuskan silaturrahim itu. Kalau boleh didik salah seorang anak kita menjadi seorang doktor. Berusahalah untuk meraih kejaayaan dan saya yakin dengan kebolehan diri awak mampu untuk menjadi seorang senator…”
Tuhan lebih menyayanginya, arwah hanya mampu bertahan selama 7 bulan dan Tuhan telah mengambil kembali nyawanya. Saat hembusan terakhir arwah suami, Amira rasakan bagai berakhirnya kehidupan yang selama ini cerah dengan sinar mentari. Semuanya menjadi gelap gelita, seperti tiada arah tujuan hidup. Tambahan pula waktu itu, Amira baru 32 hari melahirkan anak perempuannya. Sedih dan pedihnya cukup terasa.
Perkara paling sukar waktu itu ialah menerangkan keadaan kepada anak-anak. Hati ibu mana yang tidak merasa tersentuh apabila anak kecil setiap hari bertanyakan ayah mereka. Pernah Amira terdengar doa yang terkeluar dari mulut kedua-dua puteranya, “Ya Allah… pulihkan penyakit ayah ku,” lalu Amira menerangkan kepada mereka bahawa ayah sudah meninggal. Dan mereka kembali berdoa… “Ya Allah… Hidupkan kembali ayahku…” Menitis air mutiara Amira mendengar rintihan anaknya.
Mereka terlalu sukar menerima keadaan ini biarpun diterangkan berkali, anak-anak tetap percaya bahawa satu hari ayahnya akan kembali. Setiap hari menunggu di hadapan pintu kiranya ayahnya kembali dan jika terdengar bunyi deringan telefon pasti mereka mengharapkan ayah yang akan menghungi. Bila puteri semakin membesar, rakan-rakan sekolah bertanyakan “Mana ayah kamu?” dan dia hanya mampu menunjukkan gambar kenangan arwah ayahnya. Aduh! Hanya perasaan seorang ibu yang pernah melalui nasih yang sama faham bagaimana sedihnya saat-saat itu.
Berbekalkan semangat yang dipupuk dari hari ke hari, Amira bangkit kembali tanpa memandang ke belakang lagi. Keadaan kewangan keluarga yang semakin teruk membuatkan Amira bertindak melakukan sesuatu demi mengisi sejengkal perutnya dan anak-anak. Tidak mungkin untuk dirinya memisahkan anak-anak kepada orang lain, biarlah setiap hari menjamu nasi putih bersama telur dan kicap asalkan mereka tetap bersama.
Sehingga satu tahap, Amira tidak mampu membayar sewa rumah dan terpaksa meminta simpati pemilik untuk memberikan masa kepadanya melaksanakan segala hutang. Amira mula menghubungi kembali kenalan yang ada dan membuat kerja sampingan dalam bidang penulisan melalui badan firma, pihak kerajaan dan swasta. Wang dikumpul sehinggalah Amira memperolehi satu projek yang berjaya mengubah kehidupannya. Inilah kunci kesabaran kepada segala usaha tanpa mengenal lelah selama dua tahun. Dengan perolehan projek pertama, Amira melangsaikan semua hutangnya dan pulang ke kampung untuk berkongsi rezeki pertamanya bersama keluarga.
Dua tahun Amira kembali pulih jiwa dan periuk nasinya sehingga mampu berjaya sebagai seorang ahli pernaigaan disegani. Kini Amira sudah mampu tersenyum dan bersyukur dengan segala perolehan rezeki yang dimilikinya dengan segala usaha dan kesabarannya mengikut jalan yang diberkati oleh Allah.
Lima tahun kemudian, Amira berkenalan dengan Iskandar. Waktu itu Iskandar bertindak sebagai pereka dalaman untuk kediaman baru Amira. Berkawan hampir dua tahun, Iskandar sememangnya seorang lelaki yang penyayang, romantik, sentiasa memberi semangat positif, boleh berkongsi kisah keluarga dan paling penting menyayangi anak-anak Amira. Anak-anak pula semakin rapat dan mula suka padanya, sehingga sukar untuk berpisah.
Amira telah mengambil masa kesibukkan kerjanya beberapa hari menunaikan umrah dan memohon pertunjuk dariNya. Di tanah suci Mekah, kedua tapak tangan Amira berdoa “Ya Allah… jika hidup bersendirian lebih baik, tutupkanlah pintu hati ini. Sekiranya berkahwin itu lebih baik untuk diriku dan anak-anak, temuikanlah aku dengan jodoh yang baik.”
Pulang ke Malaysia, Iskandar di antara lelaki yang sememangnya menambat hatinya dengan kejujuran dan kesungguhan untuk mengambil Amira sebagai isterinya. Amira telah membawa Iskandar ke kubur arwah suami dengan membawa dua pokok seroja. Dengan kedua tangan dan tenaganya, Iskandar sendiri menanam pokok tersebut. Doanya di makam tersebut dengan mengharapkan supaya jodoh berpanjangan dan beliau akan melaksakan tanggungjawab ini sebagai satu amanah.
Di Masjid Baiturrahman Aceh (satu-satunya masjid yang tidak musnah dari bencana Tsunami) kedua-dua pasangan ini telah diijabkabulkan. Dan majlis resepsi penuh gemilang diadakan di Shangri La hotel dengan kehadiran seluruh ahli keluarga, termasuk bekas ahli keluarga madunya dahulu dengan enam orang anak tiri dan 24 cucunya.
Kini sudah tiga tahun perkahwinannya bersama Dato’ Iskandar, alhamdulillah rezeki mereka bertambah. Bagi Datin Amira perjuangan hidupnya belum selesai dan cita-cita arwah suaminya ingin dikotai untuk menjadi seorang senator. Bukan sekadar seorang usahawan berjaya, kini Amira dalam proses untuk menubuhkan sebuah Persatuan Ibu Tunggal Malaysia. Tujuannya untuk membantu dan meringankan beban ibu tunggal, selain daripada memberi bantuan sera semangat dalam bidang perniagaan.
Datin Amira sempat mengakhiri ceritanya dengan alunan lagu Datuk Siti Nurhaliza… “Tuhan menguji, tak akan berhenti. Hanya ku pinta…” semoga diberkati kehidapannya dan Datin Amira pasrah dengan setiap ujian yang diaturkan kerana tentu ada rahmat muncul disebaliknya.
Galas Tugas ‘Peacekeeper’, Wanita Ini Dikagumi Kerana Wajah Cantik & Keberaniannya!
Kalau tengok rupa paras cantik dan kulit gebunya pasti ramai yang tidak menyangka wanita cantik ini seorang anggota pasukan keselamatan yang berani menggalas senjata. Hikma Nursyafa berjaya membuktikan kecantikan yang dimiliki perlu seiring dengan keberanian untuk bertempur lawan.
Meskipun perlu mengenakan uniform yang tebal dan lengkap dengan topi serta kasut but keselamatan setiap hari namun gadis ini tetap menjaga penampilan diri. Setiap kali keluar bertugas menjaga keamanan dan keselamatan penduduk, Hikma yang berasal dari Yogjakarta akan memastikan keadaan dirinya kemas dan cantik walaupun berhijab dan berdepan situasi panas serta tidak menentu saban hari.
Tidak hairanlah nama Hikma Nursyafa menjadi viral dan bualan netizen di media sosial. Dia bukan hanya dikurniakan raut wajah menawan bahkan semangatnya menjaga ketenteraman dan memilih kerjaya mencabar yang jarang diceburi kaum wanita ini mencetuskan ‘pemandangan’ luar biasa masyarakat.
Hikma Nursyafa yang kini berusia 26 tahun merupakan anggota polis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Khabarnya sudah lebih setahun gadis ini berkhidmat bersama PBB yang berpangkalan di Bangui, Afrika Selatan sejak Jun 2018.
Biarpun kebanyakan rakan seperjuangan terdiri daripada kaum lelaki namun ia bukan halangan buat Hikma. Sebaliknya gadis berkulit cerah ini tenang mengangkat senjata dan menjalani ujian ketahanan sama seperti anggota lain.
Demi memberi inspirasi dan semangat buat kaum wanita, wanita berkulit cerah ini terbuka berkongsi pengalamannya sepanjang bergelar woman peacekeeper. “Sebelum menjadi seperti sekarang ini, perjalanan untuk sampai di titik ini pun rasa cukup berat dan penuh dengan liku. Hampir rasanya ingin menyerah tapi hati tetap berkeras untuk meneruskan. Dari dulu aku memang mahu pergi mencari pengalaman hidup dan akhirnya Allah kabulkan.
Aku bergabung di kepolisian sejak tahun 2013 mungkin banyak sekali pengalaman yang boleh ku ceritakan sampai detik ini. Tapi mungkin aku akan ceritakan pengalaman yang sangat menarik pada tiga tahun terakhir ini. Bermula dari aku bergabung dalam pasukan perdamaian dunia (peacekeeper), banyak perkara yang perlu dilalui antaranya dari segi pendaftaran, ujian dan latihan dari segi akedemik serta penilaian kesihatan.
Ujarnya lagi, “Misi pertamaku adalah menjadi pasukan Formed Police Unit (FPU) dan pertama kalinya juga Indonesia mengirimkan pasukannya di Republik Afrika Tengah. Setiap hari kami dikerah menjalani pelbagai latihan. Di sini juga aku dituntut pakai dua bahasa iaitu Inggeris dan Perancis. Awalnya sangat sukar untuk belajar Bahasa Perancis kerana memang di misi ini lebih dominan Bahasa Perancis.”
Tambah Hikma, buat masa ini dia ditugaskan menjaga keamanan di ibu kota Afrika Tengah, Bangui. “Di kota inilah aku bertugas selama setahun ini. Awal mula datang ke sini betul-betul terkejut kerana persekitarannya yang sangat berbeza. Sebuah negara yang bagi ku masih memerlukan banyak bantuan untuk maju. Di Bangui, tahap keselamatan dan konflik masih sering terjadi seperti kontak tembak, perselisihan antara kelompok bersenjata dan ancaman keamanan lain.
Ini adalah cabaran terbesar untuk kami di sini tapi alhamdulillah sampai saat ini semuanya masih dapat diatasi. Ini juga adalah pengalaman hidup pertamaku untuk misi kemanusiaan.”
Mengintai media sosial Hikma, kecantikan gadis ini tidak ubah seperti pelakon sinetron popular. Selain meminati bidang lasak dan mencabar, Hikma juga memiliki naluri kewanitaan yang gemar akan kecantikan dan fesyen. Lebih menarik, dia turut mengenakan solekan nipis ketika bertugas demi memastikan penampilan diri sentiasa terjaga.
Iyalah, takkan wanita yang bekerja di pejabat saja nak nampak cantik. Yang menjaga keamanan di negara bergolak seperti ini pun hendak sentiasa nampak bersedia. Lagipun penampilan diri sangat penting tidak kiralah walau di mana berada. Apatah lagi, sesetengah wanita akan rasa lebih yakin bila sudah bermekap. Mungkin beginilah cara Hikma untuk raih keyakinan diri dan kekal bersedia menjaga keamanan penduduk tempatan.
Apa-apa pun Nona bangga dengan Hikma kerana berjaya mengangkat martabat dan kredibiliti kaum wanita ke tahap lebih tinggi. Semoga kejayaan gadis ini menjadi inspirasi kepada wanita lain untuk menjadi anggota pasukan keselamatan yang kental, berani dan dalam masa sama memiliki sifat-sifat terpuji yang boleh diteladani. Syabas buat Hikma!
Kredit foto: Instagram Hikma Nursya
Makin Anggun Jelita, TENGKU PERMAISURI NORASHIKIN Sambut Ulang Tahun Kelahiran Ke-50!
Merafak Sembah Tahniah dan Ucap Selamat sempena Ulang Tahun Hari Kelahiran Yang Ke-50 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala lanjutkan usia Tuanku dalam keafiatan dan senantiasa berada dalam lindungan Allah serta hidup dengan penuh kebahagiaan, dianugerahkan segala taufik dan hidayah, kewibawaan dan kebesaran, kehormatan dan kemuliaan, darjat dan daulat, fid-dunia wal-akhirat. Daulat Tuanku!
Tanggal 4 Jun merupakan hari ulang tahun kelahiran DYMM Tengku Permaisuri Norashikin. Menerusi perkongsian gambar di Selangor Royal Office, sememangnya ramai rakyat terpegun dengan keanggunan dan kejelitaan milik baginda.
Berita perkahwinan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin masih segar di ingatan rakyat meskipun sudah hampir lima tahun berlalu. Sebaik mengetahui khabar gembira itu pada tahun 2016, ramai yang tertanya-tanya siapakah wanita bertuah yang berjaya menawan hati Sultan Sharafuddin.
Dari hari pertama melihat wajah Permaisuri Selangor ini, ramai yang mengakui tertawan dengan kecantikan dan kelembutan yang dimiliki Tengku Permaisuri Norashikin yang juga
merupakan bekas penyampai berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan pernah memenangi Anugerah Penyampai Berita TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa.
Tengku Permaisuri Norashikin diijabkabulkan dengan Sultan Sharafuddin oleh Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid pada 31 Ogos 2016 di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang. Majlis pernikahan baginda berdua berlangsung secara sederhana dan ringkas atas titah baginda.
Lima tahun bergelar Permaisuri Selangor, penampilan baginda ketika berada di khalayak sering mencuri perhatian. Malah, ramai wanita menjadikan Tengku Permaisuri Norashikin
sebagai sumber inspirasi bukan sahaja dari segi keperibadian baginda bahkan gaya dan cita rasa fesyen.
1 April lalu, bersempena sambutan Hari Ulang Tahun RTM ke-75, DYMM Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli menerima undangan istimewa daripada Bilik Berita RTM untuk menyampaikan berita secara langsung dalam slot Berita Perdana di Studio Wisma Berita, Angkasapuri.
Ini adalah kemunculan julung-julung kali Baginda di saluran RTM sebagai penyampai berita setelah kali terakhir ke udara lima tahun lalu pada 31 Ogos 2016. Untuk rekod, DYMM Tengku Permaisuri Norashikin pernah bertugas sebagai Penyampai Berita TV di RTM selama 2 dekad sejak tahun 1996.
Sepanjang tempoh itu, Baginda pernah diiktiraf sebagai Penyampai Berita TV Terbaik sebanyak dua kali di Anugerah Seri Angkasa iaitu pada tahun 2001 dan 2005.
Menerusi gambar-gambar Tengku Permaisuri Norashikin kelihatan baginda gemar mengenakan aksesori rantai dan subang mutiara. Malah, baginda juga cukup elegan menyarung busana tradisi seperti kurung dan kebaya.
Kredit : Facebook Selangor Royal Office