Iman manusia itu hakikatnya selalu turun naik. Berbolak-balik. Tidak tetap tempatnya. Iman yang rapuh membuat kita berkejar-kejar mencari kekayaan. Malah demi nafsu mahu memegang duit berkepuk-kepuk, kita lupa mencari keberkatan dalam rezeki.

Cinta dunia melebihi segala-galanya. Terutama sekali berkait rezeki, harta dan wang ringgit. Kita hanya tahu menerima tapi lupa memberi. Lupa bahawa dalam setiap rezeki kita, ada rezeki orang lain juga.

Ads

Perkongsian Ustaz Ahmad Sharizal Mohd Saffian dari Pusat Pungutan Zakat MAIWP ini memang banyak pengajarannya. Sama-samalah kita muhasabah diri dan renung semula rezeki yang Allah bagi!

Dengan Tuhan Pun Nak Berkira? Sharing Ustaz Ini Pasal Zakat Mesti Buat Kita Insaf!

========================================

Kata orang pandai, ‘Jalan kebenaran tidak ada dua, tidak ada lima, tidak ada tujuh, tapi jalan kebenaran itu hanya ada satu. Ada yang telah menemuinya, ada yang tersasar darinya dan ada ramai juga yang menjauhinya.’

Sebenarnya saya suka mengimbas pengorbanan para rasul dalam usaha menyelamatkan manusia daripada kejahilan, memang terserlah banyaknya ujian dan rintangan.

Lihatlah bagaimana susah dan pahitnya mengajak manusia pada jalan yang satu. Dan yang satu itu pula ada dua cabang jalan yang penting untuk lulus iaitu Jalan A dan Jalan B.

  1. Jalan A ialah hubungannya dengan Allah atau hablimminallah.
  2. Jalan B ialah hubungannya dengan manusia atau hablimminannas.

Adakah kita perlu lulus satu jalan saja? Jawapannya ialah kena lulus kedua-duanya. Lulus satu saja bermakna gagal keduanya. A dan B kena lulus cemerlang untuk kita memiliki sijil takwa.

Allah SWT telah menjelaskan kepentingan dua jalan tersebut dalam firman-Nya,

Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali dengan hablimminallah (hubungan dengan Allah) dan hablimminannas (hubungan dengan manusia), dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah dan mereka diliputi kerendahan. Yang demikian itu kerana mereka kafir kepada ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi tanpa alasan yang benar. Yang demikian itu disebabkan mereka durhaka dan melampaui batas. (Ali ‘Imran : 112)

Dan di antara kedua-dua jalan di atas, jalan B nampaknya lebih sukar daripada jalan A.

Sekadar berkongsi pengalaman di Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), kami telah bersepakat untuk mengambil pendekatan hikmah dan sederhana dalam menyebarkan produk Tuhan yang bernama zakat ini dengan masyarakat.

Dalam usaha kami untuk menjelaskan tentang keuntungan-keuntungan yang bakal dinikmati oleh para pembayar zakat, banyak cabaran dan pengalaman yang pernah dilalui.

(a) Selalu Kata Tak Mampu

Sebahagian mereka pernah berkata dengan nada bergurau,

“Ustaz, kami ni solat di masjid setiap waktu, tapi kalau nak keluar zakat tu Ustaz, masih belum layak lagilah.”

“Macam mana tahu tak layak Tuan?”

“Kami belum ada rumah sendiri lagi, belum ada kereta sendiri dan masih menyewa rumah lagi, kami ada sedekah juga Ustaz. Cukuplah, kan?”

Saya pandang mereka dan jawab, “Tahu tak, zakat itu perlu diberi pada orang yang wajib terima, dan ada syarat lain yang mesti kita tahu, serta dosanya sama seperti tinggal rukun Islam yang lain?”

Ada sebahagian mereka tunduk dan tidak kurang juga yang meninggalkan kami.

Betul apa yang kami katakan, ‘jalan yang ke dua hablimminannas (hubungan dengan manusia) nampaknya lebih sukar daripada jalan pertama hablimminallah (hubungan dengan Allah).’

(b) Sengaja Membayar Lebih

Tapi masyaAllah, ternyata ada juga yang belum tempoh dan wajib zakat padanya terus bertanya kepada kami, nampak betul kesungguhan dan kekuatan jiwa mereka atas perintah rukun Islam ketiga ini.

Ads

Maka kami amat terharu dengan segelintir hamba Allah ini, malah mereka apabila kami kira dan taksir zakat mereka sebanyak RM10,000, mereka terus ke PPZ-MAIWP dengan membayar RM20,000.

Kami kata, “Tuan dah terlebih bayar ni.”

Tapi jawabnya, “Tidak Ustaz. Saya takut masih ada yang dulu-dulu, yang pernah saya terlepas pandang.”

Hebat benar iman mereka pada Allah. Maka teringat kami kata-kata dari Imam Ibn Ataillah,

Sebahagian tanda mati nya hati adalah jika tidak berasa sedih (susah) kerana tertinggalnya suatu amal kebaikan (kewajiban) juga tidak menyesal jika terjadi sesuatu pelanggaran dosa.

(c) Berasa Diri Sendiri Pun Susah

“Nak keluarkan duit, lepas tu bagi pada orang lain pula? Eh, saya sendiri pun susah!”

Kata-kata ini pernah keluar dari mulut seseorang ketika kami hanya berniat menerangkan perintah rukun ketiga ini. Itu belum apa-apa lagi, belum kira dan taksir semua hartanya, sedangkan perniagaan dan hartanya diketahui umum oleh masyarakat sekeliling.

Benarlah, pokok iman dan pokok hikmah suatu yang akan tumbuh seperti mana benih yang tumbuh di dalam tanah.  Iman dan hikmah atas perintah Allah tak subur dalam jiwanya.

Ads

Nabi Allah Isa AS pernah bertanya kepada sahabatnya, “Di manakah tumbuhnya benih?” Mereka menjawab, “Di dalam tanah.” Kemudian Nabi Isa AS bersabda:

Begitu jugalah hikmah, ia tidak tumbuh melainkan di dalam hati seperti mana benih yang tumbuh dalam tanah.

Harta Cuma Pinjaman

Walaupun zakat yang diperintahkan terdapat padanya syarat dan rukun, sebenarnya hikmah yang besar ialah ‘amanah harta’ yang telah Allah kurniakan pada hamba-Nya.

Mengapalah hati kita tak dapat merasakan hikmah tersebut? Hati kita bertukar jadi batukah? Hati yang Allah kurniakan sepatutnya secara fitrah akan merasakan takut terbuat dosa. Pelik dan ajaib? Risau dan cemas harta berkurang dan tak cukup? Takut berkongsi kesenangan dengan orang lain?

 Lihat dan renung ayat Allah dengan hati,

“Dan bahawasanya Dia yang memberikan kekayaan dan memberikan kecukupan.” (Surah An- Najm: 48)

Lihatlah bagaimana Allah telah mengatur setiap urusan hamba-Nya apatah lagi mereka yang telah melaksanakan perintah zakat dalam menyucikan harta mereka. Renung sejenak ayat-ayat Allah ini,

“Jika kalian meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, niscaya Allah melipat gandakan (pembalasannya) kepada kalian dan mengampuni kalian. Dan Allah Maha Pembalas Jasa lagi Maha Penyantun.” (Surah At-Taghabun: 17)

Penggunaan kata-kata ‘memberikan pinjaman’ dalam banyak ayat merupakan kemurahan Allah, sebab insan itu terkadang merasa memiliki barang dan harta yang ada padanya sehingga ia merasa sangat berat untuk menzakatkan hartanya di jalan Allah.

Makna ‘memberikan pinjaman’ bererti bahawa sesungguhnya Allah akan mengembalikan harta seorang hamba yang dikeluarkan di jalan-Nya, sehingga si hamba tidak perlu merasa khuatir harta yang dikeluarkannya akan hilang begitu saja.

Malulah kita atas setiap pemberian Allah! Kita sering merasakan kita ialah tuan empunya segala-galanya, tetapi ingat ia tidak kekal selamanya pada kita bahkan diri kita sendiri pun adalah kepunyaan Allah Yang Maha Baik, yang tidak pernah melupakan kita dari sejak kita lahir hinggalah nanti kita dibangkitkan di hadapan Allah.

Tunaikanlah semua hak Allah, hak pada diri dan orang lain, hak pada harta dan kekayaan yang telah diberi amanah untuk kita menjaganya. Tak rugi sebenarnya, semuanya akan dihitung dan dikira oleh Allah. Lihatlah dalam hatimu sebuah janji Allah melalui lidah Nabi SAW,

Dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, “Tidaklah seorang hamba memasuki waktu pagi pada setiap harinya, kecuali ada dua malaikat yang turun. Salah satunya memohon, ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi dermawan yang menginfakkan (zakat) hartanya.’ Dan satu lagi memohon, ‘Ya Allah, musnahkanlah harta si bakhil.” (HR. Bukhary 5/270 Muslim 1678).

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI