Derita Penyakit Hati Berlemak & Gerd, ANIM EZATI Labur RM30 Ribu Jalani Pembedahan Bariatrik

Tidak dinafikan, apabila berada di hadapan kaca televisyen, tubuh akan kelihatan sedikit berisi dari kebiasaannya. Faktor ini banyak mendorong personaliti televsiyen untuk menjaga penampilan dan memastikan berat badan tidak berlebihan untuk kelihatan menarik di kaca televisyen.

Personaliti televisyen, Anim Ezati Rizki tidak terlepas dari berhadapan masalah berat badan selepas melahirkan zuriat pertamanya. Malah bagi Anim, dia menganggap pelaburan kos yang dikeluarkan sebanyak RM30,000 bagi menjalani pembedahan bariatrik tahun lalu sebagai keputusan tepat bagi  mengatasi masalah berat badannya.

Terlebih dahulu, sebelum mengambil keputusan menjalani pembedahan tersebut, Anim terlebih dahulu mengambil kira pandangan dari aspek perubatan dan mengikut nasihat doktor untuk mengatasi gejala obesiti yang dihidapinya.

“Ramai menyembunyikan daripada mengaku menjalankan bariatrik sebab perkara tersebut sangat sensitif.

Namun, kalau ada orang faham yang sebenarnya pembedahan ini untuk kesihatan perkara tersebut akan jadi okey.

“Alhamdullilah selepas melakukan bariartrik, saya tidak lagi mengalami kolestrol tinggi, penyakit hati berlemak dan masalah gerd selesai,” katanya selepas sesi memperkenalkan pengacara dan segmen baharu program Helo Doktor.

Sebagai personaliti televisyen, Anim mengakui hilang keyakinan apabila bersiaran dengan berat badan yang agak berisi sebelum memilih melakukan bariatrik.

“Saya turun berat badan sebanyak 35 kilogram (kg) daripada berat asal iaitu 89kg berat selepas bersalin.

“Masa itu saya tidak bersemangat dan biasalah kerja televisyen, kalau besar macam ini memang mengundang macam-macam.

“Itu antara motivasi sehingga saya harus menurunkan berat badan dan memilih untuk melakukan bariatrik,” jelasnya yang kini mempunyai berat 53kg.

Berkongsi lanjut, pengacara itu terdetik untuk melakukan pembedahan tersebut selepas terlibat dalam Helo Doktor yang mengupas mengenai topik bariatrik.

“Kebetulan pada waktu itu rancangan Helo Doktor mengupas soal pembedahan bariatrik dan doktor mencadangkan saya untuk tampil ke hospital bagi melakukan pemeriksaan.

“Setelah melakukan endoskopi rupa-rupanya saya memang ada masalah hati berlemak dan gerd oleh kerana obesiti. Penyakit hati berlemak dikenali sebagai steatosis hepatik (hepatic steatosis) terjadi apabila berlaku pengumpulan lemak pada hati. Secara fitrahnya, hati memproses nutrien daripada makanan dan minuman serta menapis bahan berbahaya daripada darah.

“Jadi doktor mencadangkan untuk meneruskan pembedahan tersebut untuk merawat dua penyakit yang saya hadapi,” ujar Anim yang menjalankan bariatrik pada Mei tahun lalu.

Kesanggupannya menghabiskan sekitar RM30,000 kurus juga sebenarnya boleh membuka mata ramai tentang kebaikan bariatrik.

“Sebenarnya ramai yang salah faham tentang bariartik yang melihat ia sebagai prosedur kosmetik. Ini bukan pembedahan potong usus tetapi potong perut. Perut kita berbentuk bulat dipotong sebanyak 80 peratus dan sambung ke usus. Jadi hanya 20 peratus ruang dalam perut untuk mengisi makanan.

“Sejujurnya, saya memang mahu mendidik orang yang selama ini menganggap sebagai pembedahan kecantikan padahal ia fokus merawat orang yang ada darah tinggi dan kencing manis,” jelasnya.

Sumber: Kosmo Online

Foto: Instagram Anim Ezati

Share
Published by
Rosmah Idayu