Jika sebelum ini Jutawan Muda, Kylie Jenner telah menderma sebanyak RM4.3 juta (USD1 juta) untuk membantu hospital-hospital di Los Angeles mendapatkan bantuan dan bekalan untuk memutuskan rantaian pandemik COVID-19. Kini selebriti wanita TERKAYA di dunia, Oprah Winfrey pula telah melakukan tanggungjawab sosialnya.
Ads
Oprah telah mengumumkan akan menghulurkan sumbangan sebanyak RM44 juta (USD10 juta) bagi membasmi pandemik COVID-19 di Amerika Syarikat. RM4.3 juta (USD1 juta) daripada jumlah sumbangan “Help Americans During This Pandemic” itu, akan didermakan kepada America’s Food Fund bagi membantu mereka yang kelaparan akibat pandemik ini.
Oprah Winfrey atau lebih terkenal dengan nama Lady O ini sememangnya berjiwa pemurah. Ingat lagi 16 tahun lalu, apabila wanita ini telah mencipta sejarah dalam dunia penyiaran melalui rancangan bual bicara popularnya “Oprah Winfrey Show”. Oprah telah memberi kejutan paling dikenang sehingga kini apabila menghadiahkan 276 unit kereta kepada setiap penonton dalam studionya.
Benar orang kata, lagi banyak kita memberi lagi murah rezeki yang kita dapat. Siapa sangka, jiwa pemurah yang dimiliki wanita ini, melayakkannya dinobatkan sebagai selebriti wanita TERKAYA di dunia dengan jumlah bersih kekayaan bernilai RM15 billion (USD3.5 billion). Semua yang diraih oleh Oprah ini adalah hasil titik peluhnya sendiri.
Sikapnya dalam memajukan diri sangat menginspirasikan. Teringat kata-katanya, “Think like a queen. A queen is not afraid to fail. Failure is another steppingstone to greatness,”. Wanita berusia 66 tahun ini mula mencipta nama dalam rancangan bual bicara popularnya “Oprah Winfrey Show” yang mula diterbitkan pada tahun 1984.
Ads
Bayangkan program ikonik ini telah bersiaran selama 25 tahun sebelum berakhir pada tahun 2011. Jumlah gaji yang diterima oleh wanita ini tidak diketahui tetapi beliau memperoleh sekitar RM720 juta (USD165 juta) di antara Mei 2011 dan Mei 2012.
Setelah program bual bicaranya berakhir, Oprah telah melancarkan saluran kabelnya sendiri, Oprah Winfrey Network (OWN). Pegangan sahamnya sebanyak 25.5 peratus dalam saluran kabel ini dianggarkan bernila RM327 juta (USD75 juta). Selain itu, Oprah juga memiliki syarikat majalah sendiri dengan menjadi sebahagian Ahli Lembaga Pengarah dalam Weigh Watchers.
Ads
Menurut CNBC, harga saham syarikat wanita yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Seni/Sains, Universiti Tennessee State ini, mencapai rekod tertinggi pada bulan Jun 2018. Forbes melaporkan sahamnya telah berubah dari RM192 juta (USD43.5 juta) menjadi RM1,747 juta (USD400 juta).
Selain itu, Oprah juga memiliki syarikat bernama Harpo Production yang memiliki rangkaian tunggal dengan Discovery Communication. Harpo Production merupakan kekuatan di sebalik program Dr. Phil, Rachael Ray dan The Dr. Oz Show. Ini bermakna jiwa wanita ini sudah sebati dengan dunia penyiaran dan tidak mampu meninggalkannya meskipun bekerja di belakang tabir sahaja.
Foto: Facebook Oprah Winfrey
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Gelaran wanita Asia pertama yang berjaya menakluk Antartika secara solo menggunakan kaedah meluncur ski pada tahun 2004 telah membuka mata masyarakat tentang kemampuan Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir sebagai seorang wanita.
Ekspeditor negara yang juga penceramah dan motivator ini mencipta sejarah tersendiri yang sangat menakjubkan sekaligus mengharumkan nama negara di mata dunia.
16 tahun telah berlalu kini ia menjadi sejarah terunggul buat wirawati negara ini. Baginya bukan mudah memegang gelaran ikon kerana ia merupakan satu tanggungjawab besar. Kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa adanya pendorong yang menjadi pembakar semangat.
ARWAH IBU JADI PENDORONG
Menurut Dr Sharifah Mazlina, arwah ibunya adalah satu-satunya pencetus semangat buat dirinya selama ini. Namun apa yang paling menyentuh hati ialah arwah ibunya itu merupakan penghidap kanser payudara tahap 4. Walaupun diuji, arwah seorang yang sangat kuat dan pandai ‘menyimpan’deritanya depan anak-anak.
“Arwah ibu banyak memberi suntikan dalaman kepada saya. Walaupun menghidap kanser payudara tahap 4 namun arwah seorang yang terlalu kuat dan tak pernah cerita kepada anak-anak yang arwah sebenarnya sedang sakit.
Saya masih ingat lagi, selepas pembedahan arwah meletakkan bahagian payudara yang telah ‘dipotong’ ke dalam botol kemudian diletakkan di atas katilnya. Arwah memanggil semua anak-anak untuk melihatnya.
Arwah kata, ini satu pengajaran dan berpesan jangan sampai jadi seperti itu. Kami lihat pun tak sampai hati.
Tiga bulan sebelum meninggal arwah meminta jaket yang paling saya suka pakai. Sepanjang tiga bulan itu, arwah sering memakai jaket tersebut. Katanya, Ummi bersama saya. Buatlah yang terbaik sampai berjaya. Arwah banyak memberi semangat dan kekuatan kepada saya.
Sejujurnya, saya tak pernah melihat arwah ibu menangis dek kerana sikapnya yang sangat positif, saya kagum! Arwah melihat kanser sebagai satu rezeki dan menganggap dirinya sangat beruntung kerana diuji.
Sekurang-kurangnya arwah tahu bila dia akan ‘pergi’ dan boleh membuat persiapan awal. Bukan saja untuk dirinya malah arwah juga membuat persiapan untuk anak-anak.
Arwah menyiapkan kain kapannya sendiri termasuk 36 helai kain batik yang dimasukkan ke dalam tiga beg. Dua minggu sebelum meninggal barulah arwah memberitahu saya tentang beg itu.
Katanya, kapankan Ummi dengan kain tersebut. Beg yang berisi 36 helai kain batik itu pula khas untuk orang yang menolong mengendalikan jenazahnya. Cukup sempurna persiapannya itu. Semua wang yang ditinggalkan pula, arwah minta digunakan untuk membina masjid.
GELARAN
“Pengalaman pertama kali ke Antartika, balik dari sana tulang pinggang saya cedera teruk sampai terpaksa masuk MRI. Buku lali juga cedera teruk tapi saya langsung tak berputus asa kerana i’m a fighter. Enam bulan selepas itu saya umumkan mahu ke kutub utara pula.
Bagi saya gelaran ikon negara satu rezeki dan penghargaan besar. Saya tak kejar gelaran kerana saya percaya jika kita buat sesuatu dengan ikhlas, gelaran itu menjadi satu bonus. Tahun 2004 saya mula menjejaki Antartika, bukan bertujuan untuk mendapat gelaran ikon negara atau apa-apa anugerah.
Hanya untuk tujuan akademik dan membuat kajian PhD. Misi negara itu sebenarnya tak wujud pun pada asalnya. Saya sendiri tak jangka akan diiktiraf sebagai ikon serta menerima anugerah-anugerah dari dalam dan luar negara.
Saya bersyukur kerana tak semua orang dipilih oleh Allah SWT untuk memegang status seperti ini. Alhamdulillah sampai sekarang saya masih mampu melaksanakan tugas-tugas seorang ikon dengan baik.
Selain ditaja badan-badan korporat saya juga banyak melakukan tugas atas inisiatif sendiri. Saya wujudkan NGO sendiri iaiu Wanita Berkumpulan ke Antartika (AWETA). Saya turut bergabung dengan beberapa NGO lain bagi membantu wanita-wanita sukses yang dapat memberi inspirasi kepada wanita-wanita lain.
IMPIAN
Tiba masanya untuk saya mencari pelapis yang bermula dari zero to a hero. Saya mungkin boleh terus memberikan inspirasi tetapi dalam masa sama saya mahu melahirkan lebih ramai ikon muda yang boleh membantu dan menyambung legasi ini.
Saya mahu berkongsi pengalaman ke Antartika. Walaupun keadaan ekomoni sekarang kurang baik namun tak semestinya modal insan pun terhapus. Bagi saya ini adalah modal insan negara.”
Impian beliau juga adalah untuk memiliki program bual bicaranya sendiri sebagai seorang penceramah dan motivator. Program motivasi dengan kaedah tersendiri, unik dan agresif.
Kredit Foto: Instagram Sharifah Mazlina
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bukan mudah untuk menjejak kisah terbaru usahawan wanita bertaraf legenda ini. Barangkali di atas faktor umur dan tidak lagi memimpin PT Mustika Ratu, beliau lebih senang menikmati sisa kehidupan jauh daripada perhatian media. Ibu Mooryati juga selesa beristirahat dan menyerahkan urusan dunia kepada para pewaris.
Mesra dan menyenangkan. Seperti masih terbayang momen penulis menemu bual Ibu Mooryati dan anakanda, Putri Kuswinu Wardani saat mereka berkunjung ke Malaysia.
Biarpun sudah sedekad lamanya, kenangan itu kini bertukar rindu terhadap jenama gergasi Indonesia yang cukup sebati di hati. Bayangkan walau berstatus jutawan kosmetik serta memiliki segudang harta yang melimpah-ruah, keluarga ini tetap merendah diri.
Kerana rindu menemukan penulis dengan cucu-cucu Ibu Mooryati iaitu adik-beradik Dr Kusuma Puteri dan Kusuma Anggraini, anak kepada Djoko Ramiadji (anak sulung Ibu Mooryati).
Menerusi akaun Ninik yang memegang posisi Pengarah Hotel Sheraton Mustika, Yogyakarta, perkongsian mereka bersama nenda kesayangan yang dipanggil Eyang Ti, mengubat kerinduan. Paling seronok tengok sambutan hari jadinya yang ke-94!
Masih kelihatan sihat dan bertenaga pada usia mencecah seabad, rahsia pengasas Mustika Ratu itu tak lain dan tak bukan hanyalah amalan minum jamu.
“Dari masih muda saya rajin minum jamu, saat ini pun saya masih rajin. Saya biasanya minum beras kencur yang saya buat sendiri di rumah.” Ibu Mooryati
Dengan kulit wajah yang masih licin, Ibu Mooryati membuktikan bahawa jamu adalah rahsia awet muda yang sangat mustajab.
Tengok kehidupan keluarga dan cucu-cucu beliau pun harmoni belaka. Semua cantik-cantik dan tampan, paling penting hidup senang serta berkerjaya bagus. Antaranya dua beradik ini yang bergelar doktor dan pengurus hartanah.
CUCU RAJA JAWA
Barangkali tidak ramai menyedari bahawa pengasas Mustika Ratu, Dr. B.R.A Mooryati Soedibyo ini merupakan seorang cucu Raja Jawa yang juga digelar pahlawan nasional Indonesia, Sri Susuhunan Pakubuwana X.
Dilahirkan pada 5 Januari 1928 di Solo, Ibu Mooryati membesar di istana, atau keraton, di Surakarta yang sarat kebudayaan Jawa. Di sini jugalah beliau mengenal tumbuhan berkhasiat, meramu jamu dan kosmetik tradisional dari bahan semula jadi.
Nenda Ibu Mooryati merupakan pemerintah dari susuhunan kesembilan Kesunanan Surakarta (1893-1939) sekaligus menjadikan keluarga itu susuhunan paling lama memerintah dalam sejarah Surakarta.
Gelaran B.R.A pada pangkal nama Ibu Mooryati adalah singkatan kepada Bendara Raden Ayu yang diberikan oleh kerajaan kepada golongan putera puteri Sultan, cucu cicit hinggalah generasi di bawahnya.
BERNIAGA
Cantik dan pintar. Begitulah gambaran masyarakat terhadap sosok Ibu Mooryati sejak dahulu lagi.
Beliau merupakan alumni Universitas Saraswati, Universitas Terbuka dan Universitas Sebelas Maret Surakarta. Bahkan gelaran Doktor diperoleh dari Universitas Indonesia dalam jurusan Ekonomi.
Bukan itu sahaja, Ibu Mooryati merupakan penerima gelaran doktor tertua di Indonesia dan tercatat dalam The Indonesia World Records Museum (MURI)!
Seorang yang pandai menari, wanita ini menikah saat usianya menginjak 37 tahun. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Soedibyo Purbo Hadiningrat pada tahun 1965, kemudian mengikuti suaminya bertugas di Sumatera Utara.
Sebagai suri rumah, Ibu Mooryati fokus terhadap tugasnya sebagai ibu anak lima. Sambil menjaga Djoko Ramiadji, Putri Kuswinu Wardani, Dewi Nur Handayani, Haryo Tejo Baskoro dan Yulia Astuti di rumah, beliau mengamalkan jamu setiap hari.
Siapa sangka, hobi minum jamu Ibu Mooryati menjadi ikutan wanita lain. Beliau menggunakan resipi asli Keraton Surakarta untuk meracik jamu dan kosmetik dari bahan alami.
Jamu racikan ini mula digemari dan mendapat banyak tempahan. Di situlah bermulanya idea untuk berniaga.
Tanpa mempedulikan komen-komen negatif, beliau merintis perniagaan jamu dari ruangan garaj di rumah. Waktu itu (tahun 1973) Ibu Mooryati hanya sekadar mempunyai modal Rp 25,000 (sekitar RM7) untuk membangunkan Mustika Ratu.
“Trahing kusumo rembesing madu, trahing sinatrio mustikaning ratu.” Peribahasa Jawa
Mengambil nama Mustika Ratu dari peribahasa Jawa, empayar Ibu Mooryati pun berkembang ketika umurnya 45 tahun. Dari bantuan dua orang pembantu menjadi 25 orang dan kemudian meningkat 50 orang. Kesemua pekerja ini mendiami rumahnya.
Ingat lagi nama-nama jamu Mustika Ratu yang pernah kita amalkan dulu? Antaranya Perawatan Remaja Putri, Perawatan Wanita, Kesepuhan dan Sepetan Sari yang sering dijual di toko-toko jamu dan salun kecantikan.
Tahun 1981, Ibu Mooryati membangunkan gedung sendiri hasil pinjaman bank berjumlah Rp100 juta untuk memajukan Mustika Ratu. Sejak itu beliau tidak menoleh ke belakang lagi. Maju terus dan memartabatkan produk tempatan Indonesia secara holistik.
‘Semangatmu, dedikasimu, karyamu dan kerja kerasmu akan selalu menjadi inspirasi yang berharga untuk wanita Indonesia’ Mustika Ratu
LEGENDA
Ibu Mooryati banyak menjalankan program di peringkat nasional dan antarabangsa dalam mengangkat sosok wanita yang kuat. Salah satunya pertandingan Puteri Indonesia yang berinspirasikan daripada acara Miss Universe yang dihadirinya pada tahun 1990.
Percaya bahawa wanita mampu memimpin dan menguruskan organisasi, beliau menerapkan prinsip Pemberdayaan Perempuan untuk mencapai kesamarataan gender.
Tak hairanlah syarikat beliau terpilih sebagai advocate dalam G20 EMPOWER serta menjadi antara 60 perusahaan di Indonesia dan antara 4,637 perusahaan di dunia yang tergabung dalam Women’s Empowerment Principle.
Kini meskipun Ibu Mooryati tidak lagi bekerja keras seperti dulu namun legasi Mustika Ratu terus menjadi kebanggaan rakyat jiran dan menjana ekonomi rakyatnya. Semoga segala jasa dan usaha keras wanita ini mendapat penghargaan sewajarnya!
Foto: Instagram @ninik102
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Nama Datin Elaine Daly sememangnya tidak asing lagi dalam dunia peragaan dan ratu cantik di Malaysia. Bekas naib juara (1st Runner Up) Miss Malaysia World 1998 dan juara Miss Malaysia Universe 2003 ini semakin jelita apatah lagi selepas mendirikan rumahtangga dengan seorang doktor berasal dari Afrika Selatan, Dato’ Dr Nick Boden.
Pasangan ini berkahwin pada satu majlis kecil-kecilan di Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada 2014. Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan dua orang puteri comel yang diberi nama Eva Jean Boden dan Mia Alice Boden.
Sekali pandang, tidak banyak perubahan pada wajah Datin Elaine Daly walaupun sudah mencecah usia 43 tahun. Tubuh langsing dan tinggi lampai memberi bonus untuk Datin Elaine Daly tampil bergaya di setiap majlis yang dihadirinya.
Apatah lagi, beliau memegang jawatan sebagai pengarah (National Director) Miss Universe Malaysia Organization sejak tahun 2016 selain memegang jawatan sebagai pengarah siaran atau Channel Director kepada laman online gaya hidup dan platform strim video Malaysia, hurr.tv.
Gelaran beauty with brains, sememangnya amat sinonim untuk melambangkan keperibadian Datin Elaine Daly memandangkan beliau bukan sahaja bergelar pelakon, pengacara televisyen, peragawati malah peguam. Walaupun pernah diulit dunia glamor selebriti, ia tidak pernah membuatkan beliau leka dan tidak mengejar cita-cita untuk menamatkan pengajiannya.
Mengambil rehat pada tahun 2007 untuk bertugas dengan salah satu firma undang-undang terkemuka di Malaysia dan beliau dipanggil ke bar Malaysia setelah menjadi pelajar selama 9 bulan untuk mengambil peperiksaan bagi menjadi seorang peguam yang berkelayakan.
Ternyata keputusan untuk berehat seketika dari dunia hiburan membawa kisah kejayaan yang boleh dijadikan inspirasi buat wanita mengejar impian mereka. Malah, Datin Elaine banyak membantu dan memberikan inspirasi kepada para wanita di seluruh negara berkaitan kecantikan, kerjaya dan pelajaran harus berjalan seiring!
Datin Elaine turut memulakan sebuah organisasi, Lead Up Asia iaitu sebuah bengkel latihan untuk membantu para wanita dengan kemahiran interpersonal mereka bagi meneruskan karier mereka tanpa batasan.
Ditanyakan soalan berkaitan dengan kecantikan, Datin Elaine Daly tertawa kecil apabila penulis memuji wajahnya tidak banyak berubah walaupun telah memasuki angka 4 siri. Sambil tersenyum, Datin Elaine menyatakan untuk menjadi cantik, seseorang wanita itu perlu mempunyai kecantikan dari dalam dan luar. Mempunyai kecantikan dalaman dan luaran menjadikan seseorang wanita itu kelihatan sihat dan positif dengan bersenam dan makan makanan berkhasiat.
“Saya lebih selesa mengamalkan regim penjagaan wajah yang teratur untuk mendapatkan kulit yang cantik. Saya akan pastikan muka dibersihkan sebaiknya selepas mengenakan solekan sepanjang hari. Selain itu, minum cukup air dan sentiasa mengenakan pelembap wajah menjadi senjata untuk kulit kekal anjal. Selain itu, saya juga mengamalkan rutin senaman untuk kekalkan tahap kecergasan. Jika berkesempatan, dua kali sebulan saya akan manjakan diri dengan mengunjungi spa,” ujarnya lagi.
Memiliki dua orang puteri yang masih kecil menjadikan kehidupan sehariannya perlu dibahagikan dengan sebaik mungkin untuk menguruskan kerjaya dan keluarga. Sejak bergelar ibu, beliau seronok menjalani kehidupan bersama dua puterinya yang dianggap sebagai rakan baik dan gemar melakukan apa sahaja bersama mereka.
“Saya seronok dengan kehidupan sekarang dan menjadi ibu adalah satu fasa yang sangat berbeza tetapi ia sangat indah. Hubungan kekeluargaan amat rapat dan saya sentiasa mengutamakan masa bersama keluarga terutamanya anak-anak 24 jam sehari. Saya menikmati pengalaman indah sepanjang bergelar ibu di mana Eva dan Mia berkongsi pelbagai benda baharu setiap hari. Best moment ever,”ujarnya yang mengajak wanita bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga dengan sebaik mungkin.
“Bagi saya pengurusan masa itu sangat penting. Sebagai seorang yang bekerjaya dan seorang ibu, saya sentiasa tahu dan merancang dalam kehidupan saya untuk menjadikan semua hal seperti kerja, anak-anak, rumah tangga dibahagikan masa yang sama rata”, ujar beliau.
Dilahirkan dalam keluarga serani (bapanya seorang Serani, ibunya berketurunan Peranakan Cina, bintang yang fasih berbahasa Melayu ini bakal meraikan sambutan Krismas tahun ini di kediamannya di Kuala Lumpur memandangkan situasi pandemik yang masih belum menemui noktahnya.
Demi memastikan kesihatan keluarganya terpelihara, Datin Elaine dan suami memilih untuk meraikan Krismas bersama keluarga dan sahabat terdekat sahaja.
“Kebiasaannya, setiap kali tibanya sambutan Krismas, kami sekeluarga akan bercuti panjang ke luar negara semasa perayaan Krismas tetapi rutin tersebut terpaksa di ubah tahun ini. Demi menjaga keselamatan keluarga memandangkan saya mempunyai anak-anak yang masih kecil dan ibubapa yang sudah berusia, lebih baik saya memikirkan soal keselamatan dan kesihatan mereka.
Harapan saya semoga pandemik ini segera berakhir dan kita dapat menjalani kehidupan dan meraikan musim perayaan semeriah dahulu,” ujar Datin Elaine yang ramah dan mudah didekati.
Ditanya mengenai menu yang bakal disediakan semasa Krismas, kebiasaannya menu utama musim perayaan ialah ayam turki dan pie. Tetapi tahun ini, Datin Elaine bercadang membuat beberapa perubahan terhadap menu musim perayaannya.
“Tahun ini kami pun meraikan Krismas dalam suasana ‘lari dari menu kebiasaan’. Tahun ini saya bercadang menyediakan popia nyonya resipi ibu untuk melengkapkan menu hidangan hari Krismas. Menu peranakan Cina ini pastinya sesuai untuk musim perayaan,” ujar Elaine yang mewarisi darah campuran Peranakan Cina dari ibunya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pelakon jelita Uqasha Senrose, menzahirkan rasa sebak sebaik sahaja membaca hantaran Instagram yang dimuatnaik oleh usahawan dan pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew yang menitipkan...