Pada pandangan umum, pasangan Datuk Syahmie dan Datin Norhaliza (nama samaran) terlihat sentiasa bahagia. Dikurniakan tiga cahaya mata berusia di antara 5-12 tahun serta hidup dilimpahi kemewahan.

Tapi hakikatnya, mereka saja yang tahu. Hubungan suami isteri itu berada dalam keadaan tegang, bagaikan tali yang menanti saat putus. Kasih sayang yang dipupuk bagaikan terbang ditiup angin.

Ads

Semuanya bermula sejak Datin Norhaliza memberhentikan Ustaz Samaon (nama samaran) yang diupah mengajar anaknya mengaji. Dengan bayaran RM60 sebulan, Ustaz Samaon akan datang mengajar tiga kali seminggu.

Suatu hari, Ustaz Samaon tiba agak lewat dari biasa. Datin Norhaliza mula marah-marah mengenangkan selepas itu ketiga-tiga anaknya ada kelas muzik di sebuah pusat muzik terkemuka.

Setengah jam kemudian, Ustaz Samaon muncul dengan wajah berpeluh-peluh. “Minta maaf Datin. Motosikal saya rosak kat bawah bukit. Terpaksa saya menolak sampai ke atas,” katanya sambil mengelap peluh di muka.

Tapi Datin Norhaliza tak peduli. Tiada langsung rasa simpati pada Ustaz Samaon yang terpaksa menolak motor lebih 2km ke rumah agamnya yang terletak di sebuah kawasan elit di puncak bukit.

“Ustaz, kalau motor tu dah buruk belilah motor baru. Tak cukup ke duit yang saya bayar RM60 sebulan tu, buatlah bayar ansuran motor. Jangan menyusahkan orang. Ini sebabkan Ustaz, anak-anak saya lambat ke kelas muzik.

Kalau nak mengajar, ajarlah betul-betul. Jangan nak ikut sendiri saja. Kalau tak, berhenti!” jerkah Datin Norhaliza. Terkejut bercampur penat menolak motor, Ustaz Samaon rasa cukup terhina dengan kata-kata wanita kaya itu. Terus dia meminta izin untuk berhenti.

Apabila Datuk Syahmie pulang malam itu, dengan bangganya Datin Norhaliza memberitahu dia telah memberhentikan khidmat Ustaz Samaon. Disebabkan hal itu, mereka berdua pun bergaduh besar.

Keesokan harinya, Datuk Syahmie segera ke pejabat di mana Ustaz Samaon bekerja sebagai jaga. Dia mahu meminta maaf atas keceluparan isterinya dan mengajak Ustaz agar datang mengajar semula. Tapi Ustaz Samaon enggan.

Marah besar Datin Norhaliza bila tahu tentang hal tersebut. Sejak itu hubungan keduanya semakin tegang, mereka tak lagi sebulu dan ada saja yang ditengkarkan bila berjumpa.

Jumpa Bomoh

Merasa kasih sayang Datuk padanya tergugat, Datin Norhaliza tekad mencari jalan singkat dengan berjumpa seorang bomoh.

Bomoh ini memakaikan susuk supaya wajah Datin Norhaliza yang masih cantik itu semakin menawan. Tidak cukup lagi, dia juga mengenakan ilmu penunduk suami supaya Datuk sentiasa patuh dan tak mempertikaikan tindakannya.

Sejak itu Datuk Syahmie benar-benar berubah. Biarpun di luar dia berjaya mengendalikan projek jutaan ringgit, tapi di rumah dia bagaikan seekor tikus yang sentiasa mengikut telunjuk isterinya. Dia tiada kudrat untuk melawan.

Suatu hari, dengan kuasa Allah timbul keinginan dalam hati Datuk Syahmie untuk menunaikan haji. Tanpa berfikir panjang, dia terus mendaftarkan namanya dan isteri ke pihak Tabung Haji. Itulah keputusan pertama yang dibuat tanpa menunggu persetujuan Datin Norhaliza.

Bila perkara ini disampaikan kepada isterinya, Datin Norhaliza tak marah sebaliknya cukup gembira dan puas hati. Memang dia sendiri sudah terfikir tentang perkara tersebut.

Gembira sungguh Datin Norhaliza. Terbayang di matanya keseronokan mengerjakan haji dan membuat amal ibadah seperti orang lain. Sedikit pun tak terfikir yang dia bakal melalui satu pengalaman paling bermakna dalam hidupnya di sana nanti.

Ads

Bertolak Ke Mekah

Tapi kegembiraan wanita itu tak lama. Setelah seminggu di Tanah Suci, dia dapat melihat perubahan jelas suaminya. Lelaki itu bagai menjauhkan diri, tak mempedulikan dirinya dan sentiasa cuba menghindarinya.

Entah kenapa jadi begitu. Biarpun berusaha berbuat sebaik mungkin, tapi Datuk Syahmie seakan alergi dengan dirinya. Apatah lagi sejak tiba di Tanah Suci, Datin Norhaliza asyik sakit-sakit hingga ibadahnya terganggu.

Dalam keadaan begitu, Datin Norhaliza tetap gembira kerana dapat teman-teman baru yang sangat mengambil berat. Antaranya seorang Ustazah iaitu Ustazah Amilah, isteri Ustaz Samaon.

Suatu hari penyakit Datin Norhaliza semakin berat hingga terpaksa dibawa ke hospital. Apabila mendapat tahu keadaan tersebut, Ustazah Amilah terus pergi melawat. Puas dicari tapi kelibat Datin cantik itu tetap tak kelihatan.

Dengan bantuan petugas hospital, akhirnya dia menemui Datin Norhaliza dalam keadaan yang sangat mengejutkan. Wajahnya berubah sama sekali. Rupanya begitu hodoh dalam masa sehari!

Ads

“Datin sakit apa sampai macam ni sekali?” tanya Ustazah ingin tahu.

“Berubah macam mana?” tanya Datin Norhaliza dalam nada pelik.

Melihat wajah Datin yang kehairanan, Ustazah Amilah mencapai sebuah cermin dan diserahkan padanya. Bagaikan gugur jantung Datin Norhaliza melihat wajahnya sendiri yang amat tua dan berkeriput. Dia terus menjerit-jerit histeria hingga terpaksa ditenteramkan dengan suntikan penenang.

Apa yang berlaku pada Datin Norhaliza membingungkan Ustazah Amilah. Atas dasar ingin membantu, dia kemudiannya meminta pandangan orang-orang alim di situ.

“Mungkin ada kena-mengena dengan amalan ilmu tak baik,” beritahu mereka.

Bila perkara ini ditanyakan pada Datin, wanita itu tanpa sembunyi mengakui tentang susuk dan ilmu penunduk yang diamalkan. Sambil menangis tersedu-sedan dia menyatakan kesalan dan mahu membuang ilmu hitam tersebut dengan apa cara sekalipun.

“Beginilah Datin. Susuk tu susah sikit sebab ia hanya boleh dikeluarkan oleh orang yang memasukkannya. Tapi ilmu penunduk tu mungkin kita boleh usahakan. Kita cuba solat hajat enam rakaat di depan Kaabah serta bertaubat dan minta ampun daripada Datuk,” kata Ustazah Amilah.

Insaf atas kesilapannya, Datin Norhaliza menggagahkan diri berbuat apa yang disarankan. Dengan kuasa Tuhan, penyakitnya beransur sembuh hingga membolehkan dia mengerjakan semua ibadah haji walaupun belum begitu sihat. Hubungan dengan suaminya pun beransur pulih.

Sekembalinya ke tanah air, Datin Norhaliza tekad membuang susuk dan semua ilmu sesat yang diamalkannya. Gaya hidup riak dan sombong juga ditukar menjadi lebih sederhana. Wajahnya yang masih muda tetap kelihatan cantik, malah lebih berseri daripada kebiasaan. Bagi Datin, dia betul-betul bertaubat atas segala perbuatannya dan menyesal terhadap dosa-dosa yang pernah dilakukan.

Kisah ini diceritakan semula oleh Ustaz Haji Daud Che Ngah, Bekas Pengurus Besar Bimbingan Haji, Lembaga Urusan Tabung Haji melalui naskhah ‘Ingatan Dari Kaabah’.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI