Perkongsian Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu melawat kawasan beliau di Langkawi hari ini, mencuri tumpuan. Sebuah rumah usang, rupanya pernah merakam sejarah sebagai tempat tinggal beliau sewaktu bertugas sebagai pegawai perubatan sekitar 65 tahun lepas.
Sambil merenung ke luar jendela, figura tokoh politik ini yang berpelitup muka seperti leka mengimbau nostalgia. Tulisnya,
Pada tahun 1956 saya ditugas sebagai Medical Officer, Langkawi.
Ini kuarters yang saya tinggal selama 6 bulan di Jalan Ayer Hangat, Kuah.
Di seberang jalan terletak hospital lama.
Rekabentuk rumah ini masih kekal.
Di jendela yang sama saya lihat perubahan Langkawi.
PERUBAHAN YANG DIMAKSUDKAN
Dalam mentafsir kata-kata Bapa Pemodenan Malaysia ini, ada banyak aspek yang perlu dikaji sebelum dapat menyimpul maksud yang beliau sampaikan. Adakah Langkawi hari ini membangun seperti yang direncana, atau pun sebaliknya?
Atau apakah bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu mahu rakyat berfikir tentang negara?
Sebagai Ahli Parlimen Langkawi, pasti bertuah sekali penduduk di pulau itu lantaran beliau dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Ali kerap turun padang menyantuni masyarakat. Tak terhitung banyaknya jasa lelaki ini buat tanah air yang disayangi.
Direzekikan untuk masih dapat melihat tokoh negara ini berkhidmat, sihat walafiat dan mampu tersenyum dengan fikiran yang masih ligat, bagi penulis adalah satu pengalaman terindah. Tun Dr Mahathir Mohamad kini berusia 96 tahun.
Pada tahun 1954, beliau berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Alor Setar, Jitra, Langkawi dan Perlis sehingga tahun 1957.
Beliau kemudian melangsungkan perkahwinan dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pada 5 Ogos 1956 dan dikurniakan empat orang cahaya mata, iaitu tiga orang lelaki dan seorang perempuan manakala beliau mempunyai 3 orang anak angkat. Anak-anak beliau ialah Marina, Mirzan, Mahathir, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar.
Teringat kisah sewaktu Nona menemu bual anakanda sulung pasangan ini, Datin Paduka Marina Mahathir, 64 tahun.
“Semasa kami semua membesar di Alor Setar, Ayah seorang yang garang dan tidak banyak bercakap. Kalau kami tak pergi ke sekolah, macam buat satu dosa besar bagi dia. Saya juga pernah teruk dicubit dan dimarahi apabila tukang kebun kami mengadu saya menjelir lidah kepadanya.
Berkali-kali Ayah tekankan betapa pentingnya sikap tertib dan adab sopan terhadap orang lain. Itulah yang saya pegang dan menjadi prinsip hidup sampai sekarang,” Datin Paduka Marina Mahathir
Tun Dr. Siti Hasmah pula, akui beliau turut bersikap tegas kerana beliaulah yang menguruskan semua hal berkaitan pendidikan anak-anak.
“Dia memang lemah lembut dan mesra dengan semua orang. Tapi sewaktu kami kecil, dia seorang enforcer kerana mahu melihat kami semua berjaya. Sekarang tidak lagi. Mak merupakan individu paling rajin untuk mengatur percutian keluarga dan dialah yang sentiasa membuatkan kami sekeluarga berhubung antara satu sama lain.
Kami selalu dididik bahawa hajat tak akan tertunai tanpa usaha. Dalam dunia ni tak ada yang percuma. Semua orang mesti bekerja untuk mendapatkan hasilnya. Mereka juga selalu berpesan bahawa pendidikan itu sangat penting. Tak kisahlah kami mahu kerja apa nanti asalkan mesti habis belajar.
Kerana tidak dipaksa, maka tak ada seorang pun di antara kami yang mengikut jejak langkah mereka dalam bidang perubatan. Mujurlah sekarang ada dua anak saudara yang menunjukkan minat sebagai doktor.
Percaya tak, kadang-kadang saya kena baca akhbar untuk tahu Mak dan Ayah berada di mana! Hakikatnya memang mereka berdua sibuk dengan pelbagai aktiviti di merata-rata tempat.
Ayah sudah biasa bekerja. Sebenarnya kami sekeluarga sudah puas memujuk namun Ayah masih sayangkan perjuangannya. Sampai ke satu tahap, kami jadi putus asa.
Selagi dia masih sihat, okaylah. Cuma jauh di sudut hati saya sangat kesian melihat Ayah kerana umurnya yang sudah meningkat.” Datin Paduka Marina Mahathir
This website uses cookies.