Seronok dengar perkongsian Senator Wan Ahmad Fayhsal mengenai kehidupannya sebagai suami dan ayah. Kalau selama ini masyarakat lebih mengenalinya sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara, namun ketika pertemuan bersama Nona baru-baru ini beliau terbuka berkongsi sisi peribadi dengan harapan agar pendedahan berkenaan mampu menjadi pencetus semangat khususnya dalam kalangan kaum bapa.
Dikenali ramai dan bergelar pemimpin, Ketua Armada Nasional ini bagaimana pun mengaku selesa menjalani kehidupan sederhana seperti insan lain. Dalam kesibukan sebagai Timbalan Menteri dan ahli politik, pemimpin berusia 35 tahun ini tetap melaksanakan tanggungjawab sebagai suami dan ayah dengan sebaik mungkin.
Beliau yang baru saja menyambut kelahiran cahaya mata kedua sambil tertawa memberitahu cukup teruja menjadi bapa dua anak dan perlu bersedia dari segi mental serta fizikal dalam membesarkan zuriat.
Apatah lagi, pasangan suami isteri muda ini bekerjaya dan isteri kesayangan Wan Ahmad Fayhsal ialah seorang doktor.
“Memang saya sangat menghargai isteri saya yang merupakan seorang doktor dan now masuk anak kedua. Jadi kehidupan kami lebih padat dan sarat dengan bukan saja dengan tugasan kami, malah tanggungjawab sebagai ibu dan ayah kedua-dua anak.
Jadi bukan mudah sebenarnya. Tugas saya berat sebagai pemimpin masyarakat dan isteri pun sama di hospital.”
Ujarnya, walau mempunyai pembantu rumah namun beliau lebih selesa menjaga dan mengasuh anak-anak tersayang. Baginya inilah momen yang seorang ayah patut nikmati ketika anak-anak masih kecil.
Beliau dan isteri juga mengamalkan sikap toleransi demi memelihara keharmonian rumah tangga. “Perlu ada sikap saling memahami dan ada timbang rasa. Walaupun di luar saya Timbalan Menteri, di rumah saya tetap seorang ayah dan suami kepada isteri saya.
Saya kena bangun malam, bancuh susu, tukar lampin, jadi itu bukan benda yang kekok untuk saya.
Dan saya yakin bukan saya seorang, banyak lagi ayah-ayah di luar sana yang mungkin berpangkat CEO dan ahli parlimen juga melalui benda yang sama. Kami masih muda dalam tanggungjawab tugasan (menjaga anak) ini.”
Hasil perkongsian hidup bersama Dr Siti Nuhara, Wan Ahmad Fayhsal dikurniakan anak lelaki sulung iaitu Wan Ahmad Dastan.
Pemimpin berjiwa besar ini dilantik sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara oleh Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh 9 Mac 2020 hingga 8 Mac 2023. Terdahulu, beliau pernah menyandang tugas sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.