Tan Sri Michelle Yeoh bukan suatu nama yang asing bagi peminat dunia seni tempatan dan antarabangsa. Anak kelahiran Ipoh, Perak ini telah mempertaruhkan bakat dalam bidang lakonan sehingga diterima oleh pengiat seni di Hollywood. Usaha wanita yang mempunyai ketinggian 163 sentimeter ini nyata berbaloi.
Filem lakonan Tan Sri Michelle Yeoh bukan calang-calang dan berjaya melakonkan watak sebagai ‘Gadis Bond’ yang diidamkan oleh pelakon wanita seluruh dunia. Bergandingan dengan pelakon terkenal, Pierce Brosnan dalam filem Tomorrow Never Dies yang ditayangkan pada tahun 1997 benar-benar mencipta namanya di persada dunia.
Walau bagaimanapun, dalam filem Crazy Rich Asian tan Sri Michelle Yeoh membawakan watak sebagai ibu kepada pelakon Hendry Golding benar-benar melekat di hati seluruh peminatnya. Hampir 30 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, nampaknya bakat wanita yang pernah mendapat gelaran Miss Malaysia Pageant 1983 ini masih diperlukan. Projek terbaharunya termasuk melakonkan watak adiwira terbaharu, Shang-Chi oleh Marvel Film.
Terbaharu, Tan Sri Michelle Yeoh telah mencipta sejarah, apabila telah dinobatkan sebagai salah seorang daripada 100 Most Inspiring and Influential Women 2020 oleh British Broadcasting Corporation (BBC). Segala usaha dan jerih perih wanita yang berusia 58 tahun ini nyata ‘terbayar’ dengan penghargaan sedemikian rupa.
Siapa yang tidak bangga melihat nama tersenarai begitu. Tan Sri Michelle Yeoh juga teruja apabila melihat namanya tersenarai. “Great honour to be part of the list along with all these amazing influential women,” tulisnya di laman media sosialnya.
“Saya Memang Dah Jangka Akan Tersingkir” -Fazlia. 5 Finalis Mara Ke Pentas Akhir PENCARIAN NONA SUPERWOMAN
Program realiti TV, Pencarian Nona Superwoman semakin hampir ke penghujungnya. Cabaran kian sengit menyaksikan enam lagi peserta yang terus ‘berjuang’ demi merebut tempat ke pentas akhir seterusnya bergelar juara.
Hotel terkemuka bertaraf dunia, Four Seasons Kuala Lumpur menjadi medan pertarungan para peserta Pencarian Nona Superwoman. Apa yang pasti keyakinan dan kemampuan diri setiap peserta masih kekal utuh di hujung perjuangan mereka. Masing-masing berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mempamerkan hasil yang terbaik demi menambat hati juri.
Cabaran Episod 7 kali ini ialah ‘Business Strategy – Branding Plan’ yang menguji peserta dalam menghasilkan idea-idea luar biasa untuk pembinaan jenama atau brand identity.
Terdahulu hos Nadia Annuar memperkenalkan panel jemputan yang pakar dalam dunia perniagaan iaitu Sifu Jamal. Peserta diberikan ilmu dan perkongsian tentang penjenamaan produk oleh Sifu Jamal dalam satu sesi workshop.
Seterusnya, cabaran episod kali ini telah diumumkan oleh juri tetap iaitu Ketua Pegawai Eksekutif USANITA Sdn Bhd, Datin Adzliana Dato’ Sri Dr Hasan. Peserta diminta melakukan pembentangan pembinaan jenama dengan menggunakan perkhidmatan sektor-sektor yang diberikan. Awal Ashaari memaklumkan peserta diberikan masa selama satu jam setengah untuk menyiapkan tugasan tersebut manakala untuk sesi pembentangan mereka hanya diberikan masa selama 10 minit.
Hasil penilaian juri, Syu Ramli diumumkan sebagai pemenang dalam cabaran kali ini sekaligus melayakkan dirinya ke pentas akhir. Diikuti Linda Ross, Ayu Omar, Fazs Faozi dan Ana Najia yang turut mara ke peringkat akhir.
Manakala Fazlia Akma berada di kedudukan terendah sekaligus tersingkir.
“Saya memang dah jangkakan yang saya akan tersingkir kerana performance saya agak merosot. Tetapi alhamdulillah saya sampai ke semi-final. Perancangan selepas ini kembali kepada bisnes kerana saya bakal melancarkan sebuah akademi. Jadi saya akan kembali sibuk dengan bisnes.
Salah satu sebab saya sertai Pencarian Nona Superwoman untuk meningkatkan keyakinan diri. Sebelum ini saya mudah gugup bila bercakap depan orang. Dalam program ini saya banyak belajar tentang keyakinan diri, cara penyampaian, cara bercakap, cara bawa diri, body language dan sebagainya. Pesanan saya buat rakan-rakan yang berjaya ke final tunjukkan yang terbaik dan selamat maju jaya!” komen Fazlia.
Pencarian Nona Superwoman julung kali diadakan khusus buat usahawan B40 dan M40 yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Matlamat program ini bagi menyuntik inspirasi dan memberi peluang baharu kepada para peserta agar bangkit memajukan empayar perniagaan memandangkan setiap daripada peserta ini memiliki latar belakang bisnes yang berbeza.
Terus setia mengikuti perjuangan peserta Pencarian Nona Superwoman dalam usaha mereka menjadi ahli perniagaan yang berwibawa serta berkarisma.
Pencarian Nona Superwoman bersiaran setiap hari Rabu jam 9 malam di Astro Prima yang dibawakan secara ekslusif oleh Majalah Nona dan Nu Ideaktiv Sdn Bhd serta diperkasakan oleh USANITA.
Belum Ada Pembeli Kediaman Mewah Bernilai RM6 Juta, DS Aliff Syukri Bijak Buat Pelaburan
Sebelum ini Jutawan Kosmetik ini telah berkongsi tentang hasratnya untuk menjual salah sebuah kediamannya di atas pusat beli belah yang terletak di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Namun, sehingga kini Dato’ Seri Aliff Syukri Kamarzaman masih menunggu pembeli yang benar-benar berminat.
Kongsi suami kepada Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid ini di laman media sosialnya, “Home sweet home, bawah Pavilion Mall Bukit Bintang dan berjiran dengan JW Marriot. Menunggu pembeli rumah ini yang tidak kunjung tiba. Last-last saya jer duduk sini.
Saya dah jual murah RM6 juta jer sebab harga market value adalah RM6.5 juta tapi tak tahu apa masalah masih tak ada pembeli sekarang ni musim COVID nak shopping semua tutup kedai,” tulis Dato’ Seri Aliff. Memang cantik sangat kediaman tersebut dengan memiliki 4 bilik dan juga 4 bilik air.
Membeli aset berupa rumah merupakan pilihan bijak yang dipilih oleh pasangan ini demi merancang masa depan. Mencungkil rahsia bagaimana Dato’ Seri Aliff Syukri dan Datin Seri Nur Shahida perniagaan mereka mampu bertahan sehingga kini, jawab mereka,
“Sebenarnya ramai peniaga yang tak mahir buat simpanan. Bila dapat duit, mereka mula berbelanja besar. Bukan tak boleh tapi kena beringat sebab ekonomi sekarang tak menentu. Nasihat saya kalau berbelanja tu ukurlah baju di badan sendiri. Berbelanja ikut kemampuan.
Kita kena pandai mengatur perniagaan kerana dalam perniagaan online setiap produk akan ada tempoh luputnya, paling lama setahun. Selepas tu produk tersebut akan mati atau hilang jadi kita kena ada perniagaan offline juga, walaupun perniagaan offline nampak macam tak membantu.
Kami juga mampu bertahan mungkin sebab produk sudah wujud sebelum musim perniagaan online lagi. Jadi jenama D’herbs Healthy Sdn. Bhd. sudah kukuh. Mungkin kalau saya muncul pada zaman online, saya tak tahu mampu bertahan atau tidak.
Saya juga beruntung sebab mempunyai suami yang pandai menyimpan duit. Saya pun banyak belajar menyimpan duit dengan Dato’. Caranya, Dato’ akan sediakan 3 jenis akaun atau tabung khas. Dulu-dulu masa berniaga, beliau akan ada 3 beg duit. 1 untuk rolling, 1 untuk belanja dan 1 lagi untuk simpanan.
Tabung simpanan ini walau apa jadi sekalipun tak boleh disentuh. Bagaimana pula dengan pembahagian simpanan? Apa yang saya lihat suami akan simpan keuntungan lebih banyak di tabung simpanan dan belanja tu sedikit sahaja.
Macam saya mula berniaga dulu di pasar tani, Dato’ bagi saya upah RM50 sehari sahaja. Selebihnya untuk rolling dan simpan,” kata Datin Seri Nur Shahida yang kini menerajui perniagaan D’Herbs dan suaminya menerajui AS Legacy Malaysia.
“Letakkan Diri Anda Di Tempat Mereka Sebagai Doktor Atau Jururawat…” Kiffy Razak
Saya percaya di malam yang sepi ini, ramai di atara kita terus menadah tangan berdoa dan memohon kepada Allah SWT, meminta belas kasihannya untuk mengembalikan suasana sihat di dunia ini, hapuskan dan lenyapkan virus corona di muka bumi ini. Yang menyimpan terlalu lama dalam hati segala kerisauan mungkin tidak berdaya lagi mampu menahan jiwa sebak bersama emosi tegang lalu air mata bercucuran. Luahkanlah tangisan itu dan cerita segala apa yang tersimpan kepada-Nya, merayu dengan bersungguh-sungguh untuk memohon agar dikembalikan kedamaian pada bumi ini… Aamin.
Jika kita boleh mengikut arahan yang telah diperintahkan oleh kerajaan, mengapa tidak kita bersatu hati untuk berdoa bersama-sama meminta pada Allah SWT. InsyaAllah, Allah Itu Maha Pengasih Lagi Maha Pengampun. Allah menciptakan kita dan kepada-Nya jua kita akan kembali. Pastinya kita tidak akan terlepas daripada semua ujian dan dugaan yang Allah berikan, bukan untuk hanya pada seorang individu malah kesulitan itu buat semua makhluk muka bumi ini. Dan kita mula fikir tentang kesilapan diri, salah orang lain, mengapa dan bagaimana semuanya ini berlaku.
Posted by Nona on Tuesday, March 24, 2020
Namun begitu, walau dalam apa keadaan kesengsaraan atau kesakitan yang amat sangat, janganlah mudah kita merasa kecewa dan berputus asa atau harapan sehingga memudaratkan diri sendiri. Selain berusaha menanganinya, kita harus bersabar dan mnggunakan akal waras untuk terus berfikir dalam usaha untuk menjalani kehidupan hari-hari seterusnya. Selebihnya kita perlu tawakal kepada Allah SWT.
Kita di rumah ini merasa kebosanan dan tertekan dengan pelbagai perkara bermain di minda tetapi percayalah di luar sana, lebih ramai menghadapi kesukaran dahsyat. Bayangkan penduduk kita yang berada di luar negara masih tersangkut di sana, punya kesulitan untuk dibawa pulang ke tanah air. Betapa gundahnya hati dan perasaan mereka. Bayangkan makcik tua tinggal di rumah usang tanpa suami dan anak hanya mengharapkan jualan nasi lemak di pagi hari. Kini tiada lagi punca rezeki hanya menunggu bantuan yang diberikan.
Bayangkan mereka yang tidak berdosa terkena virus dahsyat ini, segalanya hancur, tambah dengan rasa bersalah pabila diheret keluarga dan insan tersayang dalam keadaan ini. Yang mungkin penghujungnya adalah mati. Oh! Jika tidak punya kekuatan, kesabaran dan keimanan yang kuat segalanya boleh jadi gila dan tidak terkawal dibuatnya. Maka teruslah berdoa untuk diberi kesabaran pada hati, teguhkan keimanan dan janganlah condong hati ini pada kesesatan dan kehancuran.
Saya tersentuh membaca perkongsian oleh seorang doktor di laman sosialnya. Menurut Dr. Wilson Tiang, “While i was doing my rounds with my gear early morning around 5am. He was ready for his sembahyang subuh and I was waiting for him to complete his prayers. ‘Pak Cik rasa ok ka? (Silently counting his respitarory rate and feeling for this pulse with my hand) Pak Cik put his hand on top of mine. “Ya Allah, lindungilah doktor muda ini dari terkena penyakit ini,” and he prayed for me. And that, makes me the fight worth it.” Dan ramai yang memberi komen terima kasih dan mendoakan beliau untuk kuat dalam menjalani tanggungjawab sebagai petugas di barisan hadapan wabak COVID-19 ini.
Terkadang hanya dengan sebaris doa kita untuk seorang itu sudah cukup untuk dihargai seumur hidup. Doa kita itu mampu memberi kekuatan dan semangat kepada insan lain yang sangat memerlukan ketika ini. Walaupun di wajah mereka tidak menunjukkan rasa tertekan, panik, sedih, marah atau penat dalam melaksanakan tanggungjawab.
Namun ada lagi sebahagian daripada kita tidak menghargai usaha ini. Degil dan ketegaq (loqhat utara) enggan mengikut perintah kawalan yang ditetapkan. Dan ada yang pentingkan diri enggan mengaku telah terkena simptom-simptom virus. Janganlah begitu rakyat Malaysia, petugas di barisan hadapan ini pun ada keluarga yang menanti untuk bersama. Mereka telah tinggal di tempat kerja untuk anda, anda boleh duduk diam di rumah untuk mereka.
Ketika ini juga, cuba letakkan diri anda di tempat mereka yang berada dalam himpunan virus yang terdedah dengan bahaya itu. Mereka di barisan hadapan ini juga manusia seperti kita tetapi tahap kesabaran mereka melaksanakan tanggungjawab sangat tinggi. Bila salah seorang teman lain murung pasti kena ada yang membantu memberi semangat untuk bangun kembali. Kalau salah seorang daripada mereka terkena jangkitan kuman itu, tidak boleh salahkan sesiapa. Bayangkan keadaan itu, mereka tidak boleh berpaling lagi, berjumpa atau melihat suami, anak dan ahli keluargalah. Inilah risiko yang bakal mereka lalui… Oleh itu, janganlah kita pentingkan diri.
Jujurnya saya tidak mempunyai kata terlalu indah untuk diungkapkan kepada semua barisan hadapan ini. Syabas dan terima kasih kepada semua kakitangan KKM, Polis, Tentera, Pengawal Sukarela… Pengorbanan anda semua amat dihargai.
InsyaAllah, saya dan rakyat Malaysia lain akan terus berdoa untuk kesejahteraan kita bersama. Semoga dipermudahkan semuanya dan semoga kita sentiasa berada di bawah lindungan Nya… Aamin.
Stay home, stay safe everyone – Editor Pengurusan Majalah Nona, Kiffy Razak