
Tahu-tahu dah kahwin! Ya itulah respon peminat serta warga maya selepas gambar-gambar persandingan pempengaruh terkemuka, Ryan Bakery yang tular di media sosial sejak dari tengahari tadi. Selepas mengikat tali pertunangan selama 5 bulan, personaliti TikTok Ryan Fahmi Bakery selamat menamatkan zaman bujang dengan wanita pilihan hatinya yang dikenali sebagai Elyia Ibrahim jam 11 pagi tadi.
Menyifatkan Elyia insan yang tetap berada di sisinya ketika jatuh bangunnya, menerusi hantaran di laman Instagramnya, Ryan menitipkan rasa syukur dapat mengenali wanita tersebut yang sentiasa ada di sisinya.
“Tetap ada waktu jatuh dan bangkit aku. Tetap setia menanti. Alhamdulillah 1/10/2022 @elyia.ibrahim telah sah menjadi isteriku. Terima kasih Ya Allah diatas kurnia ini. Kau berkatilah hidup kami hingga ke Syurgamu. Aamiin.
Terima kasih sahabat semua yang mendoakan kami. Hanya Allah yang mampu membalas segala baik budi kamu semua. Saya juga mendoakan kamu semua.”
Turut berkongsi gambar-gambar perkahwinan mereka, ialah adik kepada Ryan, iaitu Adam Bakery juga memuat naik satu hantaran di laman Instagram mengucapkan tahniah atas pernikahan abangnya.
Menerusi video-video persandingan Ryan dan isteri yang kini tular di aplikasi Tik Tok, Ryan dan isteri dilihat mengenakan persalinan serba putih dari Hijabista Hub.
Melihat reaksi warganet di laman Twitter pula, rata-rata menyambut baik berita gembira itu sekali gus mengucapkan selamat pengantin baharu kepada Ryan. Melihat pada laman Instagram isterinya pula, Elyia Ibrahim yang kini sudahpun mempunyai 26.7 ribu pengikut, malah di laman Tik Toknya pula 69.6K.
Turut kelihatan gambar-gambar di awal perkenalan mereka, menunjukkan Elyia cukup setia di samping Ryan Bakery.
Kredit Foto: Instagram @ryanbekery dan @elyiaibrahim
Nikmati Menu Popular 13 Buah Negeri Dalam Sehari, Hanya Di Gembox @ Nilai

Gembox@Nilai merupakan sebuah projek konsep pasar malam moden yang menjadi tarikan pelancongan terbaharu di Nilai, Negeri Sembilan. Gembox yang disifatkan sebagai Pasar Malam Kebudayaan Simbolik Malaysia akan menghimpunkan pelbagai barangan tempatan termasuk makanan, kraftangan dan budaya dari 13 buah negeri di seluruh negara dan beroperasi bermula pada 13 September 2022.
Kebanyakkan tempat atau negara mempunyai pasar malam yang tersendiri melambangkan keunikan dan keistimewaan seperti Chatuchak Market, Thailand, Pasar Malam Shilin,Taiwan dan Pasar Myeongdong Korea. Kini dengan adanya Gembox di Malaysia keluasan tanah keseluruhan sebanyak 14 padang bola sepak, ia akan menjadi salah satu tarikan utama yang setaraf dengan pasar malam terkemuka.
Malaysia sememangnya terkenal di seluruh dunia dengan aneka juadah makanan dari pelbagai kaum dan etnik. Namun demikian, setiap negeri turut mempunyai makanan tempatan masing-masing seperti Daging Salai Lemak Cili Api dari Negeri Sembilan,Ikan Patin Gulai Tempoyak, Laksa Utara dan Laksa Sarawak, Bak Kut Teh, Klang dan lain-lain. Kini, pengunjung dapat menikmati makanan popular dari 13 negeri dengan hanya berkunjung ke Gembox.
Penghimpunan makanan dari 13 buah negeri ada sebagai promosi gelombang pertama buat masa ini. Beberapa tarikan telah beroperasi iaitu Dataran Warisan, Malaysia Food Avenue, Gembox Food Avenue, Rainbow Night Market, 4-Trendy Trail dan juga Pacific Circus.
Seterusnya, akan terdapat pelbagai elemen keunikan Malaysia seperti barangan cenderamata, hasil seni kraftangan, buah-buahan tempatan serta barangan trendy semasa di Gembox.
Ini bertujuan memberikan lebih banyak peluang kepada para pengunjung untuk menikmati kebudayaan Malaysia.Ini juga membantu meningkatkan ekonomi, nilai budaya dan sekaligus memulihkan sektor-sektor tertentu termasuk perniagaan kecil dan sederhana serta sektor pelancongan.
Gembox juga telah mendapat sokongan dan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Malaysia, Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, Melaka, Perak, agansi-agensi pelancongan dan lain-lain. Ini kerana Gembox berpotensi besar untuk menjadi destinasi pelancongan yang berpotensi tinggi.
Lokasi sungguh mudah untuk dikunjung kerana bersambung dengan Lebuhraya PLUS, Lebuhraya LEKAS, Lebuhraya ELITE dan lain-lain lagi. Gembox terletak di antara Kuala Lumpur and Putrajaya, dalam kira-kira 18km dari KLIA and KLIA2 boleh menjadi destinasi pertama buat pelancong ke Malaysia ataupun terakhir sebelum pelancong pulang ke negara masing-masing.
Keunikan Gembox telah menerapkan elemen adat dan budaya Malaysia ke platform pasar malam moden. Ia menghimpunkan 600 buah gerai yang menawarkan lebih daripada 10,000 barangan tempatan dari 13 buah negeri di seluruh negara. Ia juga akan menganjurkan lebih daripada 100 aktiviti kebudayaan dari semasa ke semasa. Pengasasnya ingin memberikan setiap pelancong perasaan “WOW” apabila mengunjungi Gembox. Beliau percaya, Malaysia yang kini berada dalam fasa peralihan ke era endemic, Gembox akan menjadi lokasi pelancongan pilihan terutama.
Gembox adalah destinasi pelancongan baharu yang akan sentiasa memberikan berbagai kejutan kepada pengunjung dan membolehkan mereka merasai “Malaysia Truly Asia, Gembox Truly Malaysia”. Segala urusan perniagaan di Gembox akan dijalankan dengan kaedah tanpa tunai dan Waktu perniagaannya adalah bermula pada pukul 5 petang hingga lewat malam setiap hari.
Di samping itu, bersempena dengan bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia, pihak penganjur akan menganjurkan aktiviti-aktiviti yang bertema “Wow Malaysia” supaya pelancong dari dalam dan luar negara dapat menikmati makanan tradisional serta menghayati kebudayaan Malaysia. Aktiviti pertama, iaitu Pacific Circus akan membawa hiburan yang menakjubkan kepada pelawat Gembox, Setiap Isnin hingga Ahad, pada pukul 8.30 malam selama 90 minit, Persembahan Pacific Circus termasuk Nyanyian, tarian, aksi, akrobatik, Roda Kematian dan banyak lagi! Aktiviti ini pasti akan menghiburkan keluarga dan anak-anak sepanjang malam.
Maklumat lanjut sila layari www.gembox.com.my ataupun ikuti Facebook (facebook.com/gemboxnilai) dan Instagram (Instagram.com/gembox.malaysia) kita.
7 Tahun Kahwin ‘Hutang’ Honeymoon, DATUK LEE CHONG WEI Bawa Isteri Bercuti Lepas Bersara!

Kalau Datuk Lee Chong Wei tidak mengumumkan berita persaraannya semalam, pasti ramai yang masih tidak tahu lagenda badminton negara ini tidak pernah berpeluang membawa isteri tersayang pergi berbulan madu. Meskipun sudah berkahwin sejak tujuh tahun yang lalu. Hakikat itu disuarakan sendiri Datuk Lee Chong Wei ketika menjawab persoalan wartawan tentang perancangannya selepas bersara.
“Sebab utama bersara adalah kerana saya perlu banyak berehat. Lagi satu, saya ada ‘hutang’ dengan isteri sebab selama berkahwin pada tahun 2012… kami belum sempat honeymoon lagi. Saya ‘hutang’ dia sudah lama, rasanya dekat tujuh tahun.

Dan seperti semua sedia maklum, lepas balik dari tournament saya selalu terikat dengan bermacam-macam latihan dan tournament lain. Nak bercuti pun tak boleh lama sebab dalam sukan badminton, kami kena sentiasa berlatih dan jadual yang sangat padat.
Sebab itu jugalah saya tak ada masa hendak bawa isteri pergi honeymoon mahupun bercuti. Saya rasa ini adalah masa terbaik untuk saya berehat dan meluangkan lebih banyak masa bersamanya. Apa-apa pun, saya baru rancang untuk buat semua tu dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Memandangkan anak pun dah dua orang… jadi lepas ini saya akan ada banyak masa untuk bawa mereka pergi bercuti,” ujarnya sambil tertawa.
Tambahnya lagi, “Keputusan untuk umumkan persaraan ini bukanlah satu tugas mudah. Anak saya sendiri selalu bertanya kenapa tak bermain badminton lagi setiap kali tengok perlawanan badminton melibatkan pasukan negara di TV. Saya tak mampu nak jelaskan hal tersebut dan berikannya jawapan.
Pagi tadi (semalam) sebaik bangun dari tidur, isteri saya tunjuk sekeping gambar yang ditulis anak saya… ‘Daddy, you’re the best!’. Bila tengok saja gambar itu, saya terus menangis. Lepas bersara, tumpuan dan masa saya akan lebih kepada keluarga, ibu saya, isteri dan anak-anak. Tapi yang paling utama, nak bawa isteri pergi honeymoon dulu.”
Ketika ulang tahun kelahiran Datin Wong Mew Choo pada 1 Mei lalu, Datuk Lee Chong Wei turut menitipkan pesanan romantis buat suri hatinya itu. “Sejak mula mengenalinya sewaktu zaman remaja lagi, saya sedar… saya dah temui gadis tercantik untuk dijadikan isteri. Dia bukan saja mempunyai wajah yang cantik tetapi juga hatinya.
Ramai beranggapan betapa bertuahnya wanita yang menjadi isteri Lee Chong Wei. Namun hakikatnya, dialah yang menjadikan siapa Chong Wei hari ini. Saya banyak ‘berhutang’ dengannya. Dia sentiasa berada di sisi saya pada saat saya bukan sesiapa dan tidak memiliki apa-apa.
Dia jugalah yang memberi semangat untuk saya bekerja lebih kuat. Dialah yang setia menemani saya ketika sedang terlantar sakit. Dan dia jugalah yang melahirkan dua anak kami, Kingston dan Terence. Alangkah bertuahnya saya.”
View this post on InstagramA post shared by Majalah Nona, ?? (@majalahnona) on
Dalam sidang media sempena pengumuman persaraan Datuk Lee Chong Wei yang berlangsung semalam, jaguh badminton negara itu dalam nada sebak memberitahu hasratnya untuk menamatkan karier sebagai atlet badminton setelah 19 tahun berkecimpung dalam arena sukan berkenaan.
Sambil mengesat air mata dan rasa berat hati mengumumkan berita itu… pemain badminton perseorangan negara berusia 36 tahun ini turut berterima kasih kepada jurulatih serta mereka yang sentiasa menyokong karier sukannya selain rakyat Malaysia yang tidak jemu-jemu memberi kata-kata semangat. Beliau juga menegaskan keputusan untuk bersara terpaksa dibuat atas faktor kesihatan.
Datuk Lee Chong Wei yang dilahirkan pada 21 Oktober 1982 di Bagan Serai, Pulau Pinang berkahwin dengan Datin Wong Mew Choo yang juga bekas pemain badminton negara pada tanggal 10 November 2012. Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Kingston Lee dan Terence Lee masing-masing berusia 6 tahun and 4 tahun.
Bakal Bergandingan kali Kedua Bersama DAVID FOSTER, DATUK SERI SITI NURHALIZA Lahir Rasa Teruja!

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin kembali berkongsi pentas dengan penerbit dan komposer terkenal, David Foster menerusi Konsert Eksklusif ‘Hitman: David Foster and Friends Asia Tour 2023’ di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, di sini, pada 7 Ogos depan.

Konsert itu turut menampilkan penyanyi antarabangsa yang lain seperti Michael Bolton, Peabo Bryson, Loren Allred dan Katharine McPhee, merupakan anjuran sebuah organisasi kebajikan yang ditubuhkan untuk menyediakan pelbagai bantuan kepada golongan miskin dan kurang berkemampuan, Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) dengan kerjasama B De Paris Beauty Project Ent.
Menjadi satu-satunya artis jemputan tanah air, Siti Nurhaliza, 44, bagaimanapun tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberi dan berazam memberikan sebuah persembahan terbaik.
“Kali pertama, saya bekerjasama dengan David dalam satu persembahan eksklusif, sembilan tahun lepas. Saya berdoa ia bukanlah kerjasama pertama dan terakhir. Selepas itu, saya dipelawa beberapa kali membuat persembahan bersama di Indonesia, tetapi rezeki tidak menyebelahi saya.
“Saya bersyukur dan rasa bertuah malah percaya ini adalah platform terbaik menunjukkan bakat apatah lagi dalam kebangkitan ramai penyanyi muda yang bagus dan berbakat, pasukan pengurusan David tetap memilih saya,” katanya pada sidang media mengenai konsert berkenaan baru-baru ini.
“Berdiri satu pentas terutama di bawah pimpinan David adalah impian setiap artis. Jadi, apabila saya lihat senarai barisan artis antarabangsa yang terlibat, ia membuatkan saya rasa kerdil.
“Tambahan pula, saya belum dikenali di peringkat antarabangsa, sebelum ini hanya dikenali di Asia, tetapi saya percaya belum terlambat untuk saya dikenali di pentas antarabangsa meskipun pada usia 44 tahun,” katanya yang turut diundang untuk beraksi menjayakan persembahan bersama David di Singapura pada 8 Ogos depan.