‘Dia Hanya Lelaki Biasa’ Siapa George Floyd Hingga Rakyat Amerika Merusuh Tunjuk Perasaan?

Kematian George Floyd, 46 tahun, telah mencetuskan insiden rusuhan dan tunjuk perasaan besar-besaran di seluruh Amerika Syarikat, dengan mesej supaya keganasan pihak polis dihentikan.

Mendiang meninggal dunia selepas seorang pegawai polis melutut di atas lehernya lebih daripada 8 minit dalam keadaan mangsa tertiarap.

“Saya tak boleh bernafas” itu kata-kata terakhir Floyd.

PENYEBAB KEMARAHAN

George Floyd hanya seorang lelaki berkulit hitam biasa, tapi dengan jiwanya yang besar. Nama ini mula viral sejak beberapa hari lepas apabila lelaki tidak membahayakan itu menjadi mangsa keganasan pihak polis di Minneapolis.

Floyd dilahirkan di North Carolina, membesar di Texas dan berpindah ke Minneapolis selepas dibebaskan dari penjara. Dia digelar ‘gergasi yang tidak berbahaya’ (A Gentle Giant) dan sepanjang masa dilihat cuba untuk memperbaiki hidupnya.

Bekerja sebagai pemandu trak dan pengawal keselamatan di sebuah restoran Amerika Latin iaitu Conga Latin Bistro, sifat penyayang Floyd selalu dikenang oleh orang ramai.

“Dia sanggup buat apa saja untuk menolong orang lain,” ujar adiknya, Bridgett Floyd.

Nama ‘Big Floyd’ adalah gelaran lelaki ini di kalangan ahli keluarga serta rakan-rakannya. Mendiang merupakan bapa kepada seorang anak perempuan berusia 6 tahun yang kini tinggal dengan ibunya, Roxie Washington, di Texas.

“Dia juga adalah bapa yang baik” Roxie Washington

Tunang Floyd, Courteney Ross, turut berkongsi perasaannya yang patah hati dengan kematian kekasihnya. “Dia sangat menyayangi bandar ini. Dia datang dan tinggal di sini kerana suasananya, penduduknya dan peluang pekerjaan yang ada.”

Seperti filem Hollywood, George Floyd merupakan seorang atlet sukan bola keranjang dan American Football yang bagus. Selepas berhenti sekolah, dia menghasilkan muzik dan menubuhkan sebuah kumpulan hiphop bernama Screwed Up Click.

Tunang mendiang

Menurut dokumen Mahkamah, George dituduh pada tahun 2007 atas jenayah rompakan bersenjata dalam satu pencerobohan rumah. Mendiang pernah dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun.

Walau bagaimanapun, peristiwa tersebut banyak menginsafkan George Floyd. Dalam satu video, mendiang pernah dirakam menentang keganasan senjata api dengan mesejnya, “Generasi muda kita jelas sekali hilang kawalan diri.”

TERBUNUH

Tanggal 25 Mei lepas, lelaki itu telah ‘direbahkan’ di atas jalan raya oleh seorang pegawai polis, Derek Chauvin, kerana disyaki menggunakan wang kertas $20 palsu di sebuah kedai.

Dalam rakaman tangkapan itu, kedengaran suaranya… “Saya tak boleh bernafas!” beberapa kali dengan sayup dan perlahan. Mendiang kemudiannya diangkat ke atas pengusung dan dibawa pergi menaiki ambulans.

Dia disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Melalui gabungan video yang dirakamkan oleh orang awam dan kamera keselamatan, kronologi kematian George Floyd diteliti secara terperinci.

Menurut kenyataan polis, penahanan itu disebabkan tindak balas pegawai mereka terhadap satu laporan penggunaan wang palsu di sebuah kedai. Ini mendorong beberapa orang pegawai polis mendekati kenderaan yang disyaki dan mendapati suspek sedang berada di dalam kereta.

Walaupun pada awalnya dilihat masih mengikuti standard kepolisian Jabatan Polis Minneapolis, ia kemudiannya berubah menjadi insiden maut apabila pegawai polis menekan lututnya di atas leher George Floyd selama 8 minit 46 saat.

Ini menyebabkan mendiang sukar bernafas walaupun dia dan orang sekeliling meminta pertolongan supaya ‘tekanan lutut’ itu dilepaskan.

Sehari selepas kematian George Floyd, semua keempat-empat pegawai polis yang terlibat telah dipecat oleh Jabatan Polis Minneapolis.

3 hari kemudian, peguam Mike Freeman mengumumkan tuduhan membunuh ke atas Derek Chauvin, pegawai polis yang menyebabkan kematian George Floyd. Tiga lagi pegawai, Thomas Lane, J. Alexander Kueng dan Tao Thao, masih dalam siasatan.

Mengejutkan kerana menurut seorang bekas pemilik bar El Nuevo Rodeo, mangsa dan suspek pembunuh (George Floyd dan Derek Chauvin) pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di tempat dan masa yang sama!

Mungkinkah pembunuhan ini berunsurkan dendam?

PUNCA KEMATIAN

Satu bedah siasat yang diatur keluarga mendiang George Floyd mendapati mangsa dilemaskan oleh seorang anggota polis Amerika Syarikat (AS), berbeza dengan punca didakwa pihak berkuasa sebelum ini, iaitu masalah berkaitan jantung.

Peguam keluarga itu, Ben Crump pada Isnin berkata, bedah siasat bebas oleh pemeriksa perubatan pada Ahad mendapati, kematian Floyd berpunca akibat lemas, yang disebabkan oleh tekanan pada bahagian tertentu.

Pengarah Autopsi dan Sains Forensik di Universiti Michigan, Aleccia Wilson, berkata beliau memeriksa mayat mendiang Floyd.

“Bukti yang diperoleh adalah kematian itu konsisten dengan lemas buatan, dan kes ini dianggap sebagai pembunuhan,” katanya pada sidang media.

ISYTIHAR PERINTAH BERKURUNG

Peristiwa yang dianggap menindas bangsa kulit hitam di Amerika Syarikat itu telah menimbulkan kemarahan luar biasa.

Perintah berkurung telah dilaksanakan di New York berikutan perusuh menyerbu masuk gedung di pusat Manhattan dengan mensasarkan beberapa kedai jenama terkemuka di bandar raya itu.

Gedung fesyen Michael Kors di Fifth Avenue antara butik berjenama yang terjejas, selain Nike, Lego dan beberapa kedai elektronik.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang rumahnya di New York berada dekat dengan pusat beli belah itu, membuat ciapan di Twitter, semalam untuk menuntut pemimpin tempatan ‘bertindak pantas’ dan memanggil anggota tentera.

Beberapa bandar utama di AS telah mengerahkan anggota tentera dalam menghadapi tunjuk perasaan terhadap kekejaman polis berikutan pembunuhan Floyd ketika dalam tahanan polis di Minneapolis minggu lalu.

Share
Published by
Norzalina