Dunia hiburan seni tanahair digemparkan dengan berita penceraian Mizz Nina dan Noh Hujan selepas 11 tahun bergelar suami isteri. Noh dan Mizz Nina berkongsi berita perpisahan secara serentak menerusi laman Instagram (IG) masing-masing semalam.
Noh dan Mizz Nina dikatakan sudah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur, di sini, semalam. Memetik laporan media, mereka memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur pada 14 Jun lalu.
Sejak bertebarannya khabar angin tentang keretakan rumah tangga Mizz Nina dan suami, sehingga kini masih tidak jelas apa yang terjadi dalam perhubungan mereka.
Walaupun gossip liar bertebaran, dan sehingga kini ada yang menyalahkan satu pihak namun ramai yang memuji bagaimana Mizz Nina berhadapan dengan situasi sebegini. Di laman sosial, selain ramai selebriti yang menitip kata-kata semangat kepada Mizz Nina, NONA tertarik dengan komen warganet yang memuji Mizz Nina yang tidak berkongsi jauh sekali mengaibkan suami.
Memetik kata-kata Sha Ramson Abdullah, “Contohi Mizz Nina. Langsung tak pernah bercerita tentang aib suaminya. Saya tulis ‘Mizz Nina’ sebab saya perempuan. Saya suka ambil pengajaran yang baik dari Mizz Nina. Dia hadap ujian rumahtangganya namun tak pernah sekalipun dia bercerita kepada umum.”
“Tidak bercerita pasal perangai suami dia, tidak bongkar skandal yang ada (sekiranya ada), tidak cerita cacat cela suami, tidak merungut dan tidak meroyan di media sosial. Ya, pastinya dia sebagai isteri kecewa tapi dia memilih untuk tidak berkongsi di media sosial.” Itu pula perkongsian dari Hafiz Manson.
Apa-apa pun, NONA mendoakan semoga urusan Mizz Nina dan Noh Hujan dipermudahkan.
This website uses cookies.