Siapa tidak kenal dengan aktres cantik dan berbakat besar, Nur Fathia Latiff yang terkenal dengan lakonannya dalam drama popular, Ariana Rose dan Gracias Barcelona.
Baru-baru ini nama Fathia Latiff ‘tenggelam’ seketika dalam industri lakonan tanahair dek kerana kontroversi.
NONA berpeluang bertemu dengan salah seorang adik kepada Fathia Latiff dalam satu sesi fotografi. Di kesempatan yang ada, NONA ‘merisik’ perkembangan terkini Fathia Latiff termasuklah keistinewaan sebagai seorang kakak di mata adik-beradiknya.
Dr Fasiha Latiff, 29, kini bertugas sebagai seorang doktor perubatan di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur. Cantik persis kakaknya, beauty with brain. Malah, foto graduasinya pernah tular beberapa tahun lalu.
Seperti mana kita tahu, Fathia Latiff antara aktres di Malaysia yang mempunyai adik beradik perempuan yang cantik-cantik belaka.
“Kak Fathia kini selain kembali berlakon, dia juga sedang rancak menguruskan bisnesnya sendiri.
“Buat masa ini, hatinya masih belum dimiliki kerana ingin memberi tumpuan sepenuhnya terhadap karier,” kongsi Dr Fasiha yang turut memiliki bisnesnya sendiri iaitu Mulan Scarf by Fasiha Latiff, dan THREE O Medical Scrubs.
Berikut keistimewaan Fathia Latiff yang dikongsi oleh adiknya ini:-
“Dia memang seorang yang pemurah dan tidak kedekut langsung dengan keluarga. Bila-bila masa saja kalau dia pergi shopping, mesti adik beradik dapat pemberian darinya termasuklah parent.
“Seterusnya ialah dia sangat ambil berat dengan adik beradik. Setiap hari dia akan tanya khabar kami dalam Whatsapp group. Tanya kami OK ke tidak dan sebagainya. Dia akan berkomunikasi dengan kami setiap hari.
“Selain itu, dia sangat suka berjenaka. A very happy go lucky person, boleh bergelak ketawa bersama-sama.
“Kalau nak tahu, kakak saya ini juga seorang yang suka makan. Dia suka mencuba semua jenis makanan. Selalunya dia akan cuba sedikit sahaja dan selebihnya dia akan kongsi dengan kami semua.
“Dia seorang yang artistik. Ada sebuah piano di rumah di mana dia akan main setiap hari. Yang bestnya, dia tidak pernah masuk sebarang kelas piano pun tetapi tahu cara-cara nak bermain piano. Dia belajar sendiri saja.”
Untuk info, Dr Fasiha merupakan isteri kepada Dr Hazheem. Mereka bergelar suami isteri pada 19 September 2021 dan mengikat tali pertunangan pada Januari 2021.
Kredit Foto: Instagram Fasiha Latiff & Fathia Latiff