Pagi bersejarah itu jantung penulis seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami.
Salam yang dihulur bonda Tun Dr Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan, Jun 2016… kira-kira enam tahun yang lalu.
Kesempatan mendekati Tun Dr Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis.
Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu kedua di Malaysia itu.
65 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda.
“Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 95 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara.
Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan.
“Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.” Tun Dr Siti Hasmah
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri.
“Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki.
Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural.”
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali.
“Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
MENULIS
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan.
Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya – buku istimewa My Name is Hasmah.
Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit.
Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita terawal di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya.
“Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh.
Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him.
“Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia.
Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu.
Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private,
hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak.
“Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya.
Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa.” Tun Dr Siti Hasmah
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola.
Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.
This website uses cookies.