Sekalung tahniah buat pasangan selebriti Khai dan Rosma atas kejayaan menubuhkan badan amal mereka semalam. Dalam diam, rupa-rupanya suami isteri yang lahir dari program realiti Akademi Fantasia ini aktif membuat kebajikan. Bukan dalam tempoh setahun dua, sebaliknya Khai dan Rosma sudah melakukan kerja murni ini sejak tujuh tahun lepas!
Lebih bermakna, berkat usaha gigih Khai dan Rosma selama hampir tujuh tahun dalam perniagaan, mereka berjaya membangunkan legasi KR Successful Sdn Bhd.
Rosma atau nama sebenarnya Rosmayati Sidik menerusi media sosial menzahirkan rasa syukur sempena Majlis Pelancaran Program Ihsan Kasih oleh Pertubuhan Kasih KhaiRosma.
“Syukur alhamdulillah. Selesai sudah Majlis Pelancaran Sumbangan Dana & Penyerahan Replika Kunci Kereta Proton Saga daripada Pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kepada Pertubuhan Kasih KhaiRosma sempena Program Ihsan Kasih KhaiRosma.”
Sementara itu, Khai dalam ucapannya turut teruja dapat mempergiat usaha membantu golongan kurang bernasib baik menerusi badan amal mereka.
“Saya dan isteri terlibat dengan aktiviti bantuan sejak 2015 lagi dan dikenali sebagai KR Charity dengan menjalankan secara persendirian saja, fokus yang sama bantuan untuk anak-anak kecil.
Setelah mendapat permintaan ramai dalam media sosial yang memerlukan bantuan seperti ini sama ada daripada keluarga sendiri mahupun kenalan, jadi tertubuhlah Pertubuhan Kasih KhaiRosma pada 24 Mei lepas.
Dengan ini membolehkan kami bergerak secara rasmi dengan menjalankan ‘Program Ihsan Kasih KhaiRosma’ bagi membantu anak-anak kecil menghidap penyakit kronik yang memerlukan sumbangan dan bantuan dari segi keperluan asas, perubatan, kos pengangkutan dan pembedahan.”
Dalam pada itu, MAIWP turut meluluskan peruntukan pembiayaan Program Ihsan Kasih KhaiRosma sebanyak RM300,000 termasuk kos perbelanjaan khas bulanan, kos perubatan, kos pembedahan dan pembelian kereta sedan dua buah bertujuan kegunaan ibu bapa mendapatakn rawatan anak di hospital.
“Booking Client Terpaksa Dibatalkan Sampai Hujung Tahun & Deposit Dipulangkan” SOFIAH Yakin Dengan Rezeki
Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia hampir 2 tahun ini membawa perubahan besar dalam kehidupan kita. Bukan saja rutin harian bahkan ekonomi antaranya sektor perniagaan. Tidak semua jenis perniagaan dibenarkan beroperasi antaranya perkhidmatan perunding acara.
Pengasas SA EVENTS, Sofiah Abdullah, 40, turut berhadapan dengan situasi tersebut apabila terpaksa menangguhkan segala aktiviti perniagaannya yang melibatkan pengacaraan dan rundingan acara. Sofiah merupakan kakak kepada bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-3, Akma Abdullah yang kini bergelar penyanyi, hos dan pelakon.
“Sememangnya pandemik COVID-19 memberi kesan terhadap perniagaan saya kerana banyak acara yang ditempah oleh klien hingga hujung tahun terpaksa dibatalkan. Ada sesetangah mereka yang dah bayar deposit booking juga saya terpaksa pulangkan duit mereka bila melihat situasi yang begitu kritikal ketika ini.
Kalau dulu perkhidmatan yang paling mendapat permintaan ialah untuk majlis pernikahan, perasmian syarikat korporat dan majlis-majlis sekolah. Setiap bulan sekurang-kurangnya ada 4 majlis yang menggunakan perkhidmatan daripada SA EVENTS, selalunya hujung minggu.
Saya menyediakan perkhidmatan seperti perunding acara di bawah syarikat sendiri iaitu
SA EVENTS yang mengendalikan perkhidmatan majlis seperti perkahwinan,
perasmian, sukan sekolah, harijadi dan yang melibatkan perkhidmatan Pengacaraan dan PA System (Sistem Siar Raya). Setelah 10 tahun berkecimpung dalam bidang ini secara sambilan saya membuat keputusan untuk lebih serius lagi. SA EVENTS kini memasuki tahun ke-2.
Sebelum melibatkan diri dalam bidang perniagaan, saya merupakan pekerja sektor awam bertugas sebagai juruhebah Radio Klasik Nasional (sekarang Radio Klasik) dari tahun 2005-2011 dan seterusnya berkhidmat sebagai Penerbit di Saluran TV2, RTM. Setelah berumahtangga pada 2008, dan mempunyai cahaya mata tahun 2011 saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja pada tahun 2014.
Bermula detik itu saya melangkah sendirian dengan menjadi pengacara majlis di majlis-majlis keraian dan menjadi konsultan kepada acara-acara korporat dan perseorangan. Pada Disember 2018 saya mengambil keputusan untuk set up business sendiri menubuhkan SA EVENTS dengan membeli peralatan PA System dan memberikan perkhidmatan pengurusan acara majlis kepada klien.
Antara sumbangan kecil saya sepanjang terlibat dalam bidang ini ialah berkolaborasi dengan Breast Cancer Foundation dan klinik swasta. Saya bertindak sebagai jurucakap dan pengacara ketika bulan kesedaran kanser payudara. Saya turut memberikan khidmat juruacara secara percuma sebagai sokongan kepada pesakit kanser (cancer survivor).
Saat paling down pernah saya lalui dalam perniagaan apabila mendapat rakan-rakan bisnes yang tidak jujur. Sebagai rakan kongsi saya ditipu dan dipermainkan dari segi kewangan. Wang habis begitu sahaja kerana terlalu percayakan mereka. Akhirnya saya mengambil keputusan berdiri sendiri tanpa rakan kongsi,” kongsi ibu anak 2 ini.
Bapa Sofiah seorang pesara kerajaan manakala ibunya seorang suri rumah. Semasa kecil, ibunya berniaga kuih di kawasan perumahan.
“Selalunya saya, kakak dan adik akan membantu ibu di dapur menyiapkan kuih-muih dan tempahan pelanggan. Kuih ibu yang paling popular ialah ketayap yang sering ditempah oleh pihak hotel kerana ia antara kuih kegemaran Tun Mahathir ketika itu,” ungkap anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
TETAP BERSYUKUR
Walau apa pun yang berlaku, saya tetap bersyukur kerana masih mempunyai pekerjaan sebagai juruhebah sambilan di Radio Salam FM 91.1 di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Jika keadaan kembali pulih dan kerajaan membenarkan sektor sosial, saya akan mulakan operasi perniagaan ini semula.
Pendorong utama semestinya suami yang sentiasa membantu menguruskan perniagaan kecil-kecilan kami. Ibu bapa dan keluarga juga antara yang sentiasa memberikan semangat sewaktu susah dan senang saya.
Saya sentiasa berpegang kepada kata-kata, jangan meminta-minta kepada orang, sentiasa mengharapkan pertolongan dan bertawakal kepada Allah SWT adalah jalan keluar dari segala kesulitan.
BIJAK BAHAGI MASA
Saya seorang yang mengutamakan hubungan kekeluargaan. Dalam apa jua keadaan keluarga adalah keutamaan. Saya akan pastikan keperluan suami dan anak-anak serta ibu bapa sudah disiapkan kemudian barulah boleh bekerja atau melayani klien. Apapun kasih kayang keluarga mendahului segalanya kemudian barulah datangnya rezeki.
Jika ingin berjaya dalam perniagaan mahupun kerjaya, setiap wanita perlu tahu apa kehendak dan keinginan untuk terus berjaya. Lakukan perkara yang kita suka, bukan kerana terpaksa dan dipaksa. Memang zaman sekarang wanita juga perlu mencari rezeki tapi jangan memaksa diri akibatnya sakit di kemudian hari. Lakukan setiap pekerjaan itu dengan ikhlas dan minat barulah akan datang kesungguhan itu walaupun kerja yang dilakukan amat sukar. Suami juga memainkan peranan penting untuk mendorong emosi isteri.
Impian saya ingin membuat kelas pengacaraan dan pengurusan acara buat anak-anak muda yang sukakan bidang ini. Saya juga berhasrat ingin menjalankan acara khusus melibatkan kaum Muslimah sahaja bagi mereka yang ingin menjaga aurat untuk sebarang majlis melibatkan wanita. Saya juga akan kongsikan ilmu dan pengalaman yang ada jika satu masa nanti ada pihak yang sudi bekerjasama.
Bersesuaian dengan keadaan sekarang bisnes ini amat membantu saya menjana ekonomi kerana pengurusan acara adalah sesuatu yang mendapat sambutan setiap masa. Ada sahaja acara-acara yang diadakan di sekeliling kita, rugi jika kita tidak jadikan ia bidang komersial kepada kaum wanita kerana kebanyakannya dimonopoli oleh kaum lelaki. Saya yakin, wanita juga mampu melaksanakannya jika ada kesungguhan.”
Kredit Foto: Instagram @sofia8181
Mendiang TANGMO NIDA Rupanya Baru Bergelar Graduan Ijazah Universiti, Pernah Sertai Miss Teen Thailand
Kisah kematian pelakon jelita Thailand, Tangmo Nida terus menjadi perbualan hangat di laman sosial sampai ke saat ini. Pemergiannya cukup memberi kesan bukan hanya di tanahair sendiri bahkan Malaysia.
Boleh dikatakan kes Tangmo Nida ini ssentiasa menjadi perbincangan hangat warganet yang gigih mencungkil kebenaran demi kebenaran untuk sebuah keadilan buat mendiang.
Biarpun ramai yang meratapi pemergiannya, apa yang dapat kita ambil ikhtibar dari kisah si cantik ini adalah keperibadian yang dimilikinya. Aktres berusia 37 tahun ini dianggap sebagai seorang yang sangat merendah diri, baik hati dan tidak sombong.
Menerusi perkongsian sebuah video di TikTok, memaparkan Tangmo Nida sedang berniaga di jalanan. Perkongsian tersebut telah meraih perhatian ramai.
Pemilik nama sebenar, Tanmo Patcharaveerapong ini memulakan debutnya dalam karier seni sejak di bangku sekolah menengah.Sepanjang kariernya, telah 3 kali Tangmo Nida menukar nama glamor iaitu Pataratida Patcharaveerapong, Nida Patcharaveerapong, dan yang terakhir Tangmo Nida.
Di awal kariernya juga, Tangmo Nida pernah menyertai pertandingan ratu cantik Miss Teen Thailand 2002. Sejak itu, Tangmo Nida mula meraih perhatian dan sering menjadi pilihan sebagai model dalam beberapa penggambaran produk serta majalah.
Semasa hayatnya, wajah Tangmo Nida sudah menghiasi lebih dari 50 muka hadapan majalah. Popularitinya terus memuncak apabila dia mula mendapat tawaran berlakon.
Antara filem dan drama popular yang pernah dibintangi oleh mendiang ialah Bangkok Love Story (2018), It’s Complicated (2018), The Extra (2016), Ghost of Mae Nak (2005), dan Nak Soo Maha Gaan (2013).
Sepanjang kariernya selama 20 tahun, Tangmo Nida juga telah membintangi lebih dari 38 buah drama Thailand, dan 4 filem.
Selain membintangi beberapa buah filem, Tangmo Nida turut bergelar duta untuk beberapa jenama fesyen terkenal. Kejelitaan Tangmo Nida juga menjadi perhatian beberapa jenama produk kecantikan dan skincare ternama.
Selain cantik dan berbakat besar, Tangmo Nida juga seorang yang berpelajaran tinggi.Pada Januari 2022 yang lalu, Tangmo Nida baru sahaja menerima Ijazah Sarjana Muda Fakulti Kepimpinan Sosial dari Universiti Rangsit, Thailand.
Maka tak hairanlah Tangmo Nida memiliki keperibadian yang sangat baik serta pandai membawa diri walau dirinya seorang figura terkenal. Ternyata, Tangmo Nida bijak mencari peluang dengan melanjutkan pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi demi masa depan yang lebih baik.
Mungkin baginya populariti dan segala pujian yang diterima saat berada di puncak tak akan bertahan lama. Hanya ilmu yang menjadi bekal demi mengejar matlamat serta impiannya yang telah ditekadkan.
Untuk rekod, Tangmo Nida pernah berkahwin dengan aktor terkenal Phakin Khamwilaisak namun jodoh mereka tidak panjang. Selain itu, Tangmo Nida juga pernah mengalami kemalangan pada tahun 2007 yang mengakibatkan kerosakan pada wajahnya.
Saat itu hidupnya menjadi kelam seketika dan terjadilah beberapa insiden yang hampir meragut nyawanya. Lantas, Tangmo Nida kemudiannya kembali bangkit menjadi seorang yang baru. Namun kini segalanya hanya tinggal kenangan.
Semoga kisah Tangmo Nida ini menjadi pengajaran buat kita. Hebat macam mana pun kita sentiasalah hidup merendah diri, banyakkan berbuat kebaikan dan carilah circle yang positif.
Kredit Foto: Instagram @melonp.official
Adat Pengantin Baru, Mira Filzah Bahagia ‘Berkurung’ Di Rumah
Meniti lembaran bulan pertama 2021, terasa masa berlalu pergi begitu saja. Hidup yang kita jalani masih dikongkong SOP dan dibebani PKP hingga menjarakkan prioriti-prioriti serta sejumlah resolusi. Namun ada hikmah dan kasih sayang yang Tuhan bentangkan, Februari ini pasti kembali terisi kebahagiaan seperti yang dikecapi oleh selebriti, Mira Filzah.
Rentetan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang kembali disambung hingga 18 Februari nanti, pelbagai sektor terjejas termasuklah industri seni. Bagi penggiat drama, penggambaran juga tertangguh akibat PKP.
“Sebenarnya Mira ada satu penggambaran drama yang patut bermula pada Januari. Tapi kini jadual terpaksa dirombak semula, sambil kami tertunggu-tunggu keputusan dari PKP yang baru. Harapnya dapatlah keizinan untuk mulakan shooting semula,” kata Mira tentang drama barunya yang dijangka muncul selepas Hari Raya.
Adat pengantin baru, tempoh ‘berkurung’ di rumah inilah momen-momen terbaik untuk lebih mengenali karakter satu sama lain. Nona sempat mencungkil aktiviti Mira Filzah dan suami, Wan Emir Astar sepanjang PKP… Apa agaknya kemahiran baru Mira sejak berumah tangga?
Jawab Mira, “I think I improve a lot in terms of my baking skill. Sebenarnya kemahiran memasak dan membuat kek ni berbeza, contohnya kalau masak lauk-pauk, bagi Mira itu lebih senang sebab hujung-hujung nanti kita masih boleh adjust rasanya, tambah garam atau gula ikut keperluan.
Tapi kalau baking, kalau dah siap kita rasa tak sedap, ia dah tak boleh diubah. Baking ni lebih pada ketepatan dari segi jumlah bahan dan sukatan yang digunakan, berapa gram atau berapa sudu begitu. Ada beberapa kali Mira baking semasa PKP ni, dan rasanya Mira makin faham, oh… kalau kek ni keras, lain kali kena buat macam ni atau macam tu.
Sekarang Mira suka mengemas. Dulu sebelum kahwin, jarang dapat mengemas sebab jadual kerja yang terlalu padat. Berbeza sekarang, Mira belajar untuk lebih organize. Iyalah, kita pun bukan duduk seorang di rumah. Ada dua orang. Banyak benda kena jaga, kena susun. Jadi Mira banyak improve dari segi mengatur barang-barang kami,” cerita Mira Filzah yang bakal menginjak usia 28 tahun.
Umum sedia maklum bahawa Mira Filzah seorang yang amat berhati-hati di media sosial. Baginya, posting berkaitan suami dan rumah tangga bukanlah sesuatu yang boleh ‘suka-suka’ ditayangkan.
Pun begitu, keputusan pasangan yang baru lima bulan berumah tangga itu untuk berkongsi aktiviti suami isteri di YouTube rasmi #EmirAmirah mendapat sambutan hebat, malah turut mendapat pengiktirafan YouTube Silver Play Button.
Memang best tengok aktiviti suami isteri ini, paling kelakar bila Emir dan Mira buat Jinx Challenge…
Tapi lagi best bila Mira kena jawab ‘random questions’ daripada Majalah Nona, spontan sungguh jawapan yang diberikan!
“Sebenarnya waktu PKP ni, Mira suka memasak mungkin sebab seharian di rumah. Sebelum ni kalau terikat dengan penggambaran, selalunya Mira takkan masak sebab penat. Jadi sekaranglah masanya untuk memasak selalu supaya skil tu tak dilupakan.
Memasak ni kan macam latihan. Practice makes perfect. Kalau kita rajin, insyaAllah pasti Mira akan lebih mahir pada masa depan,” akui Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman.
Tambah alumni Jurusan Perniagaan Antarabangsa dari UiTM itu, kini dia jarang keluar rumah kerana risaukan keadaan semasa. Peningkatan kes COVID-19 yang mencecah angka 5,000 terasa sangat membimbangkan.
“Mira hanya keluar bila perlu. Jadi di rumah selain mengemas dan memasak, Mira banyak masuk kelas online. Kalau boleh Mira akan join online classes sebanyak mungkin supaya masa terisi dengan benda berfaedah.
Ini selari dengan azam Mira iaitu nak lebih banyak belajar. Mira rasa nak improve dalam pelbagai aspek pada tahun 2021. Baru-baru ni Mira masuk kelas perniagaan online dan kelas agama online. Mira nak gain more knowledge, learn new things dan manfaatkan pelbagai ilmu agar menjadi orang yang lebih baik daripada sekarang.”
Sambil mengusik, sempat penulis tanyakan soalan cepumas… Bila Mira nak dapat baby? Jawab Mira Filzah sambil tertawa kecil, “Soal zuriat atau timang baby ni Mira serahkan segalanya pada Allah SWT. Mira dan Emir tidaklah merancang, sebaliknya kami senang untuk just go with the flow,” ujar Mira yang percaya soal rezeki di tangan-Nya.
TERSENTUH HATI
Barangkali banyak pihak sudah merasa resah dengan pandemik COVID-19 ditambah pula satu persatu kisah menyayat hati terpampang di dada media. Mira Filzah juga banyak bermuhasabah dengan ujian yang menimpa negara.
“Terlalu banyak kisah viral yang saya baca di media sosial. Banyak kisah yang menyentuh hati khasnya yang berkaitan keluarga kekurangan duit, tak cukup makan dan hidup susah sewaktu PKP.
Beberapa hari lepas Mira tengok video yang tersebar di Twitter melalui aplikasi TikTok, tentang seorang ibu yang terpaksa mencari makanan di tong sampah dan di sisinya ada dua orang anak kecil. Kesian sangat dan benda-benda macam ni sangat menyentuh hati Mira sebagai manusia.
Mira percaya tak semua orang bernasib baik, lebih-lebih lagi semasa dunia dilanda wabak COVID-19. Ramai yang hidup sengsara. Tambah lagi ada sebahagian negeri yang dilanda banjir dan ramai yang meninggal dunia pada waktu yang sama.
Sedih sangat, rasa dalam hati macam nak bantu semua orang tapi apakan daya, Mira cuma boleh membantu apa yang termampu. Selebihnya hanya doa, semoga Allah mengangkat doa kita dan meringankan beban mereka,” kata Mira perlahan.
Sebelum mengakhiri perbualan, Mira yang turut merupakan penerima Nona Influencer Award sempena Nona Superwoman Award 2020 lalu sempat mengungkapkan penghargaan terhadap jasa petugas barisan hadapan negara.
“Mira nak ucapkan terima kasih yang tak terhingga untuk semua frontliners. Sebagai anggota masyarakat, kita mungkin tak tahu nak balas apa untuk menghargai jasa dan usaha mereka selama ni, bekerja siang malam untuk menjaga negara kita.
Terima kasih banyak-banyak, semoga Allah merahmati hidup para frontliners, angkat darjat mereka, panjangkan umur, beri kesihatan dan kekuatan hingga ke akhir hayat mereka!” akhiri Mira Filzah sambil menguntum senyuman.
Solekan: Bee Ramza
Busana: Kree & The Melium Group
Hijab: Galeri Ariani