Sekalung tahniah buat pasangan selebriti Khai dan Rosma atas kejayaan menubuhkan badan amal mereka semalam. Dalam diam, rupa-rupanya suami isteri yang lahir dari program realiti Akademi Fantasia ini aktif membuat kebajikan. Bukan dalam tempoh setahun dua, sebaliknya Khai dan Rosma sudah melakukan kerja murni ini sejak tujuh tahun lepas!
Lebih bermakna, berkat usaha gigih Khai dan Rosma selama hampir tujuh tahun dalam perniagaan, mereka berjaya membangunkan legasi KR Successful Sdn Bhd.
Rosma atau nama sebenarnya Rosmayati Sidik menerusi media sosial menzahirkan rasa syukur sempena Majlis Pelancaran Program Ihsan Kasih oleh Pertubuhan Kasih KhaiRosma.
“Syukur alhamdulillah. Selesai sudah Majlis Pelancaran Sumbangan Dana & Penyerahan Replika Kunci Kereta Proton Saga daripada Pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kepada Pertubuhan Kasih KhaiRosma sempena Program Ihsan Kasih KhaiRosma.”
Sementara itu, Khai dalam ucapannya turut teruja dapat mempergiat usaha membantu golongan kurang bernasib baik menerusi badan amal mereka.
“Saya dan isteri terlibat dengan aktiviti bantuan sejak 2015 lagi dan dikenali sebagai KR Charity dengan menjalankan secara persendirian saja, fokus yang sama bantuan untuk anak-anak kecil.
Setelah mendapat permintaan ramai dalam media sosial yang memerlukan bantuan seperti ini sama ada daripada keluarga sendiri mahupun kenalan, jadi tertubuhlah Pertubuhan Kasih KhaiRosma pada 24 Mei lepas.
Dengan ini membolehkan kami bergerak secara rasmi dengan menjalankan ‘Program Ihsan Kasih KhaiRosma’ bagi membantu anak-anak kecil menghidap penyakit kronik yang memerlukan sumbangan dan bantuan dari segi keperluan asas, perubatan, kos pengangkutan dan pembedahan.”
Dalam pada itu, MAIWP turut meluluskan peruntukan pembiayaan Program Ihsan Kasih KhaiRosma sebanyak RM300,000 termasuk kos perbelanjaan khas bulanan, kos perubatan, kos pembedahan dan pembelian kereta sedan dua buah bertujuan kegunaan ibu bapa mendapatakn rawatan anak di hospital.
This website uses cookies.