Diam-diam ubi berisi! Selama ini ramai yang mengenali Vie Shantie Khan sebagai usahawan muslimah menerusi jenama miliknya, VHijrah. Namun di sebalik kejayaannya mengembangkan empayar busana muslimah, mungkin ramai yang tidak mengetahui Vie Shantie juga seorang usahawan arang batu berjaya!
Lebih mengagumkan, dia sudah mengusahakan bisnes tersebut kira-kira 10 tahun yang lalu, ketika dia mengandungkan anak ketiga, Vie Zaalia yang kini sudah pun mencecah usia 9 tahun.
Terbaharu, ibu kepada empat cahaya mata ini melakar pencapaian luar biasa apabila berjaya mendapatkan kontrak perdagangan arang batu di antara Malaysia, Indonesia, Singapura dan China selama 15 tahun! Bukan calang-calang tu.
Kejayaan tersebut dikongsikan Vie Shantie di platform media sosialnya baru-baru ini. Tidak dinafikan, ramai golongan wanita terinspirasi dengan kemampuan usahawan ini dalam bidang perdagangan arang. Iyalah, bidang tersebut kebiasaannya dimonopoli kaum lelaki.
“History in the making. Praise to Allah SWT. 15 years contract in the trading of coal between Malaysia, Indonesia, Singapore and China is signed and sealed. Allahuakbar!”
Ternyata, segala kesenangan yang diraih Vie Shantie hari ini tidak datang bergolek. Dalam salah satu postingnya, dia pernah mendedahkan realiti ketika menceburi bidang berkenaan suatu ketika dulu.
“Sudah 3 hari berturut-turut mendengar ‘briefing’ Fundamental Coal Supply Chain dari TNBF for their coal cargo from pit up to the vessel. Tiba-tiba mata ni berhabuk pula teringat setiap pengorbanan yang tak mengira waktu untuk teruskan business ni di negara orang.
Memang nampak senang tapi hanya Allah saja yang tahu setiap keringat dan titik peluh menjalani setiap waktu bermusafir di tempat orang.
Semoga Allah SWT terus panjangkan usia, sihatkan tubuh badan ini, kuatkan semangat dan semoga Allah memberikan keberkahan dari rezeki ini demi membantu banyak orang yang memerlukan.
Ternyata di kehidupan ini, jika kita bantu permudahkan urusan orang, Allah SWT membalasnya dengan seribu kebaikan yang kita sendiri tidak terfikir dek akal bagaimana semua ini boleh menjadi satu kenyataan. SubhanAllah terima kasih ya Allah.”
Nona sememangnya kagum dengan usaha Vie Shantie bukan hanya dalam dunia fesyen muslimah bahkan bidang perusahaan seumpama ini.
Vie Shantie merupakan isteri kepada ahli politik, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Vie Raissa. Terdahulu, Vie Shantie pernah berkahwin dengan aktor, Dato’ Sri Eizlan Yusof dan mempunyai tiga anak iaitu Vie Zaara, Zareef Yusof dan Vie Zaalia.
This website uses cookies.