Ada satu perasaan senang kala melihat papan tanda Halwa by Ana Najia di Taiping. Barangkali aroma kek dibakar dari dapurnya, atau mungkin kerana susunan kek-kek cantik dari chiller, atau mungkin jua kerana senyuman pemiliknya, Ana Najia Sharin yang manis.
Pada usia semuda 26 tahun, Ana pantas membina legasi perniagaan berasaskan bakeri. Enggan terus mensia-siakan bakat, masa dan peluang di depan mata, wanita pintar yang memegang Ijazah Sarjana Muda Sastera Bahasa Inggeris dari Universiti Malaya ini tidak berlengah mengusahakan bisnes, Halwa by Ana Najia.
Mesra membahasakan diri sebagai Ana, wanita yang sudah berkahwin ini sopan menjawab soalan dan berkongsi pengalaman jatuh bangunnya kepada Majalah Nona.
“Bagi Ana, rezeki yang berkat ialah rezeki yang kita peroleh melalui reda Allah, suami dan keluarga. Tak kisah pekerjaan apa pun, selagi dapat memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang sekeliling.” Ana Najia
Kerjaya Ana sebelum membuka baking studio masih seputar minatnya terhadap dunia bisnes.
“Ana memang sudah minat berniaga sejak berumur 18 tahun. Pernah jual tudung, aksesori wanita, kosmetik, baju dan jadi part-time makeup artist. Baking pun ada secara sampingan sejak sekolah.
Selepas tamat belajar, Ana hampir jadi pembaca berita di sebuah stesen TV yang terkenal. Daripada beribu orang yang memohon, Ana merupakan Top 3 yang terpilih untuk menjadi calon pembaca berita.
Banyak sangat yang Ana belajar melalui pengalaman training sebagai pembaca berita. Tapi sayangnya rezeki tidak tertulis di situ.
Ana rasa down sangat sampai sanggup berkurung selama sebulan. Mungkin sebab ia merupakan satu kerjaya yang sangat diidamkan.
Tapi Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk Ana.” Ana Najia
Selain itu, antara pengalaman menarik dalam hidup wanita ini adalah ketika menjadi peserta program pertukaran pelajar ke USA pada tahun 2013.
“Sebenarnya Ana seorang yang pendiam. Jadi bila ke Chariho Regional High School di Rhode Island, Ana perlu belajar untuk bawa diri dan biasakan diri dengan budaya sana.
Sebulan pertama tu Ana habiskan masa seorang diri di tandas sebab nak elak pergi ke kafe yang ramai orang. Tapi alhamdulillah, ada seorang rakan yang perasan Ana tak ada masa waktu rehat jadi dia ajak Ana untuk duduk sekali dengan dia dan rakan-rakan yang lain.
Dari situ, Ana belajar untuk beranikan diri dan hentam je cakap walaupun tak yakin dengan bahasa Inggeris Ana semasa tu. Melalui program ni, Ana dapat tingkatkan keyakinan Ana dan menjadi seseorang yang lebih berani!”
CABARAN
Permulaan bisnes kek Ana tidaklah semudah yang disangkakan. Banyak cabaran yang menguji diri, lebih-lebih lagi sewaktu negara tiba-tiba dilanda badai pandemik COVID-19.
“Selepas Ana down selama sebulan tu, Ana fikir sampai bila nak bersedih. Dari situ, Ana mula balik bisnes baking secara kecil-kecilan.
Ana fokus dengan pembuatan kek premium dan belajar untuk meningkatkan kemahiran sebagai seorang baker.
Sangat mencabar untuk menjual kek premium di Taiping kerana Ana tidak boleh jual dengan harga yang murah.
Pada awalnya, Ana perlu biasakan diri untuk menerima kritikan yang mengatakan kek Ana mahal berbanding kek lain yang ada di Taiping.
Walau bagaimanapun, permintaan untuk kek Ana semasa PKP 1.0 semakin meningkat dan membuatkan Ana sudah tidak boleh terus membakar kek di rumah mak.
Jadi Ana beranikan diri untuk buka sebuah baking studio dengan sedikit modal hasil jualan sepanjang PKP tersebut. Sangat mencabar untuk mengumpul modal kerana peralatan dan kelengkapan baking adalah sangat mahal.
Ana pula memang tidak boleh mengharapkan bantuan kewangan daripada keluarga atau suami kerana mereka sendiri terkesan akibat pandemik. Namun, sikit demi sikit, akhirnya baking studio kami sudah hampir lengkap!”
View this post on Instagram
Tidak menafikan turut terjejas dengan situasi ekonomi sekarang, Ana berkongsi struggle yang dihadapi sepanjang menguruskan bisnes Halwa by Ana Najia.
“Akibat pandemik yang berlarutan, Ana perasan kuasa beli pengguna semakin berkurangan. Sudah tidak seperti dahulu, sekarang pelanggan lebih berkira-kira apabila ingin membeli.
Ana faham, akibat pandemik ini ramai yang terkesan malah ada yang terus hilang punca pendapatan. Tambahan lagi, jualan untuk custom cake seperti kek kahwin dan dessert table memang sudah tidak ada memandangkan majlis pun tidak boleh dilangsungkan.
Pelanggan dan agent kami dari luar Taiping pun tidak dapat rentas daerah untuk datang ke baking studio kami. Memang sangat mencabar untuk pastikan sales kami terus berada di tahap selesa. Jadi, Ana perlu sentiasa fikirkan cara untuk tarik pelanggan agar terus membeli daripada kami.” Ana Najia
KEKUATAN MAMA
Kekuatan Ana hari ini rupanya terinspirasi daripada ibu tersayang, seorang wanita besi yang menjalankan perniagaan katering.
“Idola bisnes sudah semestinya ibu Ana. Beliau berjaya membina empayar dalam bidang katering setelah bercerai dengan ayah.
Dalam kesusahan dan cabaran beliau sebagai seorang ibu tunggal kepada tiga orang anak perempuan, kami tidak pernah merasa kekurangan selama kami membesar.
Malah, beliau berjaya mendidik kami tiga beradik untuk sentiasa berdikari dan rajin berusaha untuk berjaya.
Walaupun perniagaan katering beliau sangat terkesan, beliau tidak pernah sekalipun menyatakan bahawa beliau sedang berada dalam kesusahan kerana tidak mahu kami risau.
Mama merupakan sebab utama Ana mahu berjaya dalam bidang perniagaan ini supaya Ana dapat membalas jasa beliau yang telah membesarkan Ana dan adik-adik dengan penuh kasih sayang.”
Meskipun baru dua tahun bergiat secara serius dalam bisnes, Ana tidak mahu berniaga syok sendiri dan menguruskan kerjaya ini dengan sistem pengurusan yang tidak teratur. Kerana itulah Ana mengambil peluang menyertai program realiti TV, Pencarian Nona Superwoman sebagai platformnya.
“Ana sangat berterima kasih kepada pihak Majalah Nona, Astro dan Usanita kerana menganjurkan program ini. Sesungguhnya pencarian ini merupakan platform yang sangat besar untuk peniaga seperti Ana.
Melalui Pencarian Nona Superwoman ini, Ana yakin Ana dapat menambah ilmu yang sangat banyak and groom myself to become a great Superwoman!”
Saksikan Pencarian Nona Superwoman 2021, di ASTRO PRIMA bermula 22 September, setiap Rabu jam 9.00 malam. Rancangan ini dibawakan oleh Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan Majalah Nona, diperkasakan oleh Usanita.