Kisahnya cukup menyentuh hati dan memberi pengajaran buat seluruh wanita. Ia membuktikan bahawa wanita bukanlah makhluk Tuhan yang selamanya lemah.
Tidak mahu terus meratapi kesedihan serta nasib malang yang menimpa dirinya, wanita ini bangkit semula bersama semangat yang cukup luar biasa biarpun kini beliau terpaksa berkerusi roda seumur hidupnya.
Dialah wanita besi Pakistan, Muniba Mazari yang merupakan seorang artis, model, aktivis, hos televisyen serta motivator. Muniba dilahirkan pada 3 Mac 1987 dan merupakan graduan dalam jurusan Seni Halus.
Muniba dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat konservatif dan berkahwin pada usia muda iaitu ketika 18 tahun atas kehendak bapanya. Demi melihat bapanya gembira Muniba terpaksa akur. Namun, Muniba tidak pernah merasa bahagia sepanjang perkahwinannya itu.
TRAGIK
Selepas dua tahun perkahwinan, bermulalah episod duka dalam kehidupannya. Muniba terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang sangat tragik. Ketika kejadian suaminya mengantuk sehingga menyebabkan kereta yang mereka naiki terjatuh ke dalam parit.
Semasa dalam keadaan cemas itu, suaminya sempat melompat keluar dan meninggalkannya seorang diri di dalam kereta. Muniba benar-benar terkedu dan gagal menyelamatkan diri. Apa yang terlintas di fikirannya saat itu hanyalah kematian! Muniba mengalami kecederaan yang amat serius melibatkan tulang belakang.
Kesan kecederaan itu Muniba bukan sahaja disahkan tidak dapat berjalan seperti sediakala bahkan peluang untuk memiliki zuriat juga musnah. Luluh hatinya tatkala mendengar kenyataan pahit itu daripada doktor yang merawatnya.
Kemalangan itu mengubah kehidupannya secara total. Secara perlahan-lahan, Muniba berjaya mengatasi ketakutannya yang terbesar iaitu perceraian. Muniba kini memegang status sebagai seorang ibu tunggal serta memiliki seorang anak angkat lelaki bernama Neil berusia 6 tahun. Muniba meneruskan minatnya dalam seni lukis kerana itulah terapi jiwa buat dirinya untuk meneruskan hidup.
BANGKIT
Berkat sokongan doktor serta insan-insan yang prihatin, Muniba bangkit dengan semangat baharu lantas menjadi inspirasi buat seluruh wanita. Muniba berjaya memberi kesedaran sekaligus membuka mata masyarakat supaya menghargai diri sendiri.
Dalam setiap sesi motivasinya, Muniba yang juga merupakan wakil nasional Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk wanita Pakistan, beliau sering menyatakan di sebalik ketakutan dan kebimbangan dalam kehidupan adakalanya manusia terlupa akan keistimewaan hidup yang Tuhan kurniakan.
“Kehidupan ini akan sentiasa ada dugaannya di mana-mana, pada bila-bila masa namun apa yang pasti semuanya berbalik kepada diri kita sendiri. Bagaimana untuk menghadapi, mengatasinya bahkan bagaimana untuk mengubah sesuatu kekurangan kepada kelebihan.
Kita juga tidak boleh menghakimi penderitaan orang lain kerana kekuatan itu pasti akan kembali kepada diri kita,” ungkap Muniba.
Menurutnya, apa yang boleh kita lakukan ialah membawa cerita inspirasi buat masyarakat meskipun kesukaran melanda sehinggalah ‘kesenangan’ itu tiba. Apa yang penting bagi Muniba ialah konsisten melakukan yang terbaik atas apa yang dimiliki. Hanya diri sendiri yang mampu mengubah kehidupan seseorang. AMY MOHD
Sumber & Foto: Instagram Muniba Mazari