Didik Anak Berpuasa? Umur Berapa Tahun Perlu Dimulakan? Persoalan Yang Sering Berlegar Di Fikiran Ibubapa

“Tahun ni adik dah kena mula puasa tau. Tak dapat puasa penuh satu hari, setengah hari pun boleh. Nanti bila adik dah besar sikit kena puasa penuh ya.”

Bila tiba bulan Ramadan, bagi ibubapa yang mempunyai anak kecil dalam lingkungan 5 hingga 8 tahun pasti akan mengungkapkan dialog di atas untuk menggalakkan anak-anak untuk belajar mengerjakan rukun Islam ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadan.

Sebenarnya pada umur berapakah kanak-kanak perlu diberi pendedahan tentang ibadat puasa? Laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui artikel Irsyad Fatwa Ramadan merungkai perkara tersebut.

Para ulama bersepakat bahawa kanak-kanak yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa, berdasarkan hadith yang  menyebut bahawa tidak terdapatnya taklif dan tanggungjawab ke atas seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh. Saidina Ali bin Abi Tolib meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثَةٍ عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ وَعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنِ الْمَعْتُوهِ حَتَّى يَبْرَأَ

Maksudnya: Terdapat tiga golongan yang amalan mereka tidak dicatat: seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh, orang yang tidur sehinggalah dia terjaga dan seorang yang hilang akalnya sehinggalah dia kembali waras.

Sunan Abi Dawud (4402)

Namun, jika seorang kanak-kanak yang telah mumayyiz itu berpuasa, maka hukumnya adalah sah. Kata Imam al-Qalyubi:

(وَالْعَقْلُ) أَيْ التَّمْيِيزُ فَيَصِحُّ صَوْمُ الْمُمَيِّزِ

Maksudnya: (Dan salah satu syarat sah puasa itu) ialah beraqal, dalam erti kata tamyiz, iaitu mampu membezakan antara baik dan buruk; maka sah puasa seorang kanak-kanak yang sudah mumayyiz. (Rujuk Hasyiyata al-Qalyubi wa ‘Umairah

2/76)

Timbul pula persoalan, pada umur berapakah seorang kanak-kanak itu perlu diajar dan dididik untuk berpuasa? Menurut Imam Zainuddin Ahmad al-Malibari dan Syeikh Dr. Muhammad Hassan Hito, ibu bapa atau wali perlu menyuruh kanak-kanak untuk berpuasa seawall umur tujuh tahun, dan mendidiknya dengan ‘pukulan kecil’ yang tidak menyakitkan ketika dia berumur sepuluh tahun jika dia engggan. Hal ini diqiyaskan dengan hadith suruhan mendidik anak-anak untuk solat:

مُرُوا الصَّبِيَّ بِالصَّلاَةِ إِذَا بَلَغَ سَبْعَ سِنِينَ وَإِذَا بَلَغَ عَشْرَ سِنِينَ فَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا

Maksudnya: Ajarilah kanak-kanak untuk solat setelah dia berusia tujuh tahun, dan apabila dia berumur sepuluh tahun, pukullah dia (dengan pukulan yang tidak menyakitkan dan melukakan dengan tujuan untuk mendidik).

Sunan Abi Dawud (494) (Rujuk Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrah al-‘Ain bi Muhimmat al-Din, hlm. 38 dan Fiqh al-Siyam hlm. 23)

Namun, ibu bapa atau wali hendaklah memastikan puasa itu tidak menyebabkan kemudaratan kepada kanak-kanak tersebut, dan menilai sejauh mana kemampuan mereka untuk meneruskan puasa.

Tuntasnya  bahawa ibu bapa atau wali perlu mengajar dan menyuruh anak-anak supaya berpuasa seawal umur tujuh tahun, dan mendidik dengan pukulan yang ringan ketika dia berumur sepuluh tahun jika dia enggan. Hukum ini diqiyaskan dengan hadith mendidik anak-anak untuk solat yang dinyatakan di atas.

Wallahu a’lam.

Artikel disediakan oleh Unit Buhuth,Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan https://www.muftiwp.gov.my/ Foto: Pixabay.com

 

Share
Published by
Rosmah Idayu