Digelar ‘HUAWEI Princess’, Anak Bangsawan China Ini Cantik, Lulusan Harvard & Berbakat!

Selaku pewaris empayar besar dan terkenal dunia, nama Annabel Yao tidak pernah sepi daripada perhatian media di China dan antarabangsa. Mungkin ramai yang tidak mengenali wanita cantik bernama Siwei atau Annabel Yao ini. Tapi kalau sebut jenama telefon pintar, Huawei pasti ramai yang sudah mengenali produk teknologi berasal dari negara tembok besar tersebut.

Apa kaitan Annabel Yao dan Huawei? Sebenarnya Annabel Yao merupakan puteri bongsu daripada tiga beradik yang juga pewaris empayar Huawei milik usahawan Ren Zhengfei!

Annabel yang baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-24 pada 14 Januari lalu dilahirkan di Hong Kong dan anak kepada Yao Ling iaitu isteri kedua kepada jurutera, Ren Zhengfei.

Pengasas Huawei yang terlibat secara langsung dalam pembangunan ekonomi serta politik di China itu dikurniakan dua anak perempuan dan seorang anak lelaki iaitu Meng Wangzhou dan Ren Ping, hasil daripada dua perkahwinannya.

Meskipun perniagaan telefon pintar Huawei kian dikenali dan digunakan di serata dunia namun selaku pengasas, Ren Zhengfei di negara kelahirannya disifatkan seorang yang low profile. Dia jarang muncul di majlis-majlis rasmi dan sukar ditemubual para media.

Mendekati peribadi dan gaya hidup anak perempuan bongsunya, Annabel merupakan pelajar jurusan Sains Komputer di Harvard University dan telah berjaya menamatkan pengajian pada Jun 2020.

Bercita-cita mahu mempunyai kerjaya dalam bidang perniagaan dan ekonomi, Annabel bukan hanya cemerlang dalam akademik bahkan aktif dalam seni terutamanya sebagai penari balet profesional di Harvard Ballet Company.

Menurut laman web Harvard Ballet Company, gadis cantik ini mula berjinak dalam tarian balet ketika usianya baru 15 tahun di Shanghai. Dari situ, Annabel kemudian meneruskan minatnya dan mendalami seni tarian indah tersebut di sebuah akademi berprestij di United Kingdom.

Ketika sambutan ulang tahun kelahiran ke-23 tahun lepas, Annabel membuat kejutan apabila menerbitkan single pertamanya ‘Backfire’. Video muzik Annabel itu dikatakan berjaya menarik berjuta tontonan dan menjadi topik hangat di platform media sosial China iaitu Weibo dan Douyin.

Rata-rata mereka menyokong bakat terpendam puteri Huawei itu namun tidak kurang juga yang mengkritik nyanyian serta tarian Annabel dalam klip video berkenaan.

Enggan mempedulikan komen negatif warga maya, Annabel meneruskan cita-cita untuk menjadi penyanyi pop terkenal. Malah, rentetan daripada single pertama itu juga dia dilantik sebagai duta bagi syarikat pengeluar kereta China, Great Wall Motors untuk kenderaan jenis SUV. Luar biasa aura Annabel di China!

Empat tahun lalu, Annabel menarik perhatian golongan elit di China dan Eropah apabila terpilih dalam penganjuran majlis tari-menari Le Bal des Debuntantes di Paris pada November 2018.

Ia bukan calang-calang acara kerana hanya gadis sosialit berusia di antara 16 hingga 21 tahun yang memiliki rupa paras cantik, berpendidikan dan lahir dari keluarga ternama khususnya dalam bidang perniagaan, hiburan mahupun politik akan dipilih sebagai peserta majlis tari-menari tersebut.

Daripada 19 gadis cantik yang layak, Annabel ialah salah seorang daripada mereka yang mewakili negara China. Selebihnya berasal dari India, Amerika, Jerman, Hong Kong, Belgium, Perancis, Portugal dan Filipina. Kesemua mereka dilaporkan bertemu dengan jejaka dari keluarga elit lain di serata dunia untuk saling mengenali dan bersosial dalam kelas bangsawan.

Credit : South China Morning Post
Credit : South China Morning Post

Kata Annabel, “Bagi individu yang memiliki segala-galanya lebih daripada orang lain, adalah sangat penting bagi anda untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan.

Seboleh-bolehnya saya mahu melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan dan kebajikan serta lebih selesa menganggap diri saya seperti gadis biasa lain. Yang perlu bekerja keras untuk berjaya dan berusaha menjadi individu yang lebih baik setiap hari.”

Menerusi perkongsiannya di media sosial, Annabel dilihat gemar menghabiskan masa bercuti ke luar negara termasuk ke New York, Paris dan beberapa tempat percutian menarik di dunia. Dia juga dilihat sering memakai pakaian dan aksesori berjenama mewah seperti Chanel, Dior, Louis Vuitton dan sebagainya.

 

 

Sumber: South China Morning Post

Share
Published by
Suzi