Tagline ‘1 Minit Dah Lentik?’ cukup melekat di fikiran, apatah lagi ia kerap terpampang di dada-dada billboard utama di Malaysia. Iklan ikonik 1Minute Miracle itu juga mencetus fenomena, sekaligus mengangkat kehebatan produk maskara tempatan yang diasaskan oleh Ain Fatin Liyana, setanding dengan produk jenama terbaik lain di rantau ini.
Tidak lokek berkongsi cabaran dan pengalaman bisnes. Kisah hebat 1Minute Mascara hingga digelar sebagai ‘maskara paling best di dunia’ membuktikan kemampuan Ain dalam dunia perniagaan.
Bukan sekadar publisiti, tapi setiap produk keluarannya diyakini pembeli kerana jaminan kualiti. Maklum sahaja, Ain cukup teliti soal pembuatan produk. Kilang mereka harus bertaraf GMP. Harus punya sijil ISO dan diperakui halal.
Rahsia pemasaran itu menjadi mukadimah bicara superwoman yang menerima pengiktirafan Nona Best Cosmetic Brand Award ini.
“Asalnya produk kami bermula dengan warna eksklusif iaitu hitam putih. Tapi selepas meninjau pasaran, kami dapati penampilan produk sebegitu kurang sesuai dan tidak menarik perhatian.
Jadi kami pun ubah, lancarkan packaging yang comel pada harga berpatutan dan mampu milik. Teknik ini berjaya kerana secara emosinya produk yang berwarna-warni menepati sasaran golongan B40 dan usia pelanggan kami iaitu 13 ke 45 tahun.” Ain Fatin Liyana
Berusia 32 tahun, wanita yang mempunyai kelulusan diploma dalam bidang seni bina ini rupa-rupanya memang minat berniaga.
“Sebelum ini kami suami isteri bekerja makan gaji. Suami sebagai jurutera JKR, sementara saya pula pembantu arkitek di sebuah firma swasta di Pulau Pinang.
Kami tekad menubuhkan perniagaan sendiri pada tahun 2013 kerana punya visi dan misi untuk membantu keluarga. Sambil itu dapat memberi manfaat kepada orang lain.”
Memulakan perniagaan pertama di bawah syarikat Aiefy Global Beauty, Ain dan suami, Nor Afifullah Bin Md Isa kemudiannya menukar nama bisnes mereka selepas foundation yang dikeluarkan meledak di pasaran.
“Produk pertama kami adalah foundation yang dicipta pada tahun 2014. Tapi disebabkan kami tidak mendapat formulasi yang tepat, proses R&D berlarutan sehingga tahun 2015.
Akhirnya lahirlah foundation 1Minute Miracle yang seterusnya memberi ilham untuk kami tubuhkan syarikat bernama 1Minute Miracle Sdn Bhd. Pada tahun 2015, kami cuma keluarkan foundation sebanyak 5,000 unit.
Tiba-tiba sambutan melonjak hingga menjadi 50,000 unit dan sekarang produk foundation yang sama masih kekal di pasaran dengan jualan 150,000 unit sebulan.
Ini diikuti dengan pelancaran 1MM Xtreme Mascara pada tahun 2017. Kehebatannya kekal sampai sekarang malah ia telah terjual sebanyak 1.2 juta sejak dilancarkan.” Ain Fatin Liyana
Tak percaya rasanya bila pengasas solekan viral ini bercerita, beliau sebenarnya belajar mekap selepas menjadi usahawan. Seperti wanita lain, Ain juga mahukan sesuatu yang cantik tapi ringkas dan cepat.
“Ramai orang merungut kalau terpaksa habiskan masa berjam-jam di depan cermin. Saya tak sanggup pakai bedak berlapis-lapis… Nak oles primer, calit concealer, kemudian bedak asas dan bedak tabur. Banyak sangat!
Maka dari situlah saya terfikir nak mencipta all-in-one foundation. Dalam tu semua telah diringkaskan. Senang, supaya orang yang tak pandai mekap macam saya pun boleh pakai.”
Ditanya kenapa memilih bidang kosmetik, tenang Ain menjawab kerana faktor strateginya yang lebih mudah dijual serta memberi instant result. Ia amat berbeza dengan usahawan daripada bidang penjagaan kulit atau suplemen.
Usahawan bidang itu harus berpengetahuan luas dalam bidang kesihatan kerana produk mereka melibatkan dalaman manusia.
MESRA PENGGUNA
Selain tampil sebagai wajah utama dan digelar ‘Makcik Pondesyen’ untuk jenama 1Minute Miracle, Ain juga turut menggunakan pengaruh influencer mekap terkenal seperti Muabellaz.
Pastinya ramai yang pernah melihat iklan-iklan 1Minute Miracle, khususnya 20 papan tanda utama yang berada di sepanjang lebuh raya serta bandar-bandar besar seluruh Malaysia.
Selain maskara, 1Minute Miracle turut memasarkan beberapa produk mekap lain yang hangat di pasaran. Antaranya 1MM Foundation, Eyebrow Have Have, Kitty Blush, Harum Maneh Sponge, StayGlow Face Spray, Xtreme Mascara
dan sebagainya.Seramai lebih 2,000 ejen turut dilantik bagi membantu mengembangkan lagi empayar syarikat.
“Jujur kami banyak belajar daripada kesilapan lalu. Saya yakin bahawa sehebat apapun sesuatu jenama itu, aktiviti promosi dan marketing tak boleh berhenti.
Kesilapan yang buat kami jatuh dulu pun kerana kami fikir dah cukup buat marketing. Tapi tidak. Justeru masa produk tengah naik pun sebenarnya marketing mesti diteruskan.”
Baca artikel perjuangan bisnes 1Minute Miracle bersama penerima Nona Best Cosmetic Brand Award, Ain Fatin Liyana ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Konsep: Azniza Aziz
Arahan Seni: Kiffy Razak
Foto: Azfarina Sulaiman
This website uses cookies.