Digelar Whitney Houston Malaysia, Ramlah Ram Tetap Ayu Pada Usia 57 & Jadi Usahawan Kosmetik!

Bahang Anugerah Juara Lagu (AJL) kian terasa. Seketika, terkenang kemantapan vokal penyanyi yang menjadi juara AJL 1988, Ramlah Ram menerusi lagu ‘Kau Kunci Cintaku (Dalam Hati)’. Persembahan beliau dalam persalinan gaun putih dengan lampu berbentuk hati itu sampai sekarang masih tersemat kemas di jiwa peminat muzik tempatan.

Masih cantik dan memukau, begitulah pesona selebriti popular 80-an Ramlah Ram yang kini lebih aktif menumpukan masanya sebagai usahawan kosmetik.

Menyentuh perkembangan baru, Ramlah Ram kini kelihatan fokus terhadap bisnes pewangi dan kosmetik miliknya secara atas talian.

Bisnes di bawah jenama RVR Cosmetics itu mula dijalankan sewaktu pandemik COVID-19 akibat banyak undangan menyanyi terpaksa dibatalkan.

 

 

 

Bermula dengan produk pewangi RVR Perfume, kini Ramlah Ram sudah mengembangkan sayap kepada produk bedak padat dan gincu di bawah jenama tersebut.

Kerana penangan produk ini juga, beliau semakin aktif muncul di platform TikTok Shop untuk promosi berterusan.

Selain itu, beliau yang kini khabarnya hidup bersendirian kembali aktif menerima undangan nyanyian.

Berkat silaturrahim dengan rakan-rakan artis seperjuangan seperti Rohana Jalil dan Datin Salwa Abd Rahman menambah seri kehidupan wanita Muslimah berusia 57 tahun ini.

 

KECANTIKAN

 

 

 

Pada usia emas, Ramlah Ram masih kelihatan awet muda dengan bentuk badan langsing seperti anak gadis.

Paling tertarik melihat penampilan beliau yang mengenakan semula persalinan ikonik gaun dengan lampu bentuk hati rekaan Zuraidah Said Creation.

Bezanya kali ini, gaun tersebut diolah semula dalam rona hitam dan dipadankan hijab sepadan untuk persembahan Ramlah Ram sempena Konsert Seniman Negara pada Julai 2022.

Bagi generasi 80-an, pasti masih terkenang aura Ramlah Ram yang merupakan artis Malaysia pertama meraih jualan album melebihi 300,000 unit.

Penyanyi bersuara emas ini tampil dengan album pertama sekitar tahun 1986 berjudul Sabarlah Sayang. Penerbit album tersebut pada ketika itu merupakan seniman veteran, Datuk Ahmad Nawab.

 

Kejayaan album tersebut mengangkat namanya, meletakkan diri wanita ini sebaris bintang seni tersohor pada ketika itu. Sehingga ke hari ini, anak jati Johor ini telah melahirkan lebih 13 buah album. Antaranya seperti Cintaku Hanyut Dilautan Sepi pada tahun 1989, Duri Dalam Cinta (1990), Dangdut (1994) dan banyak lagi.

Pernah digelar Whitney Houston Malaysia Malaysia kerana nada tinggi beliau iaitu ‘F Sharp’ adalah setanding diva terkenal Amerika Syarikat itu, Ramlah Ram juga pernah merangkul pelbagai anugerah, termasuk Golden Voice yang dimenanginya di ASEAN Song Festival, Vietnam pada tahun 1996.

 

BAKAT SENI

Menerusi Utusan Malaysia, anak jati Johor itu mengakui mewarisi bakat seni turun-temurun daripada keluarganya.

“Adik beradik saya pandai bermain muzik. Semua belajar sendiri. Bakat dan keinginan itu memang sudah dibina dari dalam (diri). Boleh bermain gitar, piano. Mungkin mereka belajar dari arwah ayah yang mahir bermain biola, gitar dan piano.

Ibu saya suka baca Al-Quran dan sering mewakili kampung dalam pertandingan. Saya pula tidak bercita-cita menjadi penyanyi. Suka, memang suka. Saya ingat lagi, kalau di rumah, tak ada orang, saya akan tutup pintu dan nyanyi sepuas-puasnya.

Di sekolah, bila cikgu tanya tentang minat, saya akan jawab menyanyi. Dari situlah, ketika darjah satu, cikgu tahu saya boleh menyanyi dan sering minta saya membuat persembahan dalam apa sahaja majlis dan sambutan yang berlangsung di sekolah.” Ramlah Ram

Kenangan Ramlah Ram disamping arwah bapa kesayangan

 

Ramlah Ram dan ibu kesayangan

 

Adik-beradik jadi kekuatan Ramlah Ram

 

Perjalanan seni wanita ini bermula ketika dia bukan sesiapa. Hanya seorang gadis kampung yang membawa keberanian hadir ke uji bakat Bintang RTM sekitar tahun 1985.

Namun tidak siapa menyangka, langkah yang diambil itulah yang menentukan haluan kerjayanya sehingga ke hari ini.

“Saya sertai Bintang RTM pada tahun 1985 dan menang pada Februari, 1986. Saya pergi uji bakat bukan sebab nak jadi penyanyi. Kerana suka dan satu lagi atas desakan abang sulung.

Saya tak berapa yakin ketika itu. Dalam fikiran, macam mana nak menang, saya ini hanyalah budak kampung.

Abang kata pergi sahaja, dia nak sangat tengok saya keluar TV. Sekali pun jadilah. Cuba-cuba nasib. Saya pergi ujibakat untuk Zon Selatan. Pergi tanpa pengetahuan keluarga.

Hampir tak jadi disebabkan kehadiran orang yang terlalu ramai pada sesi uji bakat tersebut. Masa itu saya berseorang. Tak ada sesiapa yang datang meneman. Orang lain dengan kawan-kawan, menyanyi sama-sama, berseronok.”

Persembahan Ramlah Ram menerusi lagu ‘Rindu’ yang dipopularkan oleh Hetty Koes Endang pada malam akhir satu-satunya pertandingan berprestij ketika itu berjaya mengangkat namanya sebagai juara.

 

Share
Published by
Norzalina