Rezeki tidak akan pernah salah alamat. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang gigih berusaha mengubah nasib diri dan keluarga. Make-up artist yang juga Instafamous, Muabellaz ini misalnya berjaya menjadi usahawan dan hidup mewah atas keringat dan kerja kerasnya sendiri. Yang pasti, tahun 2020 menjadi tahun paling bermakna dalam diri Bellaz kerana selain impian memiliki rumah baru dimakbulkan Allah SWT, dia juga menerima kehadiran cahaya mata ketiga yang diberi nama Muhamad Ean Yusuf pada Julai lepas. ‘Bonus’ berganda!
Mengintai media sosial Bellaz, memang besar dan moden rumah banglo isteri kepada Anuar Ahmad ini. Meskipun sudah menikmati kesenangan hidup namun Bellaz sedikit pun tidak malu mengakui kehidupan silamnya sebagai anak nelayan dan berbangga memiliki rumah papan yang dihuni selama ini. Malah, Bellaz atau nama penuhnya Nabilah Zulyadaini juga tidak kisah berkongsi keadaan rumah dan dapur papan kepada hampir dua juta followers miliknya.
Terbaharu, ibu tiga anak ini memuatnaik gambar ruang wardrobe dan makeup room di kediaman barunya. Berkonsepkan moden dan serba putih, semua beg tangan, kasut dan aksesori mewah milik Bellaz ditempatkan di ruang berkenaan. Memang cantik dan tersusun kemas. Lepas ni, lagi rajinlah Bellaz buat live tutorial mekap di bilik ini.
Melihat keadaan bilik tersebut nyata mengundang rasa sebak di hati Bellaz. Tidak pernah menyangka nasib hidupnya diberkati seperti hari ini, Bellaz meluah rasa hati. “Siapa sangkakan… saya yang naik gerek sebelum ni, niaga karipap pagi-pagi buat makeup background berlatarkan papan rumah kesayangan saya… hina saya sehinanya… fitnah macam-macam, saya sabar terus sabar.”
Baru berusia 28 tahun, ada tiga anak, suami penyayang dan ada bisnes sendiri pastinya satu pencapaian membanggakan buat anak jati Tanjung Dawai, Kedah ini. Bellaz mula serius mendalami dunia solekan sejak hamil anak pertamanya kira-kira enam tahun yang lalu. Bermula dengan live tutorial mekap di media sosial, nama Muabellaz kian meningkat naik dan menjadi inspirasi ramai generasi muda hari ini.
Bertitik-tolak dari situ juga Bellaz mendapat idea menghasilkan rangkaian produk kosmetik keluaran sediri termasuk lip matte dan berus mekap. Difahamkan, Bellaz juga kini dalam perancangan untuk membeli rumah kedai baru yang dianggarkan bernilai RM1.2 juta untuk dijadikan ibu pejabat Bellaz Beauty.
“Proudly myself. Bukan senang dan mudah nak capai semua ni. Liku-liku ooo jalan dia. Tambah lagi lah nak mendaki ke puncak bukannya mudah. Orang tak nampak kita dulu struggle macam mana. Sorang-sorang saja. Lani bila dah berubah semua pakat suruh saya jangan buat tu, jaga market itu ini. Sedangkan aku dulu hanya sorang-sorang sahaja tak ada sapa mai bantu tolong tarik bantu ku untuk cari solution lebih maju ke depan.
Semua ku sorang-sorang naik sorang-sorang. Doa hari-hari suami bantu, kawan-kawan rapat banyak bagi nasihat. Lani apa yang aku buat semuanya untuk orang. Sebab semua orang bukannya mampu, sebab tu saya letak harga murah sebab tak semua orang mampu. InshaAllah buat kerja sambil beramal murah lagi rezeki. Umur 25 I dah ada office sendiri, ada team sendiri, macam tak percaya.
Dulu hanya makeup dalam bilik background papan hijau sahaja. Orang lena ku buat kerja, pulun sungguh. Cuba buktikan yang aku nak berjaya macam orang lain jugak nak ubah nasib hidup dan bantu orang ramai di luar. Ni semua berkat doa ibu ayah dan doa hampa semua.”
Moga usaha gigih dan kejayaan yang digapai Bellaz hari ini menjadi inspirasi lebih ramai wanita untuk berjaya.
This website uses cookies.