Datin Nurzunaini Mohamed Zain atau mesra disapa sebagai Datin Nani yang berpengalaman selama 20 tahun dalam bidang kecantikan dan kesihatan. Beliau juga merupakan pengeluar produk makanan tambahan ADC Double Curcumin serta penganjur kepada seminar Metanama.
“Selepas berkahwin saya bekerja di beberapa jabatan kerajaan dan swasta tetapi tidak lama kerana tidak minat bekerja di bawah arahan orang. Saya ambil keputusan berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Memandangkan minat mendalam terhadap kecantikan saya menghadiri kursus dan bengkel solekan serta kecantikan sebagai persediaan bagi membuka spa, salun dan bridal.
Tahun 2000, saya mengikut suami berpindah ke sebuah pekan kecil di Perak. Saya membuka perniagaan bermula dari khidmat jualan produk kecantikan dan kesihatan dari rumah. Dalam masa empat bulan sahaja perniagaan saya mendapat sambutan yang sangat cukup menggalakkan.
Akhirnya saya gabungkan perniagaan dalam satu bumbung. Dari situ pencapaian saya meningkat sehingga dianugerah sebagai pengedar dan stokis terbaik peringkat negeri selama 7 tahun berturut-turut dan peringkat Malaysia.
Pada tahun 2006 saya bersama suami dan rakan baik, menyertai industri emas lelong bank. Masa itu harga emas naik, perniagaan emas lelong sangat memberangsangkan. Kami antara syarikat pertama membida lelongan emas. Pada tahun 2010, kami diuji apabila tersilap membuat pelaburan. Segala hasil keuntungan hilang begitu sahaja.
Akibatnya, kami tidak dapat membayar semula hutang-hutang yang terbit daripada perniagaan kami. Saya terpaksa tutup perniagaan pada tahun 2011. Suami mengambil keputusan untuk pindah ke Selangor ke rumah yang kami sewakan sebelum ini.
Mulai hari itu saya menjadi suri rumah sepenuh masa. Awal tahun 2015, saya dijatuhi hukuman bankrupsi. Suami pula menjadi penjamin, turut terkena hukuman bankrupsi dan tidak lagi dapat bekerja,” kongsi Datin Nani.
SUMBER KEKUATAN
“Pastinya diri saya sendiri. Percaya dengan diri sendiri bahawa ada sesuatu di dalamnya.Tidak dinafikan kekuatan ini datang daripada Allah SWT. Kesilapan dan kesusahan lalu dijadikan penguat semangat. Ibu ayah, suami, anak-anak, agen dan dropship
, serta rakan-rakan positif menjadi sumber kekuatan saya.Nasihat saya, wanita perlu bijak membahagikan masa dengan merancang segala aktiviti bagi mengelakkan kecelaruan yang menjadi punca stres. Elak membawa balik masalah dan urusan kerja ke rumah. Mana yang tidak dapat diselesaikan, bawa ke esok harinya,” kongsi Datin Nani.
This website uses cookies.