Memiliki susuk tubuh langsing dan berketinggian enam kaki, rambut hitam panjang mengurai, hidung mancung serta bibir mungil… tidak hairanlah atlet bola tampar Kazakhstan ini menjadi perhatian ramai peminat sukan. Bukan hanya dipuja kebanyakan kaum lelaki bahkan golongan wanita juga mengagumi kecantikan Sabina Altynbekova ini. Memang cantik dan tinggi lampai orangnya!
Kecantikan Sabina mula disedari ketika dia menjadi salah seorang pemain bola tampar bagi negara kelahirannya, Kazakhstan. Dia meraih perhatian luar biasa ketika menyertai Asian Junior Women’s Volleyball Championship di Taipei, Taiwan pada tahun 2014 ketika Sabina baru berusia 17 tahun. Disebabkan bakat dan wajah cantik Sabina dalam sukan ini, dia terus menjadi bualan sensasi di internet dan pernah mendapat julukan ‘The World’s Most Beautiful Volleyball Player’.
Namun, terdapat segelintir pihak mempersoalkan penglibatannya dalam bidang sukan kerana beranggapan wanita cantik sepertinya tidak sesuai memilih kerjaya sebagai atlet bola tampar. Sampai wajah cantik Sabina sentiasa menjadi bualan berbanding bakatnya dalam arena sukan berkenaan.
Setiap kali kelibat Sabina muncul dalam sesuatu pertandingan, penonton akan memberi sepenuh tumpuan kepada wanita berusia 24 tahun ini. Disebabkan ‘tumpuan’ itu, jurulatih Sabina kurang senang dengan limelight yang diberikan kepada atlet cantik ini kerana ia memberi kesan dan mengganggu perhatian pemain yang lain.
Sudahnya, Sabina jarang mendapat peluang untuk beraksi dalam beberapa perlawanan dan tidak mampu mengembangkan bakatnya. Malah, dia juga menerima kritikan kerana dikatakan terlalu cantik untuk bermain bola tampar. Sebagai atlet, pastinya perkara itu menjejaskan reputasi Sabina kerana jiwanya sudah cukup sebati dengan sukan sejak kecil.
Mengulas apabila wajah cantiknya sering menjadi perhatian, Sabina menerusi temubual bersama The Daily Mail berkata, “Pada mulanya saya rasa terharu namun ia semakin keterlaluan. Saya hanya mahu fokus dalam perlawanan bola tampar dan dikenali kerana bakat tersebut bukan disebabkan perkara lain.”
Sabina Altynbekova merupakan anak kepada pasangan Abay Altynbekov dan Nuripa Altynbekova yang juga berkecimpung dalam arena sukan. Bapanya ialah seorang atlet ski manakala ibunya pula bergelar atlet olahraga. Tidak hairanlah Sabina sangat meminati bidang sukan! Meskipun berbakat dalam sukan, Sabina turut cemerlang dalam bidang akademik. Ibu Sabina sebelum ini mahu anak perempuannya memasuki sekolah undang-undang namun Sabina enggan dan memilih untuk menjadi pemain bola tampar.
Pada tahun 2015, Sabina menerima tawaran agensi sukan Jepun, Dentsu. Dia kemudian bermain untuk pasukan GSS Sunbeams menerusi Japan Challenge League ll selama beberapa bulan. Sebelum kembali ke Kazakhstan, Sabina mengembangkan karier profesionalnya dengan sebuah kelab bola tampar di Dubai dikenali sebagai Al-Wasl.
Dengan tercetusnya fenomena kerana wajah cantik Sabina dalam sukan bola tampar sehingga dikenali di serata dunia, jelitawan ini berjaya meraih lebih sejuta pengikut di laman Instagram. Ia pastinya menjadi medium terbaik buat Sabina untuk terus dikenali dan mengembangkan bakat dalam bidang yang diminati. Khabarnya, Sabina sudah melancarkan jenama pakaian sukan miliknya sendiri iaitu ‘S20’ yang menawarkan rekaan pakaian sukan dan aksesori berkaitan.
This website uses cookies.