Nama Sheila Rusly bukan lagi asing dalam industri seni. Sepanjang 36 tahun menceburi bidang seni Sheila yang lahir pada 18 September 1971 tidak sekadar menjadi pelakon. Malah dia juga penerbit, pengarah, pemilik syarikat produksi JS Pictures Sdn Bhd dan usahawan yang disegani ramai. Tidak cukup itu Sheila turut dilantik duta produk Maggi selama beberapa tahun.
Bagi yang tidak mengenali wanita ini, tanggapan pertama saat bertemu menyifatkan dia seorang yang sombong kerana riak wajahnya. Namun setelah kenal, ternyata Sheila seorang yang mesra dan cukup menghormati orang lain. Ketegasan dan kejujuran Sheila terserlah dalam setiap butir bicaranya.
Ini terbukti ketika dia menjadi penghias Nona versi digital Jun 2022 bersama menantu tersayang, Elisya Sandha. Ditanya bagaimana Sheila mampu menepis kecaman sebagai anak seni, isteri Jinggo ini lantas bersuara.
“Saya perlu meletakkan diri saya dan sedar tidak semua orang suka saya. Pada yang tak suka, saya tak perlu menjelaskan apa-apa atau pun cuba explain
apa terjadi. Cerita macam mana pun walau fitnah, orang tak suka tetap tak suka. Tak perlu saya ceritakan cerita sebenar. Lagi banyak batu yang dilemparkan, batu tu saya kumpul buat tembok.Balinglah banyak batu macam mana pun untuk haters, saya akan kutip batu tu dan bina empayar saya sendiri dan tembok untuk kekuatan diri saya. Tak perlu layan, anggap mereka yang suka mengecam tak wujud dalam hidup kita. Yang bagi impak negatif, tak perlu.
Saya tak ada masalah dengan siapa-siapa cuma saya sangat memilih kawan. Saya lebih kepada kualiti bukan kualiti. Eksklusiviti dengan jaga circle kecil. Bila bekerja, habis kerja saya friendly dengan semua orang, habiskan kerja dan balik. Tak ada borak-borak.”
Tambahnya lagi, “Macam orang tak suka saya pun, saya ok. Saya tak pernah nak buat sesuatu benda untuk membuatkan orang suka saya. Saya bukan macam tu. Saya hanya buat benda yang baik untuk diri saya dan keluarga. Orang suka, alhamdulillah. Tak suka tak apa. Saya bukan buat sesuatu benda untuk perhatian orang supaya orang boleh lihat saya baik, bagus.
Tak suka saya tak apa. Saya tak bagus pun tak apa sebab kebaikan saya dekat dunia ni bukan untuk dipuji. Untuk bekalan saya esok. Saya hanya menjadi diri saya kalau kata mereka tak suka dengan kejadian saya, saya rasa too badlah. Sebab macam mana manusia boleh judge saya sedangkan dia tak ada pun dalam penceritaan saya ni.
Pada saya, kalau orang bercakap belakang kutuk dan sebagainya. Dia tak ada privilege untuk datang bersembang dengan saya jadi mereka cakap di belakang. Mereka tidak ada keutamaan untuk duduk di sebelah dan bersembang. Seolah-olah mereka kenal dan tahu siapa saya. Kerja dengan Sheila Rusly garang.
Saya bukan manusia cakap belakang, saya cakap depan-depan kalau tak suka. Saya lebih suka mereka tahu mana silap mereka. Memang saya garang, bukan garang di rumah dorang di rumah saya. Saya marah pekerja dan pelakon.
Mereka dianggap anak-anak dan layak ditegur dan dimarah. Dah macam family. Takkan nak biarkan mereka hanyut. Disebabkan ketegasan saya, aura yang saya bawa masa bekerja dan jumpa orang, benda tu yang makin sustain dalam industri. Saya mula dalam industri umur 15 tahun sekarang umur 51 tahun.
Berapa lama dalam industri, kalau kata apa yang saya buat dalam industri salah, saya tak rasa saya akan kekal dalam industri. Sebab apa yang saya buat betul dan terbit drama dan lahirkan pelakon yang bagus, jadikan mereka anak seni, bintang. Ramai je.
Sebab itu saya teruskan. Tak perlukan publisiti dan create publisiti. Saya tak perlu pergi ke level itu. Bukan sombong tak nak ditemu ramah media-media. Bukan, sebab di usia begini saya tak perlu cari itu lagi. Kalau nak selalu keluar di mana-mana media platform, saya akan pastikan kata-kata saya memberi manfaat kepada semua. Kalau tak datangkan manfaat kenapa perlu buang masa.”
Sheila Rusly ialah isteri Azman Haji Yahaya atau lebih dikenali sebagai Jinggo. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Uzair Haqimy dan Luth Mikhail.
This website uses cookies.