Siapa sangka, wanita cantik Thailand yang dulunya pernah bertugas sebagai pramugari kini wanita pertama Negara Gajah Putih berkenaan! Dari kerjaya di awan biru, Suthida Tidjai beralih ke bidang ketenteraan diraja sebelum dilamar ‘majikan’ dan kini bergelar Permaisuri Thailand. Bertuahnya!
Dilahirkan pada 3 Jun 1978 di Songkla, Thailand, portal Royal Central UK melaporkan Permaisuri Suthida ialah anak kepada Kham dan Jangheang Tidjai. Baginda memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Seni Komunikasi pada tahun 2000.
Selepas tamat pengajian, Permaisuri Suthida menyertai JALways Airlines selama tiga tahun sebagai pramugari. Baginda kemudian berhijrah ke Thai Airways dari tahun 2003 hingga 2008 sebelum menyertai Royal Thai Army pada tahun 2010.
Permaisuri Suthida turut pernah berkhidmat sebagai Royal Security Command. Pada 1 Disember 2016, Baginda dinaikkan pangkat sebagai Jeneral dan Komander Unit Operasi Khas King’s Guard. Tidak sampai setahun, Baginda menerima pelantikan Komander Royal Thai Aide-de-camp.
Oktober 2017, Baginda menerima First Class The Most Illustrious Order of Chula Chom Klao apabila Raja Maha Vajiralongkorn menaiki takhta.
Sekian lama menjaga keselamatan dan melindungi Raja Maha Vajiralongkorn, Permaisuri Suthida yang dilaporkan berusia 44 tahun pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Pemerintah Unit Pengawal Peribadi Raja Maha Vajiralongkorn pada tahun 2014 dan menerima kenaikan pangkat sebagai Jeneral pada Disember 2016.
Sepanjang tempoh itu kelibat Permaisuri Suthida sentiasa berada di samping Raja Maha Vajiralongkorn demi memastikan keselamatan pewaris takhta Thailand tersebut dikawal rapi. Baginda juga sering dilihat lengkap berpakaian tentera ketika mengiringi Raja Maha Vajiralongkorn ke acara-acara rasmi.
Istana Thailand mengumumkan Raja Vajiralongkorn berkahwin dengan Permaisuri Suthida pada tahun 2019. Pasangan ini berkahwin pada 1 Mei 2019 yang menyaksikan upacara perkahwinan disiarkan secara langsung di kaca televisyen.
Pada 4 Mei, Suthida secara rasmi diisytihar Her Majesty Queen Suthida (Somdet Phra Nang Chao Suthida Bajrasudhabimalalakshana Phra Borommarajini).
Dikurniakan raut wajah cantik, penampilan Permaisuri Suthida yang sopan dan bijak berfesyen juga menarik perhatian rakyat Thailand.
Upacara menandatangani ikrar perkahwinan Raja Maha Vajiralongkorn dan Permaisuri Suthida turut disaksikan adindanya Puteri Siridhorn dan salah seorang pemimpin tertinggi Thailand, Prem Tinsulanonda.
Turut menghadiri upacara tersebut ialah Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha dan beberapa ahli pemimpin Thailand.
Ia merupakan perkahwinan keempat Baginda Raja selepas bercerai dengan isteri ketiganya, Puteri Srirasmi pada 2014 setelah 13 tahun berkahwin.
Raja Maha Vajiralongkorn yang menggunakan gelaran King Rama X, menaiki takhta selepas kemangkatan ayahandanya, Raja Bumibol Adulyadej pada Oktober 2016 selepas memegang takhta diraja Thailand selama 70 tahun.
Sumber: Channel News Asia
Credit photo : Instagram Her Majesty Queen Suthida
This website uses cookies.